Wednesday 16 August 2017

PENDIDIKAN DI DALAM
MASYARAKAT MADANI
Oleh : Ustaz Wan Baharuddin Al-Kutani.

MUQADDIMAH
Kertas ini pada asasnya akan menerangkan tentang topik-topik yang berkaitan dengan pendidikan dan hubungannya dengan sesebuah masyarakat madani. Bila menyebut masyarakat madani adalah secara tidak langsung sebenarnya menggambarkan tahap atau proses pendidikan yang tinggi yang telah berlaku terhadap masyarakat tersebut. Namun beberapa persoalan mungkin timbul tentang apakah bentuk dan sistem pendidikan yang diamal oleh sesebuah masyarakat itu sehingga mencapai tahap madani atau maju ?, dan apakah takrif masyarakat madani itu sendiri menurut Islam?. Maka untuk menjelaskan isu tersebut beberapa perkara akan kita bincangkan disini.

PENGENALAN
Masyarakat madani atau maju adalah paksinya memenuhi beberapa aspek yang penting yang semestinya berpaksikan kepada pendidikan serta bermatlamatkan kepada keberkesanan di dalam pelaksanaan maqashid asyar’iah seperti yang termaktub di dalam perkara-perkara Ad-dhururiyyah syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Proses pemeliharaan itu meletakkan kefardhuan utama pendidikan sebagai fardhu ‘ain ke atas setiap mukallaf sebagaimana ayat pertama yang diturunkan iaitu “IQRA” . Sebagaimana juga yang didasarkan kepada maksud hadis bahawa telah difardhukan ke atas setiap muslim itu untuk menuntut ilmu, dari buaian sehingga keliang lahad. Pengabdian atau kehambaan yang telah disebut secara jelas oleh Al-Quran iaitu Allah tidak menjadikan jin dan manusia itu melainkan adalah semata-mata atau bermatlamatkan ibadat kepada Allah, atau menurut Ibn Abbas bahawa ayat itu adalah membawa maksud “untuk bertauhid” kepada Allah 1. Samada untuk beribadat (‘ubudiyah) atau bertauhid (makrifat) kepada Allah adalah sebenarnya membawa kepada dalil atau hujjah yang meletakkan pendidikan itu sebagai yang sangat utama di dalam Islam.

Oleh sebab itu juga hubungan di antara manusia dan pendidikan adalah merupakan hubungan fitrah wajib yang berlaku semenjak manusia mula lahir atau sebelum kelahirannya ke dunia lagi. Pendidikan yang dialami oleh setiap manusia semenjak di dalam kandungan ibu adalah merupakan asas bagi seseorang individu yang akhirnya membentuk dan mencorakkan sesebuah masyarakat di dalam berbagai acuan ilmu yang dituntut mereka. Pendidikan yang berlaku secara fitrah mulai di dalam kandungan ibu itu akan terbekas pula ke dalam jiwa kanak-kanak yang dilahirkan ke dunia, dan bersamanya juga ilmu dan watak yang telah dipelajari selama sembilan bulan dan sepuluh hari didalam rahim. Maka cerminan bayi dan individu itulah yang melahirkan pula cerminan di dalam sesebuah masyarakat. Sabda Nabi Sallahu alaihi wasallam; “Setiap bayi itu lahir dengan fitrah, maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau pun Nasara”. Sinonim itu, bahawa penilaian di dalam membina sesebuah masyarakat yang madani juga bergantung kepada taraf pendidikan yang dimiliki oleh sesebuah masyarakat tersebut yang pastinya bermula dari alam buaian atau sebelumnya. 

2.         DEFINASI PENDIDIKAN DAN
PERBEZAAN DENGAN PENDIDIKAN iSLAM
Pada umumnya pendidikan telah diberi dengan berbagai tafsiran yang secara ratanya merupakan satu proses pengubahan sikap dan perilaku seseorang atau kelompok manusia di dalam usaha untuk mendewasakan manusia itu sendiri, samada melalui proses pengajaran atau latihan, atau pun melalui berbagai usaha yang menjurus kepada telaksananya kepintaran, kecergasan, kesihatan, ketenangan dan kebahagian, atau berbagai lagi unsur yang menjadikan individu dan masyarakat itu lebih baik dari sebelumnya iaitu semakin baik akhlaknya. Sebagaimana yang telah disebut di dalam al-Quran iaitu sesungguhnya Allah tidak mengutuskan Muhammad itu sebagai Rasul melainkan adalah semata-mata untuk memperbaikkan akhlak manusia sejagat, juga yang telah disinggung oleh Allah di dalam FirmanNya ;
  
“Dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutNya sebagaimana yang telah member petunjuk hidayah kepada kamu; dan  sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya ( sesat)” (Al-Baqarah :198).

