Saturday 2 September 2017

SENI SILAT DI SEKOLAH AGAMA 
Agama Yayasan Islam Kelantan 
(YIK).

Program seni silat di sekolah-sekolah agama Yayaan Islam Kelantan (YIK) pada rasminya telah mula di aktifkan pada tahun 2010 dengan tertubuhnya Majlis Seni Silat YIK iaitu sebuah jawatankuasa sekretariat Seni Silat di peringkat YIK pada 4 Mei 2010. Ekoran dari itu maka pihak Yayasan islam Kelantan melalui Majlis Seni Silat YIK telah menganjurkan buat julung kalinya acara Karnival Seni Silat YIK pada 12 Sya’ban 1431 Hijrah bersamaan dengan 24 Julai 2010 Masihi dengan acara pengisian utamanya ialah pertandingan seni silat dan persembahan pendekar pelajar-pelajar bagi seluruh sekolah-sekolah agama Yayasan Islam Kelantan. Hasil daripada Karnival itu didapati bahawa ada tujuh aliran Perguruan Seni Silat yang berbeza yang bergerak aktif di sekolah-sekolah dengan menggunakan sistem Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Seni Silat, Modul dan pentaulihan Jurulatih adalah menurut sistem dan acuan pertubuhan masing-masing iaitu aliran;

i.                 Perguruan Seni Gayung Fatani Kelantan.
ii.               Seni Silat Pusaka Gayung.
iii.             Seni Silat Gayung Serantau.
iv.             Seni Silat Gayung Warisan.
v.               Seni Silat Gayung 3 Kalimah.
vi.             Seni Silat Gayung Malaysia.
vii.           Kumpulan Gayung ADMA (Aawang Daud martial Arts).   

Seterusnya pada tahun 2011, aktiviti seni silat di sekolah-sekolah YIK semakin dapat diperkasakan dengan terlantiknya tenaga pengadil (Wasit Juri) yang bertauliah peringkat TIGA (3) dari Persekutuan Seni Silat Kebangsaan (PESAKA) kepada guru-guru Yayasan Islam Kelantan pada 1 haribulan Jun 2011. Bersama dengan itu juga terbentuklah sebuah “GAGASAN RESOLUSI  IDEA” pemaduan dan pemerkasaan aktiviti seni silat yang telah di lahirkan bersama guru-guru peserta, jurulatih-jurulatih seni silat dan Dr. Yaacob bin Haji Yusoff Awang selaku pembentang kertas kerja seminar dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS) yang bermatlamatkan kepada Keperluan Penyediaan Aktiviti Modul Bersepadu Kelas Seni Silat di Sekolah-Sekolah Yayasan Islam Kelantan yang bertempat di bilik seminar Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

GAGASAN RESOLUSI IDEA PEMADUAN DAN PEMERKASAAN SENI SILAT YAYASAN ISLAM KELANTAN.

i.                 Menyeragamkan hasrat dan matlamat aktiviti seni silat di atas jalan yang menepati dengan “Dinul Islam” dan mengikhlaskan niat hanya kepada Allah, serta selari dengan Misi dan Visi Yayasan Islam Kelantan berteraskan prinsip UMI.
ii.               Mewujudkan sebuah kurikulum Seni Silat YIK yang sepadu menurut acuan Islam, serta nilai-nilai baik tradisi seni silat orang-orang Melayu untuk di gunapakai di dalam pengajaran dan pembelajaran seni silat di sekolah-sekolah.
iii.             Mempunyai rujukan teks atau buku-buku seni silat sebagai panduan terutamanya yang berupa kajian-kajian “Seni Silat Melayu dan Islam”.
iv.             Seni Silat di jadikan sebagai alat untuk membentuk, melatih dan melahirkan pahlawan-pahlawan “Jihadiah” yang berbentuk kontemporari.
v.               Menjadikan seni silat sebagai acara sukan yang wajib di terima dan ianya berbentuk “Keceriaan”.
vi.             Memperkasakan jurulatih-jurulatih seni silat di sekolah-sekolah sebagai sebuah pelaksana penting misi dan visi.
vii.           Menjadikan seni silat sebagai sebahagian daripada alat bantu pendidikan di sekolah-sekolah.
viii.         Aktiviti seni silat perlu di kendalikan secara profesional melalui di wujudkan sebuah badan pengendali di peringkat negeri, jabatan dan sekolah.
ix.             Mendapat peruntukan yang berterusan dan mencukupi dari Kerajaan Negeri Kelantan dan Yayasan Islam Kelantan.

Justeru untuk merealisasikan keseluruhan sembilan (9) Gagasan Resolusi Pemerkasaan Seni Silat YIK tersebut, maka beberapa usaha telah di ambil antaranya berusaha mewujudkan sebuah bentuk GERAK SERAGAM yang dapat di jadikan sebagai satu asas pemaduan aktiviti seni silat di peringkat YIK.  

Pada 28 April 2012 (Sabtu) seramai 1000 (Seribu) pesilat yang terdiri daripada pelajar-pelajar Pasukan Berunifom Seni Silat YIK bersama dengan 1012 (Seribu Dua Belas) pesilat dari Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKN) telah berjaya mengadakan dan mempamirkan satu POLA LANGKAH SILAT yang seragam bersempena “Perhimpunan 2012 Pendekar” di hadapan YAB. Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Menteri Besar Kelantan) dengan mendapat perhatian membanggakan dari YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan.

Seterusnya pada tanggal 1 Mei hingga 3 Mei 2012 yang bertempat di Kem Darul Hanan, Tumpat Kelantan, telah terlaksanalah sebuah kursus “Kejurulatihan Seni Silat Yayasan Islam Kelantan” kali pertama (Tahap Satu) dengan menggunakan SATU MODUL Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang seragam. Kursus yang dikendalikan oleh Dr. Aziwaija bin Yeop iaitu seorang pakar seni silat bertaraf dunia yang juga penyelaras Modul Seni Silat Malaysia Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Malaysia (JKKN) telah memberikan reaksi positif dari guru-guru penasihat kelab seni silat sekolah-sekolah dengan kehadiran peserta guru seramai 33 orang. 

            Aktiviti-aktiviti seni silat di sekolah-sekolah agama yang sedang berlangsung samada di peringkat negeri-negeri atau sekolah-sekolah agama swasta atau Pondok-Pondok seharusnya terus di perkasakan selaras dengan usaha untuk melahirkan para Da’i atau pendakwah di dalam masyarakat seni silat. Serta ia juga sebagai usaha untuk mengembalikan warisan keperwiraan serta amalan para Ulama yang terdahulu seperti Syeikh Daud Al-Fatahni, Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani, Sunan Bonang, Tok Selehor yang kesemuanya adalah merupakan para pendekar.

PENUTUP
            Kewujudan seni silat didalam masyarakat agama atau ahli agama yang dirasakan masih terlalu asing perlu terus dibuat pendedahan atau di perlengkapkan sebagai sebuah aktiviti “Sukan Sunnah” yang mempunyai matlamat yang lebih jauh dan melangkaui alam dunia, iaitu sebagai persiapan membina kekuatan dan jihad serta ibadat, dan sebagai aktiviti seni dan sukan yang paling dekat dengan bentuk pendidikan serta dakwah islam berbanding dengan aktiviti-aktiviti seni atau riadhah yang lain. 

Wassalam 
SURAU HAJI WAN ALI KUTAN

Surau ini pada zaman kegemilangannya ia pernah dijadikan surau untuk bersembahyang jumaat termasuklah bagi penduduk-penduduk seberang sungai Kelantan iaitu seperti Kampung Surau Kota dan Kampung Pintu Geng dan Kampung Sireh 17. Ia terletak ditepi sungai Kelantan yang bersetentang dengan kampung-kampung tersebut atau ladang timun cina (buah tembikai) yang sekarang sudah menjadi Bandar Baru kampung Sireh.

Surau ini dipercayai dibina dan diasaskan oleh Anakanda Tok Wan Ali sendiri yang menetap di kampung Kutan iaitulah Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Ali bersama-sama dengan tukang-tukang lain seperti Abdullah pendekar, Wan Ali Putih, Haji Alias dan bersama dua lagi rakannya. Kenyataan ini diambil oleh penulis daripada lisan Haji Wan Rasyid bin Wan Muhammad bin Wan Abdul Rahman bin Wan Ali Al-Kutani pada 9 Mei 1994 di rumahnya di Kampung Kutan Tengah, yang kenyataan ini juga telah diperolehi oleh Haji Wan Rasyid dari nendanya yang bernama Wan Selamah 18 .

Imam-Imam Surau
Sepanjang surau itu menjadi nadi ibadat kepada penduduk-penduduk kampung, ia telah memperkenalkan beberapa orang imam. Imam-imam yang bertugas pada peringkat awalnya adalah berdasarkan kepada sokongan dan lantikan masyarakat kampung sendiri bukan lantikan pihak kerajaan melainkan Imam yang terakhir saja dilantik oleh pihak kerajaan berdasar kepada undian ke atas calon-calon 19. Antara nama-nama Imam yang dapat dapat dikesan oleh penulis sebagaimana yang diceritakan oleh almarhum Wan Jaafar Bin Wan Ali kepada penulis  20 yang beliau masih ingat sejak lahir ialah Imam Haji Yaakob, Imam Pak Cu Lah dan akhirnya Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (meninggal 1986). Manakala menurut Cikgu Wan Muhamad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan 21 yang penulis ambil kenyataannya pada 20 Mac 2017 ialah antaranya Imam Wan Ali bin Wan Ahmad iaitu sebelum terlantiknya Imam Haji wan Taib. Maka semasa Imam Haji wan Taib bin Wan Muda inilah surau yang disungai itu telah ditukar kepada masjid baru sekarang yang dibina sekitar tahun 1952 atau tahun 1958 22 hasil daripada gotong rayong dan derma masyarakat kampung . Kutipan derma itu sehingga ke kampung Pasir Pekan dan sekitar 23.

Keluasan Surau  
Oleh kerana surau ini amat penting dan menjadi tumpuan ibadat solat 5 waktu dan solat jumaat termasuk bagi penduduk-penduduk kampung sekitar maka ini bermakna keluasan atau saiz surau itu adalah cukup besar juga dan mampu untuk memuatkan jumlah saf yang banyak. Pada perkiraan dan setakat yang diingati oleh Cikgu Wan Mohammad bin Wan Isa (85 tahun) yang diwawancara pada 20 Mac 2017 dirumahnya di Kampung Kutan bahawa seagak-agaknya adalah jumlah keluasannya sekitar 50 x 50 kaki persegi. Oleh kerana jarak masa yang telah lama berlalu maka secara pasti tidaklah dapat beliau mengingatinya secara tepat.

Pada zaman remaja penulis, iaitu sekitar tahun-tahun 1982 / 1983 penulis kerap juga ke surau itu yang semasa bangunan kayunya itu sudah banyak yang rosak dan tidak digunakan lagi kerana ketiadaan penduduk. Maka penulis anggarkan bahawa keluasan surau secara keseluruhan adalah sekitar 200 ke 300 orang ahli jamaah yang dapat diisi dalam satu-satu masa sekaligus. Wallahu a’lam.
  
Kampung Yang Ditinggal, Surau Hilang Imarah, Dan Perpindahan Surau
Pada peringkat awal kewujudan kampung Kutan, asalnya ia hanya berfokus di sepanjang pinggir sungai Kelantan sahaja. Lokasi petempatan penduduk yang lebih bertumpu ditepi sungai itu boleh dikenal dengan nama Kampung Kutan Sungai (sebelah hulu atau kampung kutan sungai hulu) dan kampung kutan surau yang bersempena dengan kewujudan surau yang amat penting, dan yang kita bicarakan ini. Gelaran nama kampung yang dikaitkan dengan surau ini sudah boleh kita fahami bagaimanakah taraf kepentingan surau bagi masyarakat kampung Kutan pada masa itu.

Setelah lama masa berlalu serta keadaan petempatan asal kampung kutan yang hanya berfokus ditepi sungai itu yang sentiasa dilanda banjir besar kerana faktor tanahnya yang rendah, maka mengakibatkan ramai penduduk-penduduknya telah berpindah ke darat, iaitu ke kawasan tanah yang lebih tinggi yang akhirnya telah menjadi petempatan utama bagi penduduk kampung kutan sekarang. Seingat penulis, pada awal  tahun 1980, rumah-rumah yang masih wujud di Kampung Kutan Surau itu hanya masih tinggal sekitar tiga keluarga sahaja. Pada sekitar tahun 1983 semakin berkurang sehingga hanya tinggal sebuah keluarga sahaja, dan pada sekitar tahun 1986 hilanglah sudah sebuah petempatan dikampung kutan surau itu. Maka sepilah surau Haji Wan Ali Al-Kutani itu 24.

Namun pada sekitar tahun 1987/1988 dengan kesepakatan penduduk-penduduk kampung Kutan dengan inisiatif utamanya oleh Lebai Haji Wan Yusof bin Wan Salleh 25 telah mewakafkan sebidang tanahnya untuk dijadikan lokasi baru Surau itu dengan diangkat pindah surau Haji wan Ali Kutan itu dari kampung Kutan Surau yang telah sepi itu ke darat iaitu di tapak tanah sekarang ini dengan beberapa penambahan kayu dan simen. Namun pada beberapa bahagian kayu asal seperti dinding luar belakang masih sempat dipelihara bersama dengan mimbar imamnya. Setelah surau ini dipindah ke lokasi baru, maka pengurusan surau ini sekarang telah dijaga oleh keluarga atau oleh anak-anak Lebai Haji Wan Yussof bin Wan Salleh yang telah menjaganya dengan baik.  


PENUTUP
Sebuah riwayat yang jika ditinggal maka akan hilanglah sebuah cerita dan sejarah. Maka akan hilang jugalah seberkas hikmah rahsia ketuhanan yang bagi manusia yang beraqal sebagai tempat tilik ambil iktibar dan pedoman. Sebuah tinggalan umat yang terdahulu khasnya masjid atau surau akan membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu mempunyai agama dan amalan Islam yang baik. Begitulah dengan Surau Haji Wan Ali Kutan ini. Mudah-mudahan ia dapat menjadi ibadat berpanjangan bagi pengasas pendidiri dan pembinanya serta menjadi ikutan yang baik bagi generasi mendatang. Insya Allah. 



17 Kepentingan dan kegunaan surau ini termasuklah kepada penggunaan untuk sembahyang jumaat bagi penduduk-penduduk sekitar adalah merupakan sebutan-sebutan yang menjadi cerita lisan orang-orang tua kampong Kutan yang pernah penulis dengar semenjak dari kecil-kecil dahulu lagi.
18 Baharuddin Haji. Wan Mamat; Haji Wan Ali Kutan Ulama yang Masyhur di Tanah Mekah, Harakah, Isnin 9 Zulhijjah 1418, hal. 27.
19 Imam yang dimaksudkan ialah Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda yang bertanding calon bersama almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Zain (murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal) yang juga merupakan pengembang dan pengamal thariqat Ahmadiah di Kampung Kutan. Bila di undi oleh masyarakat kampung maka jumlah undian adalah melebihi dan dimenangi oleh almarhum Haji Wan Taib bin Wan Muda.  
20 Diwawancara pada 23 Februari (isnin) 1998 di kampung kutan Hilir (berdasar kepada catatan diari penulis). Wan Jaafar bin Wan Ali semasa wawancara itu berusia sekirar 80 tahun mengikut tarikh lahirnya pada tahun 1918.
21 Wan Muhammad bin Wan Isa bin Wan Ahmad sekarang berusia 85 tahun.
22 Wan Jaafar bin Wan Ali. Op.cit.
23 Keterangan adalah dari imam solat 5 waktu dan penjaga masjid era sebelum awal 1980 an iaitulah yang penulis kenal dan sebut-sebut dengan Pak Cik Mat sahaja. Almarhum telah menceritakan semasa hayatnya kepada penulis yang menjadi salah seorang tetamu rumah Allah masjid kampung Kutan semasa awal remaja dahulu yang penulis masih ingat. Almarhum juga adalah saudara sebelah ibu kepada penulis. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1984.
24 Pada waktu beberapa tahun sebelumnya surau itu sudah tidak digunakan lagi sehingga cebisan-cebisan al-quran dan kitab-kitab bertaburan di atas surau. Keadaan dinding, lantai dan struktur bangunannya sudah tidak terpelihara sejak awal lagi yang penulis jangkakan ia sudah berlaku pada penghujung 1970 an.
25 salah seorang murid tua Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2016 dalam usia yang agak lanjut iaitu 94 tahun yang berdasarkan tarikh lahir yang ada pada kad pengenalannya pada tahun 1922 Miladi. (wawancara anaknya, Wan Abdul Rahman bin Wan Yussof pada 27 Mac 2017).