Namun di dalam memberikan pengertian pendidikan secara lebih khusus, maka beberapa tokoh telah mengemukakan definasinya antaranya seperti John Stuart Mill (filosof Inggeris, 1806-1873 M) yang telah memberikan pengertian pendidikan sebagai sesuatu yang meliputi apa-apa perkara yang telah dikerjakan oleh seseorang untuk dirinya atau oleh orang lain untuk dirinya dengan bertujuan untuk mendekatkan dirinya kepada tingkatan yang lebih sempurna.

Begitu juga bagi H. Horne, beliau telah menyatakan bahawa pendidikan itu sebagai satu proses yang terus menerus (abadi) dari penyesuaian yang lebih tinggi bagi manusia yang telah memperkembangkan fizikal dan mental manusia, yang mempunyai kebebasan dan kesedaran terhadap keperluan-keperluannya, dan ia tergambar pada diri intelektualnya, emosinya dan sifat kemanusiaannya.

Edgar Dalle pula berkata bahwa Pendidikan itu merupakan usaha yang bersama yang dilakukan oleh keluarga, masyarakat, dan pemerintah melalui kegiatan-kegiatan bimbingan, pengajaran dan latihan, yang berlangsung di sekolah dan di luar sekolah sepanjang hayat untuk mempersiapkan warga didiknya supaya dapat melaksanakan peranan-peranannya di dalam lingkungan kehidupannya yang berbagai secara istiqamah sehingga ke masa yang akan datang.

Ibnu Muqaffa, salah seorang tokoh bangsa Arab yang hidup pada tahun 106 Hijrah sehingga tahun 143 Hijrah juga pengarang Kitab “Kalilah dan Daminah” mengatakan bahwa : “Pendidikan itu ialah sebagaimana perkara asas seperti makan dan minum yang kita perlukan untuk mendapatkan sesuatu yang akan menguatkan semua anggota kita. Oleh itu pendidikan adalah merupakan santapan akal dan rohani yang melebihi keperluan dari keperluan yang lain kerana dengannya dapat dibina sebuah peradaban yang lebih tinggi dan maju”

Dari penghasilan beberapa definasi tersebut secara rumusnya telah menjelaskan kesyumulan dan kesejagatan Islam sebagai Ad-Din yang telah pun diterima secara langsung atau tidak langsung termasuklah dari ahli fikir Barat. Oleh kerana Islam yang telah diturunkan itu adalah agama yang sejagat dan tidak terpisah-pisah serta sebagai panduan hidup termasuklah didalam hal pendidikan, maka sewajibnya dikembalikan panduan itu berdasarkan Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab; “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk ikutan kamu”. (Ayat yang ke21)

Adapun pendidikan Islam yang penegakkannya bermatlamatkan maslahah atau kebaikan ummah sejagat adalah berpaksikan kepada dua faktor utama sebagaimana yang telah disebut oleh Syeikh Syahidullah Ramadhan Al-Buti di dalam kitabnya, Fiqh Sirah; “ Tegas sekali bahawa bila melihat dimana dakwah para Anbiya’ keseluruhannya adalah bersendikan kepada dua asas yang utama iaitulah ‘Aqidah (kepercayaan) dan perundangan serta akhlaq 2. Berkaitan dengan itu maka ia dihuraikan didalam beberapa bentuk pendidikan didalam Islam seperti Pendidikan Tauhid, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Muamalat, Pendidikan Munakahat, Pendidikan Perundangan dan Jinayat, Pendidikan Ibadat, Pendidikan Siasah dan Tadbir (pendidikan politik), Pendidikan Jihad dan As-Shail (pendidikan perang dan mempertahankan diri) dan sebagainya yang meliputi juga ranting-ranting lain seperti pendidikan sukan, pendidikan seni dan sebagainya. 

Justeru penekanan pendidikan Islam adalah meliputi dua matlamat kebaikan iaitu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan sebagaimana peringatan Allahu Ta’ala kepada warga pendidik yang telah di sebut di dalam surah At-Tahrim ayat 6 (mafhum) ; “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli (keluarga dan orang-orang yang di bawah kekuasaan) kamu daripada api neraka” , maka inilah antara paksi penting yang membezakan di antara pendidikan Islam dengan yang lainnya. Oleh itu Islam meletakkan pendidikannya adalah melalui proses ta’dib, ta’lim, irsyad dan tadris yang meliputi aspek memberi adab, mengajar, memberi tunjuk ajar dan pengajaran kepada anak-anak atau masyarakat warga didiknya.

3.         FALSAFAH DAN MATLAMAT PENDIDIKAN ISLAM
Didalam berkecamuknya pemikiran dan cara untuk mengatasi berbagai gejala social dan jenayah yang semakin menghimpit dunia malah sehingga ke Negara-negara yang pada labelnya berjenama Islam, maka berbagai teori dan pandangan disusun reka yang sesetengahnya dijadikan falsafah bagi system untuk mengatasi. Walhal acuan yang sudah terhidang lama oleh Islam melalui KitabNya dan RasulNya kepada seluruh umat setiap zaman telah meletakkan gambaran bahawa seolah-olah masyarakat Islam semasa ini merasakan seperti ada Tuhan lain selain Allah dan ada aturcara dan guru lain selain Rasulullah.
           