Wednesday 30 August 2017


QIAFAH DAN FIRASAH


MUQADDIMAH

Firman Allahu Ta’ala di dalam Surah Ali Imran ayat 190 ;

ان في خلق السموات والارض واختلاف اليل والنهار لايت لاولى الالبب
‘ sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta perselisihan malam dan siang, ia menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir”

Itu adalah diantara ayat-ayat Allah Ta’ala yang telah tercatat di dalam al-quran yang menyebut tentang “tanda-tanda” , dan tanda-tanda itu adalah termasuk daripada makhluk Allah ta’ala sebagai satu alat untuk MENGENAL sesuatu, dan yang terbesar adalah sebagai dalil atau jambatan mengenal adanya Pencipta, dan tukang buat yang bersifat dengan Wahdaniah 1. Berkata Al-Qurtubi bahawa tanda-tanda itu juga adalah sebagai “alamat-alamat” yang menerbitkan kata “alam” 2. Sesungguhnya kesemua tanda-tanda itu tidak terbatas meliputi zahir dan batin dan ia adalah makhluk yang diciptakan Allah untuk manusia.

PENELITIAN PEMERHATIAN MELALUI TANDA-TANDA

Penelitian atau pemerhatian di dalam Islam menjadi satu perkara yang antara perkara-perkara yang di suruh oleh Allah antaranya surah Az-Zariat ayat 21 yang menyebut ;

وفي انفسكم افلا تبصرون
“Dan di dslam kejadian diri kamu apakah kamu tidak perhatikan”

Lafaz افلا (apakah tidak) adalah berupa satu kata soal yang mengandungi maksud perintah. Dengan kata lain bahawa memerhati tentang kejadian ciptaan ke atas diri itu berupa satu jalan perintah untuk makrifatullah.  Begitulah halnya mengenai mengenal dan mengetahui TANDA-TANDA yang sebenarnya ia juga adalah sebahagian daripada Ayat-Ayat Allah yang tidak berupa tulis (bukan Kalam) sebagaimana al-Quran yang gunanya untu kegunaan manusia sebagai jalan mengenal kebesaran Allah dan sebagai jalan meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Antara ayat-ayat yang menyebut tentang dunia ini adalah tanda-tanda seperti di dalam surah Az-Zariat ayat yang 20;

وفي الارض ءايت للموقنين
‘Dan di dalam kejadian bumi terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang yakin” .

Selain daripada “tanda-tanda” yang berupa ‘ayat-ayat’ Allah sebagai wasilah mengenal Kebesaran Allah, al-Quran juga ada menyebut lafaz tanda sebagai cara mengenal seseorang seperti seorang pendosa. Firman Allah dalam surah Ar-Rahman ayat 41;

يعرفو المجرمون بسيماهم
 “Di kenal orang-orang yang melakukan dosa itu melalui tanda-tanda”

Lafaz سيماء atau “tanda” yang disebut oleh al-quran itu sebagai tanda hitam pada wajahnya sebagaimana yang telah ditafsir oleh para mufassirin 3. Berkaitan dengan itu , segala tanda-tanda yang Allah pamerkan melalui ayatnya itu bolehlah di sebutkan sebagai dalil ke atas ilmu qiafah. Adapun dalil al-quran tentang ilmiu firasah antaranya mengenai pembongkaran Al-Quran terhadap seorang munafiq Al-Akhnas bin Syariq yang terlalu memuji-muji secara berlebihan ke atas Rasulullah sedangkan dia sebenarnya seorang munafiq. Sikap yang suka memuji-muji itu adalah berupa ilmu firasah yang disebut-sebut oleh ahli fikir bijak pandai orang-orang melayu seperti bidalan, “kalau tiada apa-apa, masakan burung tempua bersarang rendah”.

APA ITU QIAFAH DAN FIRASAH

Qiafah dan Firasah adalah satu ilmu yang pada zaman mutaakhir ini telah jarang-jarang disebut walaupun pada reality kini ia sentiasa dipelajari dan diamal oleh hampir setiap orang khasnya yang terlibat dengan bidang-bidang tertentu.

Ilmu qiafah dan firasah adalah sebahagian daripada ilmu kemanusiaan atau yang berkait dengan sosiologi dan antropologi. Di dalam kitab-kitab lama ada juga yang disebut sebagai ilmu nujum yang lebih mikro, iaitu bukan melibatkan hubungan manusia dengan bintang-bintang dan penentuan nasib manusia, tetapi yang berkaitan dengan mengenali sikap dan watak manusia berdasarkan kepada sesuatu tanda atau alamat yang nyata pada diri manusia itu sendiri.
Perlu difahami juga bahawa ilmu tersebut bukanlah satu ilmu yang menetapkan secara pasti apa yang akan terjadi ke atas manusia atau menetukan secara muktamad apa-apa yang bakal berlaku ke atas manusia dan masa depan, tetapi hanya sekadar "tanda-tanda atau alamat-alamat" yang menunjukkan kepada sesuatu alamat yang menunjukkan sikap atau watak atau tindakan yang bakal berlaku sebagaimana yang telah disebut oleh pengarang kitab Tajul Muluk tentang ilmu nujum bahawa ilmu nujum ini ialah diibaratkan sebagai satu alamat akan berlakunya sesuatu berdasarkan tanda-tanda tertentu sepert langit mendung ditutupi awan menandakan akan berlakunya hujan, walaupun kadang-kadang hujan tidak pun turun. Malah Jika seseorang itu beriktiqad secara putus bahawa hujan akan turun apabila langit mendung, maka pada ketika itu telah berlakunya TASYA-UM yang ternyata telah berlakunya syirik dengan Allah. Adapun makna Tasya-um itu ialah beriktiqad secara putus dengan beranggapan bahawa sesuatu yang buruk atau sial akan berlaku berdasarkan kepada samada pada hari-hari tertentu, atau pada individu-individu tertentu atau pada kejadian-kejadian tertentu.  


DEFINISI QIAFAH DAN FIRASAH

Ilmu qiafah adalah satu ilmu yang merujuk kepada kemahiran mengetahui watak seseorang manusia berdasarkan kepada bentuk fizikal manusia, seperti bentuk hidung, bentul alis mata, bulu kening, bibir, bentuk dagu, bentuk muka, kaki, jari dan sebagainya. Adapun ilmu firasah pula ialah satu ilmu yang dengannya manusia itu dapat menjangka keadaan watak atau jiwa seseorang berdasarkan kepada bentuk-bentuk pergerakan manusia, seperti cara bejalan, cara duduk, cara memandang, cara bercakap dan sebagainya. Namun kesemua alamat atau tanda-tanda yang terzahir itu bukanlah sesuatu yang secara pasti atau yakin bahawa ia secara mutlak betul. Melainkan apa-apa yang telah berlaku perkhabaran secara yakin melalui Wahyu yang hanya di sampaikan kepada para Nabi-Nabi dan Rasul sahaja. 
   

PEMBAHAGIAN / JENISNYA

Jenis-jenis atau pembahagian ilmu ini bolehlah dibahagikan kepada 4 jenis atau tahap yang terangkum di dalam 2 bahagian besar. Ia bergantung juga kepada hubungan manusia itu dengan manusia dan hubungan dengan Allah.    

1: Qiafah dan Firasah Syari'e.
Maqam mengenal manusia bagi darjat ini adalah hanya terkhusus bagi para nabi-Nabi dan Rasul sahaja, serta para Aulia Allah yang soleh-soleh. Mereka dapat mengenal sesuatu kelakuan atau peribadi manusia lain adalah dengan pandangan atau bimbingan Wahyu dari Allah dan juga ilham bagi para Wali-Wali Allah.

2: Qiafah dan Firasah Hukumi.
Adapun bagi maqam ini ia adalah diperolehi melalui proses pembelajaran bersama guru dan pengalaman-pengalaman. Ia biasanya diperolehi oleh para hukama atau para hakim atau ahlul ilmi yang mantap dan mendalam pemerhatiannya terhadap manusia dan orang sekitarnya. 


CONTOH-CONTOH 

Dalam artikel ini tidaklah saya ingin menyebut secara khusus tentang sesuatu qiafah dan firasah itu, cukuplah hanya sekadar menyebut beberapa contoh untuk memberi faham tentang qiafah dan firasah itu. Abtara tanda-tanda qiafah seperti berdasarkan pada dagu, saiz mata, kening, hidung, dahi, bentuk rambut, warna kulit, saiz tubuh besar atau kecil atau sedan, bentuk jari dan sebagainya.

Adapun firasah pula melihat pada geraklaku seseorang samada cara dia berjalan, cara bercakap, cara tuturannya, cara berpakaiannya, dan sebagainya.

wallahu a'lam.

SEKIAN.

1 Imam al-hafiz imaduddin abil Fida’ Ismail bin Kastir damisqi (ibnu kasir), Tafsir Al-Quranul karim, maktabah taufiqiah, Jaami’ah al-azhar, 2008, hal.36.
2 Ibid.
3 Antaranya oleh imam jalaluddin assuyuti dalam tafsirnya . Juga oleh Al-Hafiz Ibnu Kastir dalam Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, Maktabah Taufiqiah Al-Azhar,(2008), Juz..7, hal. 322, daripada ilmu kemanusiaan atau yang berkait dengan sosiologi dan antropologi. Di dalam kitab-kitab lama ada juga yang disebut sebagai ilmu nujum yang lebih mikro, iaitu bukan melibatkan hubungan manusia dengan bintang-bintang dan penentuan nasib manusia. 

Sunday 20 August 2017

ILMU PERANG :


MUQADDIMAH

Perkembangan sesebuah negara atau tamadun mana-mana negara di dunia yang berkembang sejak mula-mula manusia mengenal erti bernegara adalah secara pasti akan dikaitkan dengan perkembangan ilmu peperangan atau pun berkaitan dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataannya. Malah Al-Quran telah pun menceritakan betapa pentingnya ilmu peperangan dan persenjataan didalam sesebuah negara itu sehingga Allah Ta’ala mengurniakan mukjizat yang hebat kepada Nabi Daud iaitu kepandaian membuat pakaian atau alatan perang dari besi, dan alatannya itu adalah satu teknologi yang terbaik. Firman Allah ;
  
“Dan Kami telah ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, supaya dapat memelihara kamu di dalam peperangan; Maka apakah kamu bersyukur”.
 (Al-Anbiya: 80);
  
“Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepada Daud kurnia dari kami. (kami berfirman): "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud", dan Kami telah melembutkan besi untuknya”,
(Saba’: 10)

Justeru gambaran yang cukup jelas dari Allah tentang perkaitan di antara kekuatan ketenteraan dan keilmuan peperangan itu, maka rasanya amat sesuai untuk kita berbicara serba sedikit tentang peperangan dan kekuatan peralatan persenjataan yang sekaligus menggambarkan kebijaksanaan ilmunya, kehalusan budi, keberanian dan kekuatan iman Jihad bagi satu-satu bangsa di dunia, dahulu dan kini khasnya di alam Melayu.

KHAZANAH TINGGALAN ILMU PERANG ORANG MELAYU.

Rumpun Melayu yang teramat luas dan lama ini pada dasarnya pasti tersimpan berbagai tinggalan khazanah ilmu kebijaksanaan perang dan persenjataan yang diwariskan kepada generasi yang terkemudian. Sebagaimana bangsa-bangsa besar dunia yang lain yang mewariskan tinggalan-tinggalan tamadun lamanya untuk diambil manfaat oleh generasi yang baru sebagai salah satu tanda dan bukti tentang kewujudan kekuatan bangsanya yang terdahulu.  Sebab itulah jika sesebuah bangsa itu tiada sebarang “tinggalan lampau” maka orang akan berkata bahawa bangsa itu tiada asal usul.     

Kepandaian didalam ilmu berperang orang-orang Melayu dapat dilihat didalam beberapa catatan hikayat prosa klasik. Walaupun catatan-catatan tersebut dikatakan sebagai satu hikayat sastera yang mengandungi berbagai unsur personifikasi untuk menyedapkan cerita, namun jika pengarangg atau pencerita itu tiada pengetahuan didalam ilmu perang maka pasti pencerita itu tidak mampu bercerita dengan pelbagai teknik helah didalam berperang seperti yang dapat dirujuk didalam prosa Hikayat Hang Tuah ;

“ Maka dilihat oleh penjurit itu akan laksamana, maka diusirnya akan laksamana. Laksamana pun undur sambil mengerling matanya melihat tempat bertahan. Hatta dengan takdir Allah Ta’ala maka Laksamana pun bertemu dengan lorong batu kiri kanan, tiada dapat orang berjalan. Maka Laksamana pun melompat masuk ke dalam lorong itu menghunus keris panjangnya lalu bertahan di muka lorong itu. Maka dilihat oleh penjurit itu Laksamana masuk ke dalam lorong itu, maka penjurit empat puluh itu pun datanglah ke muka lorong itu bercucuk ikan masuk ke dalam lorong itu. Maka Laksamana pun melompat lalu diparangnya bahunya putus. Maka datang seoran lagi hendak menikam; maka diparang oleh Laksamana, itu pun putus. Dengan demikian penjurit empat puluh itu banyaklah mati oleh Laksamana...” 1

Contoh-contoh kepandaian ilmu hulubalang atau ilmu gagah berani itu terus menerus diterima oleh sebahagian para generasi pewarisnya sebagai salah satu daripada warisan seni tradisi orang-orang Melayu terdahulu, dan ini termasuklah kepandaian ilmu persenjataannya. Namun apakah ianya hanya cukup sebagai tinggalan warisan seni yang hanya untuk ditonton libur pada waktu-waktu rehat senggang penonton ?. Tidakkah terasa bahawa ianya satu ilmu yang amat perlu dan penting untuk dipelajari khasnya di dalam keadaan dunia jagat yang semakin tidak menentu darjah keselamatannya ?.

1.     Ilmu Hulubalang Atau Ilmu Perang

Ilmu hulubalang atau di kenal juga dengan nama-nama lain seperti ilmu gagah berani, ilmu penjurit, ilmu gayung atau ilmu seni silat adalah kesemuanya merupakan ilmu perang yang di miliki oleh hampir keseluruhan umat Melayu terdahulu sebagai salah satu daripada syarat utama kelelakian seseorang, dan sebagai ilmu “asas kehidupan” pada masa lampau. Ia di pelajari secara bersanad 2 dari para pendekar orang-orang Melayu terdahulu.

Ilmu perang YANG TRADISI ITU walaupun sudah dianggap sebagai tidak relevan lagi bagi sesetengah orang dengan mendakwa bahawa dunia sekarang telah maju dan semuanya menggunakan teknik peperangan jarak jauh seperti menggunakan senapang, pistol, jet roket dan sebagainya, namun persoalannya adakah peperangan itu tidak akan pernah berlaku pertempuran jarak dekat ?, yang mungkin akan memerlukan kepandaian dan ketangkasan beladiri tempur menggunakan tulang empat kerat tangan dan kaki.  

2.     Kekuatan Persenjataan Tradisinya.

Didalam tradisi peperangan orang-orang Melayu terdahulu, beberapa jenis senjata tidak dapat dipisahkan dengan ilmu Hulubalang atau ilmu bergayung 3 orang-orang Melayu, antaranya penggunaan beberapa jenis senjata yang digunakan untuk berperang, dan sebahagian dari alat perang atau senjata itu dianggap sebagai mempunyai kuasa mistik dan lambang kegagahan dan kepandaian.

Antara sebahagian dari senjata-senjata itu ialah (sekadar beberapa nama) ;

 Keris 

Senjata ini amat masyhur dan menjadi senjata rasmi bagi setiap pendekar untuk dipelajari dan dimahiri penggunaan dan penjagaannya. Bentuk buatannya adalah amat luar biasa dan ia menggambarkan kehalusan pencipta dan pemakainya yang sesuai dengan senjata itu, seperti “ibarat cincin sama bentuk dengan jari manisnya”. Malah kejatuhan kerajaan melayu dan kelemahannya juga dikaitkan secara ironisnya dengan senjata Keris Taming Sari milik Hang Tuah walau pun pada hakikatnya kejatuhan dan kelemahan kerajaan Melayu terdahulu adalah kerana kelemahan iman dan keruntuhan kebijaksanaan pemerintah dan rakyatnya sendiri.

Keris biasanya akan dikaitkan dengan kuasa mistik dan juga menggambarkan taraf kuasa atau pangkat yang ada pada pemakainya.   Keris yang digunakan oleh orang-orang melayu terdahulu biasanya mempunyai dua jenis iaitu “Keris Sepukal” dan “Keris Sempena” , atau Keris tidak berlok atau yang berlok. Dalam tradisi penggunaan senjata Melayu, “Keris Sepukal” biasanya digunakan sebagai senjata untuk membunuh pesalah-pesalah dengan ditkam di atas bahu pesalah itu oleh penghulu-penghulu kampung atau pegawai istana. Keris untuk bertempur ada yang pendek sebagai pendua, dan yang panjang sehingga empat jengkal.

Sundang

Sebuah senjata panjang lurus seakan-akan parang atau pedang. Ia mempunyai dua mata dengan saiz ketajamannya yang sama diantara kedua mata tersebut.

Kerambit

Ia dipanggil dengan berbagai nama seperti Lawi Ayam, Kuku Ayam, Rambai Ayam atau Kurabumi. Kerambit adalah salah satu daripada senjata sulit para pendekar orang-orang Melayu yang biasanya di simpan didalam sanggul-sangul serikandi atau bengkung para pendekar. Saiznya yang hanya sebesar tapak tangan amat berbahaya kerana biasanya orang yang diserang dengan menggunakan senjata ini pasti akan membawa maut kerana bentuk buatannya yang unik. 

Buloh Runcing

Buloh runcing adalah senjata yang terhasil daripada sebatang buloh sepanjang pusat yang disediakan kepada pejuang-pejuang Melayu untuk membunuh musuhnya. Ia berbentuk tajam meruncing pada sebelah hujungnya dan bersaiz secekak tangan. Buluh yang terpilih ialah biasanya dari jenis “buluh gading atau buluh kuning” kerana kepercayaan orang-orang Melayu terhadap buluh jenis itu yang dikatakan mempunyai kuasa mistik yang mampu melukakan atau membunuh pengamal ilmu kebal kulit.

PEPERANGAN DAN KEKUATAN NEGARA

Dunia sehingga ke hari ini senantiasa memperkasa dan memperkemaskan ilmu dan peralatan persenjataannya dari senjata yang bersifat tradisional seperti pedang, lembing dan senapang, sehinggalah kepada yang lebih moden dan canggih seperti kelahiran alatan perang dengan ciptaan teknologi yang berbagai nama dan jenis cara gunanya. Buatan dengan penggunaan sistem komputer seperti penghasilan jet-jet roket kapal terbang perang jarak jauh, kapal selam perang, dan sebagainya. Malah mampu pula menghasilkan pelancaran bom nuklear dari jarak jauh. Ciptaan bom-bom nuklear itu adalah untuk kekuatan pertahanan negaranya atau sebagai senjata perangnya seperti yang telah dilakukan oleh tentera British dan Amerika Syarikat ke atas Negara Jepun semasa perang dunia kedua dahulu.

Justeru itu, mana-mana negara yang lemah dari segi ilmu dan peralatan ketenteraannya maka kekuatan negara tersebut sebenarnya sentiasa didalam ancaman keselamatan, dan kelemahan tersebut biasanya akan dimanipulasikan oleh negara-negara yang lebih kuat walaupun kecil pada saiznya seperti Belanda yang pernah mampu menakluki Indonesia yang keluasan negara dan jumlah penduduknya yang jauh berbeza banyaknya.

Kegilaan kerajaan-kerajaan dunia itu senantiasa berlaku, dan yang terkininya ialah cadangan kerajaan Australia untuk membeli dan mempersiapkan kekuatan angkatan tentera dan peralatan perangnya secara besar-besaran. Kenyataan ini sepatutnya diambil perhatian oleh negara-negara lain khasnya kerajaan Malaysia. Masakan kalau tiada apa-apa tempua bersarang rendah ?. Maka Malaysia patut lebih berhati-hati dengan membesarkan gerakan memperkasakan pertahanan negara dengan membina kekuatan iman jihad rakyat dan tenteranya.

KEKUATAN SEBENAR IALAH KEKUATAN JIHAD UMATNYA

Kita sedia maklum bahawa kekuatan persenjataan itu mungkin tidak dapat di gunakan mengikut mana-mana hajat tentera atau negara jika tidak di sertai dengan kekuatan rohani para tenteranya. Ia boleh dilihat pada peristiwa penyerangan negara besar dunia Rusia ke atas Afghanistan dengan berbagai serangan persenjataan yang cukup canggih oleh tenteranya pada era tahun 1980 an dahulu. Kehebatan alatan Rusia itu tidak mampu menandingi kehebatan jihad dan iman penduduk Afghanistan walaupun miskin sehingga Rusia terpaksa pulang dengan tangan kosong dan hampa.

Bangsa Melayu pernah mencapai tamadun besar dengan mempunyai kekuatan dan kehebatan perangnya seperti kerajaan Melaka, kerajaan Seri Wijaya, kerajaan Merong Mahawangsa, dan kekuatan kerajan Melayu Pattani 4. Namun oleh kerana beberapa perkara yang dikira sebagai faktor kekuatan musuh dan kelemahan umat terdahulu maka negara-negara tersebut ditimpa kehancuran.

Membina kekuatan rohani tentera itu amat perlu di samping membina kekuatan alatan-alatan perang. Di sarankan kepada mana-mana pemimpin untuk melibatkan usahanya secara tekun kearah melatih dan membina “ para syabab” dengan kesedaran juang dan membina persiapan perang dan ilmunya setiap masa kerana Firman Allah ;
  
“Dan sediakanlah untuk menentang (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu”.
(Al-Anfal; 60).

Antara Dalil Jihad Di Dalam Islam
   
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas”.
(Al-Baqarah : 190)

MUSUH DI DALAM SELIMUT

Semenjak zaman penjajahan Tanah Melayu, perbezaan kepentingan dan juga pengampu di dalam mana-mana kumpulan atau individu sentiasa berlaku. Antara peristiwa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah peristiwa Datok Sagor yang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Inggeris. Diberitakan bahawa orang-orang Melayu pengampu Inggeris telah memberitahu kepada penjajah itu tentang petua bagaimana untuk menamatkan nyawa Datuk Sagor,  iaitulah dengan mencelupkan paku dengan minyak babi lalu dibenamkan ke dalam ubun-ubun Datuk Sagor di Matang, Perak 5. Peristiwa hampir sama juga berlaku kepada pahlawan Kelantan Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Muhammad Hasan bin Munas (1853M –1915M) yang akhirnya mati kerana persepakatan orang-orang Melayu tempatan dan Singapura yang menyebelahi Kerajaan Inggeris pada masa itu 6.

Dipercayai bahawa sifat-sifat sedemikian yang akhirnya membawa kepada kebinasaan angsa sendiri akan terus berlaku sampai bila-bila sehinggalah manusia itu luput dari muka bumi ini sebagaimana  Firman Allah di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat ke 36;

(Mafumnya) ;
“ lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu, dan dikeluarkan keduanya daripada (segala kenikmatan) ketika keduanya di sana (syurga). Dan Kami berfirman; Turunlah kamu! sebagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan."

Peristiwa hampir sama akan sentiasa berlaku, Sejarah adalah cerminan dan panduan masa depan. Negara adalah tapak bagi semaian kehidupan bagi generasi akan datang. Maka perhatian kini adalah persiapan mengadakan kekuatan dan rahsia persenjataan didalaam menghadapi risikan dan perhatian musuh dari dalam dan luar negara yang senantiasa bersedia untuk menerkam.

Musuh tidak dikira sesiapa. Oleh itu kepada pemimpin atau yang mempunyai kuasa didalam negara janganlah sehingga rakyat akan menyangka bahawa pemimpinnya juga boleh menjadi musuh kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Justeru usah ditimpa musibah yang kedua keatas ummah generasi kini gara-gara kejahilan dan kelalaian pemimpin yang mungkin mata fokusnya tidak peka tentang keselamatan....

SEKIAN.




1 Hikayat Hang Tuah; Diusaha rumi oleh Kasim Ahmad, (1975), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 
2 Wan Baharuddin Wan Mamat ; (2014), Seni Silat Dari kacamata Islam, Seni Gayung Fatani, Pustaka Hayyi, hal.7
3 Perkataan “GAYUNG” bagi tradisi orang-orang Melayu adalah bermaksud SILAT. Oleh itu apabila disebut bergayung maka ia bererti “bersilat”.
4 Ia pernah menjadi Negara penasihat bagi Negara-negara luar dan juga kerajaan terawal yang bertamadun di dunia, dan lahir sebelum kelahiran Nabi Isa Alaihissalam lagi ( Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Syeikh Safiuddin Al-Abbasi (1994); Tarikh Al-Fatani, Dalam Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, Jil.1, transliterasi oleh Haji Shaghir Abdullah, 
5 Mustapha Hussain;(1999), Memoir Mustapha hussain, 
6 Abdullah Zakaria bin Ghazali; (2006), Kebangkitan Tuk Janggut 1915 dan Naskhah Sejarah Peperangan Tuk Janggut Di Dalam Warisan Kelantan xxv,  

Wednesday 16 August 2017

PENDIDIKAN DI DALAM
MASYARAKAT MADANI
Oleh : Ustaz Wan Baharuddin Al-Kutani.

MUQADDIMAH
Kertas ini pada asasnya akan menerangkan tentang topik-topik yang berkaitan dengan pendidikan dan hubungannya dengan sesebuah masyarakat madani. Bila menyebut masyarakat madani adalah secara tidak langsung sebenarnya menggambarkan tahap atau proses pendidikan yang tinggi yang telah berlaku terhadap masyarakat tersebut. Namun beberapa persoalan mungkin timbul tentang apakah bentuk dan sistem pendidikan yang diamal oleh sesebuah masyarakat itu sehingga mencapai tahap madani atau maju ?, dan apakah takrif masyarakat madani itu sendiri menurut Islam?. Maka untuk menjelaskan isu tersebut beberapa perkara akan kita bincangkan disini.

PENGENALAN
Masyarakat madani atau maju adalah paksinya memenuhi beberapa aspek yang penting yang semestinya berpaksikan kepada pendidikan serta bermatlamatkan kepada keberkesanan di dalam pelaksanaan maqashid asyar’iah seperti yang termaktub di dalam perkara-perkara Ad-dhururiyyah syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Proses pemeliharaan itu meletakkan kefardhuan utama pendidikan sebagai fardhu ‘ain ke atas setiap mukallaf sebagaimana ayat pertama yang diturunkan iaitu “IQRA” . Sebagaimana juga yang didasarkan kepada maksud hadis bahawa telah difardhukan ke atas setiap muslim itu untuk menuntut ilmu, dari buaian sehingga keliang lahad. Pengabdian atau kehambaan yang telah disebut secara jelas oleh Al-Quran iaitu Allah tidak menjadikan jin dan manusia itu melainkan adalah semata-mata atau bermatlamatkan ibadat kepada Allah, atau menurut Ibn Abbas bahawa ayat itu adalah membawa maksud “untuk bertauhid” kepada Allah 1. Samada untuk beribadat (‘ubudiyah) atau bertauhid (makrifat) kepada Allah adalah sebenarnya membawa kepada dalil atau hujjah yang meletakkan pendidikan itu sebagai yang sangat utama di dalam Islam.

Oleh sebab itu juga hubungan di antara manusia dan pendidikan adalah merupakan hubungan fitrah wajib yang berlaku semenjak manusia mula lahir atau sebelum kelahirannya ke dunia lagi. Pendidikan yang dialami oleh setiap manusia semenjak di dalam kandungan ibu adalah merupakan asas bagi seseorang individu yang akhirnya membentuk dan mencorakkan sesebuah masyarakat di dalam berbagai acuan ilmu yang dituntut mereka. Pendidikan yang berlaku secara fitrah mulai di dalam kandungan ibu itu akan terbekas pula ke dalam jiwa kanak-kanak yang dilahirkan ke dunia, dan bersamanya juga ilmu dan watak yang telah dipelajari selama sembilan bulan dan sepuluh hari didalam rahim. Maka cerminan bayi dan individu itulah yang melahirkan pula cerminan di dalam sesebuah masyarakat. Sabda Nabi Sallahu alaihi wasallam; “Setiap bayi itu lahir dengan fitrah, maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau pun Nasara”. Sinonim itu, bahawa penilaian di dalam membina sesebuah masyarakat yang madani juga bergantung kepada taraf pendidikan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat tersebut yang pastinya bermula dari alam buaian atau sebelumnya. 

2.         DEFINASI PENDIDIKAN DAN
PERBEZAAN DENGAN PENDIDIKAN iSLAM
Pada umumnya pendidikan telah diberi dengan berbagai tafsiran yang secara ratanya merupakan satu proses pengubahan sikap dan perilaku seseorang atau kelompok manusia di dalam usaha untuk mendewasakan manusia itu sendiri, samada melalui proses pengajaran atau latihan, atau pun melalui berbagai usaha yang menjurus kepada telaksananya kepintaran, kecergasan, kesihatan, ketenangan dan kebahagian, atau berbagai lagi unsur yang menjadikan individu dan masyarakat itu lebih baik dari sebelumnya iaitu semakin baik akhlaknya. Sebagaimana yang telah disebut di dalam al-Quran iaitu sesungguhnya Allah tidak mengutuskan Muhammad itu sebagai Rasul melainkan adalah semata-mata untuk memperbaikkan akhlak manusia sejagat, juga yang telah disinggung oleh Allah di dalam FirmanNya ;
  
“Dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutNya sebagaimana yang telah member petunjuk hidayah kepada kamu; dan  sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya ( sesat)” (Al-Baqarah :198).

Namun di dalam memberikan pengertian pendidikan secara lebih khusus, maka beberapa tokoh telah mengemukakan definasinya antaranya seperti John Stuart Mill (filosof Inggeris, 1806-1873 M) yang telah memberikan pengertian pendidikan sebagai sesuatu yang meliputi apa-apa perkara yang telah dikerjakan oleh seseorang untuk dirinya atau oleh orang lain untuk dirinya dengan bertujuan untuk mendekatkan dirinya kepada tingkatan yang lebih sempurna.

Begitu juga bagi H. Horne, beliau telah menyatakan bahawa pendidikan itu sebagai satu proses yang terus menerus (abadi) dari penyesuaian yang lebih tinggi bagi manusia yang telah memperkembangkan fizikal dan mental manusia, yang mempunyai kebebasan dan kesedaran terhadap keperluan-keperluannya, dan ia tergambar pada diri intelektualnya, emosinya dan sifat kemanusiaannya.

Edgar Dalle pula berkata bahwa Pendidikan itu merupakan usaha yang bersama yang dilakukan oleh keluarga, masyarakat, dan pemerintah melalui kegiatan-kegiatan bimbingan, pengajaran dan latihan, yang berlangsung di sekolah dan di luar sekolah sepanjang hayat untuk mempersiapkan warga didiknya supaya dapat melaksanakan peranan-peranannya di dalam lingkungan kehidupannya yang berbagai secara istiqamah sehingga ke masa yang akan datang.

Ibnu Muqaffa, salah seorang tokoh bangsa Arab yang hidup pada tahun 106 Hijrah sehingga tahun 143 Hijrah juga pengarang Kitab “Kalilah dan Daminah” mengatakan bahwa : “Pendidikan itu ialah sebagaimana perkara asas seperti makan dan minum yang kita perlukan untuk mendapatkan sesuatu yang akan menguatkan semua anggota kita. Oleh itu pendidikan adalah merupakan santapan akal dan rohani yang melebihi keperluan dari keperluan yang lain kerana dengannya dapat dibina sebuah peradaban yang lebih tinggi dan maju”

Dari penghasilan beberapa definasi tersebut secara rumusnya telah menjelaskan kesyumulan dan kesejagatan Islam sebagai Ad-Din yang telah pun diterima secara langsung atau tidak langsung termasuklah dari ahli fikir Barat. Oleh kerana Islam yang telah diturunkan itu adalah agama yang sejagat dan tidak terpisah-pisah serta sebagai panduan hidup termasuklah didalam hal pendidikan, maka sewajibnya dikembalikan panduan itu berdasarkan Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab; “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk ikutan kamu”. (Ayat yang ke21)

Adapun pendidikan Islam yang penegakkannya bermatlamatkan maslahah atau kebaikan ummah sejagat adalah berpaksikan kepada dua faktor utama sebagaimana yang telah disebut oleh Syeikh Syahidullah Ramadhan Al-Buti di dalam kitabnya, Fiqh Sirah; “ Tegas sekali bahawa bila melihat dimana dakwah para Anbiya’ keseluruhannya adalah bersendikan kepada dua asas yang utama iaitulah ‘Aqidah (kepercayaan) dan perundangan serta akhlaq 2. Berkaitan dengan itu maka ia dihuraikan didalam beberapa bentuk pendidikan didalam Islam seperti Pendidikan Tauhid, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Muamalat, Pendidikan Munakahat, Pendidikan Perundangan dan Jinayat, Pendidikan Ibadat, Pendidikan Siasah dan Tadbir (pendidikan politik), Pendidikan Jihad dan As-Shail (pendidikan perang dan mempertahankan diri) dan sebagainya yang meliputi juga ranting-ranting lain seperti pendidikan sukan, pendidikan seni dan sebagainya. 

Justeru penekanan pendidikan Islam adalah meliputi dua matlamat kebaikan iaitu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan sebagaimana peringatan Allahu Ta’ala kepada warga pendidik yang telah di sebut di dalam surah At-Tahrim ayat 6 (mafhum) ; “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli (keluarga dan orang-orang yang di bawah kekuasaan) kamu daripada api neraka” , maka inilah antara paksi penting yang membezakan di antara pendidikan Islam dengan yang lainnya. Oleh itu Islam meletakkan pendidikannya adalah melalui proses ta’dib, ta’lim, irsyad dan tadris yang meliputi aspek memberi adab, mengajar, memberi tunjuk ajar dan pengajaran kepada anak-anak atau masyarakat warga didiknya.

3.         FALSAFAH DAN MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
Didalam berkecamuknya pemikiran dan cara untuk mengatasi berbagai gejala social dan jenayah yang semakin menghimpit dunia malah sehingga ke Negara-negara yang pada labelnya berjenama Islam, maka berbagai teori dan pandangan disusun reka yang sesetengahnya dijadikan falsafah bagi system untuk mengatasi. Walhal acuan yang sudah terhidang lama oleh Islam melalui KitabNya dan RasulNya kepada seluruh umat setiap zaman telah meletakkan gambaran bahawa seolah-olah masyarakat Islam semasa ini merasakan seperti ada Tuhan lain selain Allah dan ada aturcara dan guru lain selain Rasulullah.
           
Mendukacitakan pula dengan lahirnya berbagai teori dan ajaran seperti falsafah Liberalisme, Pluralisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Nasionalisme dan berbagai isme-isme lagi yang sebenarnya menampakkan kejanggalan bagi pendukung dan pengikutnya tentang ilmu Islam. Bukti dari sirah pembinaan tamaddun yang telah berlaku berdasarkan kepada sentuhan didikan Rasulullah semasa di Mekah dan di Madinah yang telah berjaya merubah masyarakat Arab yang Jahililiyyah dari segi agama dan akhlaknya tetapi tidak pada tamadun materialnya kepada satu masyarakat yang cukup hebat akhlak dan tinggi jiwanya perlu digali dan diikuti oleh setiap masyarakat kini sebagai satu acuan penting di dalam proses pendidikan ummah.    

Perkara asas yang menjadi aspek di dalam penekanan pendidikan Islam samada untuk membina masyarakatnya berilmu, berakhlak, berkebolehan, berktrampilan dan bertanggungjawab kepada masyarakat adalah sebenarnya tergolong di dalam prinsip memahami perkara-perkara yang menjadi maqashid didalam syariah itu sendiri seperti yang dijelmakan melalui beberapa saluran sempadan syariah sebagaimana yang telah disebut oleh Syeikh Imam Asy-Syatibi iaitu;

“Taklif syariat itu adalah manfaatnya kembali kepada pemeliharaan tujuan-tujuannya pada makhluk, iaitu pemeliharaan tujuan-tujuannya yang tiga iaitu pemeliharaan Dhururiyyat, hajiyyah dan tahsiniyyah” .

Melalui tujuan-tujuannya yang tiga itu boleh juga diterjemahkan kedalam empat perkara asas yang menjadi prinsip dan matlamat di dalam pendidikan Islam iaitu sebagaimana berikut;

3.1.      Beriman
            Antara perkara asas atau dhururiyyah Syariat iaitulah menjaga agama. Justeru itu Islam telah meletakkan “Had” ke atas pesalah-pesalah murtad sebagai mengkhianati agama dan wajib dibunuh samada ke atas lelaki atau perempuan sebagaimana Hadis Rasulullah, “Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari).

Beriman yang di dalamnya juga mengandungi taqwa secara pasti sebenarnya mampu melahirkan setiap manusia itu berada di dalam “perasaan Ada Allah” di dalam roh dan jiwanya. Matlamat itu jugalah yang menjadi natijah atau pengakhiran bagi setiap dari titah perintah Allahu Ta’ala seperti perintah puasa iaitu “Mudah-mudahan kamu semua bertaqwa” (Al-Baqarah). Sekiranya pendidikan iman dan taqwa ini dapat diberi didikan maka pasti akan tiada ada orang yang berani mencuri atau melakukan apa-apa kemungkaran kerana perasaannya bahawa “Ada Allah” mampu memberi rasa “sentiasa diperhatikan” di dalam setiap ketika dan waktu. Serta melahirkan sifat-sifat Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang akhirnya melahirkan manusia yang mampu melaksanakan tugas secara yang terbaik dan seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang maju dan bertamaddun.
    
3.2.      Berilmu
Pendidikan yang memberi ilmu sebagai sumber asas untuk membina mana-mana tamaddun dan bersinonim dengan itu juga Rasulullah ada Bersabda bahawa, “sekiranya kamu inginkan kejayaan dunia adalah dengan ilmu, sekiranya kamu inginkan kejayaan akhirat juga perlukan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga maka perlukan ilmu”

Ketinggian Sabda tersebut telah di bolot oleh ratanya dari bangsa Eropah sehingga terciptalah berbagai tamadun duniawinya yang orang-orang Islam hanya mampu menerima takdir sebagai penerima dan pengguna sahaja seperti komputer dan sebagainya.

3.3.      Beramal
Islam bukanlah agama imu semata-mata yang tidak mementingkan amal. Oleh kerana itu seorang sufi agong, Syeikh Ibn ‘Athaillah Askandari Rahimahullahu “alaihi di dalam Hikamnya pada bilangan ke 48 telah berkata bahawa, “ Sebahagian tanda mati hati itu ialah apabila tiada rasa sedih ke atas perkara-perkara yang terluput dari syara’, dan tidak menyesal terhadap apa-apa perbuatannya yang menyalahi syara’” 3 

3.4.      Ikhlas
Firman Allah di dalam al-Quran surah Al-Bayyinah ayat 5 (mafhum), 
“ Dan tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk menyembah Allah dengan sepenuh keikhlasan di dalam (menunaikan) agama, lagi dengan lurus.” 
Perkara inilah yang menjadikan asas utama bagi setiap umat Islam yang terdahulu dan sewajibnya menjadi matlamat di dalam setiap apa-apa program dan latihan.

Seseorang yang ikhlas akan mampu terus berusaha walau di uji dan tanpa ganjaran. Seorang anak yang dididik dengan ikhlas akan mampu tersenyum membantu ibu di dapur. Begitu juga seorang ibu dan suami akan sentiasa istiqamah di dalam tugas-tugasnya secara rela walau sesekali tiada balasan.   

4.         INSTITUSI-INSTITUSI AWAL PENDIDIKAN ISLAM
Apabila disebut Institusi Pendidikan maka beberapa ciri seperti tempat belajar, kurikulum pembelajaran dan pengajaran, system iaitu seperti perlembagaannya, aturcaranya dan sebagai, dan juga guru adalah secara langsung akan turut terlibat dan disentuh.

Didalam al-Quran telah menceritakan bagaimana proses pendidikan atau pengajaran yang mula-mula berlaku ke atas makhluk iaitu di antara Allah, Malaikat dan Adam Alaihissalam di dalam Syurga. Bermula dengan gambaran Firman Allah di dalam Al-Baqarah ayat 31 hingga 33 (mafhum), “Dan Dia mengajarkannya kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya. Kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu Berfirman, Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar. Lalu mereka (para Malaikat) menjawab, Maha Suci Engkau tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah Berfirman, Hai Adam !, beritahulah kepada mereka (Malaikat) nama-nama benda ini. Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah Berfirman, Bukankah sudah Aku katakan kepada kamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan mnegetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan ”.

Bermula dari Nabi Adam Alaihis Salam sebagai ketua bagi sekelian manusia yang telah dilantik sebagai Khalifah dibumi telah membuktikan bahawa Islam itu sebenarnya telah membawa pendidkannya secara berinstitusi. Institusi pendidikan Islam yang seawalnya yang kemudiannya telah diamal dan dibawa oleh para alim ulama terdahulu sebenarnya telah berlaku secara berbagai bentuk. Namun teras asasnya adalah bermula dengan pendidikan ROHANI iaitu dengan latihan hafazan al-Quran dan Hadis dari seawal usia enam ke tujuh tahun yang kemudiannya baharulah ditumpukan kepada pendidikan aqliah seperti matematik, sains dan sebagainya 4.

4.1.      Institusi Pendidikan Di Masjid
Alam masjid dan Islam adalah merupakan hubungan yang sangat akrab secara amalannya semenjak awal perkembangan Islam dan pendidikannya. Hubungan tersebut adalah berlaku secara terus menerus sehingga ke hari ini dimana institusi masjid masih lagi dianggap sebagai satu tempat yang paling sesuai untuk belajar kerana peranan ibadatnya yang meliputi amalan i’tikaf, solat tahiyyatul masjid, zikir dan sebagainya selain daripada untuk solat berjamaah semata-mata. Malah ada sebahagian Masjid Jami’ (masjid tempat untuk solat jumaat) itu menjadi pusat pengajian tinggi yang cukup masyhur sehingga ke hari ini iaitulah Universiti Al-Azhar di Mesir yang bermula dari tahun 378 Hijrah lagi yang dididirikan oleh Zauhar Ash Siqilli.

Melalui system yang diamalkan itu samada di Mekah, Madinah, Mesir atau sebagainya, ia kemudiannya terus berkembang ke seluruh dunia termasuklah ke Semenanjung Tanah Melayu dengan terbentuknya pengajian Pondok yang pada asasnya merupakan pendidikan institusi masjid yang merupakan tempat belajar secara halaqah dan talaqqi bersama guru-gurunya. Mungkin sistem pengajian yang berteraskan pengajian majid ini rasanya amat patut dibina dan dibangunkan juga kepada sekolah-sekolah berdasarkan kepada nilai keberkatannya sebagai “Rumah Allah” melalui diwujudkan setiap masjid bagi setiap sekolah untuk aktiviti P&P nya, samada sebagai aktiviti pengajian Kurikulum atau sebagai aktiviti Ko-Kurikulum sekolah 5

4.2.      Di Rumah- Rumah
Pada awal sebelum perkembangan islam dan sebelum berlakunya dakwah secara terang dan nyata, Rasulullah pernah melakukan proses dakwah dan pendidikannya secara sembunyi-sembunyi dan melakukan proses pendidikannya secara yang bersesuaian dengan tahap Islam dan pengikutnya pada masa itu di rumahnya dan juga di rumah sahabatnya yang bernama Al-Arqam Ibnu Abil Arqam.

Begitu juga sebagaimana yang telah ditulis oleh Ibnu Abi Usaibi ‘ah di dalam kitabnya “Al-Qifthi” yang ada menceritakan tentang pendidikan serta pengajaran Ibnu Sina ke atas penduduk-penduduk dan muridnya di atas rumahnya pada waktu malam hari dengan membacakan buku “Asy-Syifa’ “ dan juga “Al-Qanun Al-Tibb”. Malah pendidikan di rumah itu telah berlaku sehingga kepada generasi ulama-ulama yang mutakhir seperti Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman Pondok Lubok Tapah Pasir Mas yang pernah membacakan kitab-kitab seperti Dar An-Nafis dan Sabilul Muhtadin kepada murid-murid yang lama dan yang sudah mahir 6.

Oleh itu pendidikan dirumah ini adalah kebiasaannya berlaku di dalam bentuk pengajian yang lebih khusus dan tidak berbentuk umum dan terbuka kerana demi menjaga kebaikan didalam agama dan amanah ilmu supaya tidak berlaku sebagaimana yang telah diucap oleh Syeikh Ibnu ‘Athaillah Askandari bahawa “jangan meletakkan rantai emas di leher babi”.


4.3.      Kedai-Kedai
Oleh kerana Islam adalah agama sejagat dan mempunyai ciri-ciri fleksibeliti yang merangkumi semua ruang, maka begitu jugalah yang berlaku terhadap institusi pendidikannya. Imam Mujtahid mutlaq, Imam Abu Hanifah yang juga merupakan seorang ahli perniagaan biasa juga melakukan pengajarannya terhadap murid-muridnya seperti Abu Yusof di kedainya didalam bentuk dialog atau soal jawab. Begitu juga dengan kisah yang diceritakan oleh Almarhum Dr. Hamka di dalam bukunya “Kenang-Kenangan Hidup” bahawa beliau pernah belajar ilmu Nahu dan al-Quran di sebuah Toko buku di Acheh Indonesia. 

4.4.      Istana-Istana
Pendidikan yang biasanya berlaku di istana-istana adalah lebih kepada pendekatan ta’dib kepada anak-anak raja seperti yang pernah ditulis oleh Prof. Dr. Ahmad Syalabi didalam bukunya, “Tarikh At-Tarbiyyatul Islamiyyah” yang beliau petik dari karangan Ibnu Qutaibah bahawa telah telah berpesan Abdul Malik bin Marwan kepada pendidik puteranya, “Ajarkanlah kepada mereka berkata benar di samping mengajar al-Quran. Jauhkanlah mereka dari orang-orang jahat. Dan jauhkanlah dari khadam dan pelayan kerana pergaulan dengan khadam dan pelayan itu dapat merosakkan moralnya……”.

5.         CADANGAN MENYUBURKAN ELEMEN PENDIDIKAN DI DALAM                                       KEHIDUPAN.
            Cadangan-cadangan yang dapat menyuburkan elemen pendidikan ialah antaranya;

5.1.      Penurunan Harga Buku dan Prasarana Penerbitan
Memperkembangkan prasana kearah pendidikan dan ilmu seperti memperbanyakkan buku-buku ilmiah yang mampu dibeli oleh masyarakat khasnya, dan para penuntut dengan memberi kelebihan dan insentif khas terhadap syarikat-syarikat buku didalam memperkembangkan edaran dan mutu buku terbitan mereka.

Pemberian Baucar buku 1MALYSIA RM200 yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap penuntut IPT amatlah baik. Namun sekiranya kerajaan memberi kelonggaran atau bantuan penurunan harga bahan-bahan mentah buku adalah dikira lebih memberi manfaat yang berganda kepada pembaca-pembaca kerana dengan penurunan harga bahan mentah seperti kertas dan sebagainya maka sudah pasti harga buku dipasaran akan menjadi lebih murah dan akhirnya akan dapat memberi rangsangan membaca kepada masyarakat seluruhnya.

5.2.      Merakyatkan Sekolah dan Universiti.
Merakyatkan sekolah atau institusi pendidikan kepada semua warga dengan memberi penekanan pendidikan secara percuma dan berterusan. Peluang pendidikan yang terbuka yang sedang berlaku pada waktu ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha Universiti didalam melaksanakan tugas penyebaran ilmu kepada masyarakat. Malah mungkin juga ianya sebagai sebahagian daripada usaha pihak Universiti untuk mencari atau menambahkan pendapatan bagi pihak Universiti itu sendiri. Bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk menambahkan ilmu maka sudah semestinya perlu mempunyai sekitar RM 20 ribu atau lebih semata-mata untuk menunaikan hak aqlinya itu.

Namun bagi individu yang kurang berkemampuan dan miskin, maka perkara tersebut menjadi suatu yang sukar baginya untuk sama-sama didalam mempertingkatkan pengetahuan sebagaimana yang lain-lain. Penulis pernah diceritakan pengalaman seorang yang bersemangat tinggi untuk belajar dan mengalami keperitan kewangan semasa belajar dengan tanpa bantuan dari mana-mana pihak, dan dia cuma mampu berdoa di waktu malam dan berkat doa bapanya yang tercinta, serta ihsan dari pensyarah Universiti tempat beliau belajar. Keadaan demikian amat malang berlaku di Malaysia yang jumlah pendapatan dan hasil negaranya melebihi 200 bilion setahun tetapi masih mengharapkan “duit” pelajar dan rakyat untuk mengoperasikan pendidikan Negara. 
 
6.         RUMUSAN
            Kesimpulan dari tajuk tentang pembinaan tamadun insan melalui pendidikan Islam, maka proses ta’dib, irsyad, ta’lim dan tadris perlu di amal melalui proses-proses yang berterusan dan ikhlas oleh mana-mana yang telah diberi amanah sehingga seluruh insan yang masih lagi hidup ini benar-benar hidup seagaimana insan yang fitrahnya “ilmu dan makrifat” sehingga ke akhir hayat.

Sekian.





1 Abu Thahir Muhammad bin Ya’kup Al-Fairuzzabadi (2011), Tanwiru Al-Miqbasi min Tafsir ibn ‘Abbas, 
2 Dr. Ramadhan al-Buti: (1978), Fiqh Sirah, 

3 Hikam Ibn ‘Athaillah, Syarhi Al-Arif billah Syeikh Zarruq: (2011), Al-Tawfikiya BookShoop, 
4 Sampai kini khasnya di Malaysia masih belum ada mana-mana Institusi tajaan Kerajaaan yang menumpukan pendidikan teras ROHANI (Hafazan Al-Quran dan Hadis) seawal usia enam ke tujuh tahun. Sepatutnya penumpuan ketika seawal usia adalah amat penting diberi tumpuan peneguhan rohani berteraskan hafazan al-Quran dan Hadis dari penumpuan kepada ilmu-ilmu Aqliah (seperti matematik dan sains) yang lain, sebagaimana sistem pengajian ulama-ulama besar terdahulu seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Al-Kindi, Ibn Sina (sekadar menyebut beberapa nama) yang kesemuanya menghafaz al-Quran dari semenjak berusia awal tujuh tahun dan kemudian al-Hadis, kemudian baharulah mempelajari ilmu-ilmu aqli yang lain.
5 Pengalaman penulis ketika mengendali dan mewujudkan kelas pengajian talaqqi kitab pondok di masjid salah sebuah sekolah adalah didapati keberkatan dan kesan kebaikannya apabila ada dikalangan pelajar sekolah tersebut diberi kepercayaan oleh masyarakat kampung untuk membuat tazkirah dan sebagainya di musalla-musalla kampung.
6 Selain dari Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, ada lagi beberapa orang guru yang mengadaakan pengajiaan khusus di rumah antaranya Tuan Haji Ismail in Daud Pasir Mas. Antara kitab yang pernah diajarinya dirumah ialah Kasyful Asrar, Ad-Durul nafis dan berbagai lagi.