Mendukacitakan pula dengan lahirnya berbagai teori dan ajaran seperti falsafah Liberalisme, Pluralisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Nasionalisme dan berbagai isme-isme lagi yang sebenarnya menampakkan kejanggalan bagi pendukung dan pengikutnya tentang ilmu Islam. Bukti dari sirah pembinaan tamaddun yang telah berlaku berdasarkan kepada sentuhan didikan Rasulullah semasa di Mekah dan di Madinah yang telah berjaya merubah masyarakat Arab yang Jahililiyyah dari segi agama dan akhlaknya tetapi tidak pada tamadun materialnya kepada satu masyarakat yang cukup hebat akhlak dan tinggi jiwanya perlu digali dan diikuti oleh setiap masyarakat kini sebagai satu acuan penting di dalam proses pendidikan ummah.    

Perkara asas yang menjadi aspek di dalam penekanan pendidikan Islam samada untuk membina masyarakatnya berilmu, berakhlak, berkebolehan, berktrampilan dan bertanggungjawab kepada masyarakat adalah sebenarnya tergolong di dalam prinsip memahami perkara-perkara yang menjadi maqashid didalam syariah itu sendiri seperti yang dijelmakan melalui beberapa saluran sempadan syariah sebagaimana yang telah disebut oleh Syeikh Imam Asy-Syatibi iaitu;

“Taklif syariat itu adalah manfaatnya kembali kepada pemeliharaan tujuan-tujuannya pada makhluk, iaitu pemeliharaan tujuan-tujuannya yang tiga iaitu pemeliharaan Dhururiyyat, hajiyyah dan tahsiniyyah” .

Melalui tujuan-tujuannya yang tiga itu boleh juga diterjemahkan kedalam empat perkara asas yang menjadi prinsip dan matlamat di dalam pendidikan Islam iaitu sebagaimana berikut;

3.1.      Beriman
            Antara perkara asas atau dhururiyyah Syariat iaitulah menjaga agama. Justeru itu Islam telah meletakkan “Had” ke atas pesalah-pesalah murtad sebagai mengkhianati agama dan wajib dibunuh samada ke atas lelaki atau perempuan sebagaimana Hadis Rasulullah, “Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari).

Beriman yang di dalamnya juga mengandungi taqwa secara pasti sebenarnya mampu melahirkan setiap manusia itu berada di dalam “perasaan Ada Allah” di dalam roh dan jiwanya. Matlamat itu jugalah yang menjadi natijah atau pengakhiran bagi setiap dari titah perintah Allahu Ta’ala seperti perintah puasa iaitu “Mudah-mudahan kamu semua bertaqwa” (Al-Baqarah). Sekiranya pendidikan iman dan taqwa ini dapat diberi didikan maka pasti akan tiada ada orang yang berani mencuri atau melakukan apa-apa kemungkaran kerana perasaannya bahawa “Ada Allah” mampu memberi rasa “sentiasa diperhatikan” di dalam setiap ketika dan waktu. Serta melahirkan sifat-sifat Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang akhirnya melahirkan manusia yang mampu melaksanakan tugas secara yang terbaik dan seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang maju dan bertamaddun.
    
3.2.      Berilmu
Pendidikan yang memberi ilmu sebagai sumber asas untuk membina mana-mana tamaddun dan bersinonim dengan itu juga Rasulullah ada Bersabda bahawa, “sekiranya kamu inginkan kejayaan dunia adalah dengan ilmu, sekiranya kamu inginkan kejayaan akhirat juga perlukan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya juga maka perlukan ilmu”

Ketinggian Sabda tersebut telah di bolot oleh ratanya dari bangsa Eropah sehingga terciptalah berbagai tamadun duniawinya yang orang-orang Islam hanya mampu menerima takdir sebagai penerima dan pengguna sahaja seperti komputer dan sebagainya.

3.3.      Beramal
Islam bukanlah agama imu semata-mata yang tidak mementingkan amal. Oleh kerana itu seorang sufi agong, Syeikh Ibn ‘Athaillah Askandari Rahimahullahu “alaihi di dalam Hikamnya pada bilangan ke 48 telah berkata bahawa, “ Sebahagian tanda mati hati itu ialah apabila tiada rasa sedih ke atas perkara-perkara yang terluput dari syara’, dan tidak menyesal terhadap apa-apa perbuatannya yang menyalahi syara’” 3 

3.4.      Ikhlas
Firman Allah di dalam al-Quran surah Al-Bayyinah ayat 5 (mafhum), 
“ Dan tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk menyembah Allah dengan sepenuh keikhlasan di dalam (menunaikan) agama, lagi dengan lurus.” 
Perkara inilah yang menjadikan asas utama bagi setiap umat Islam yang terdahulu dan sewajibnya menjadi matlamat di dalam setiap apa-apa program dan latihan.

Seseorang yang ikhlas akan mampu terus berusaha walau di uji dan tanpa ganjaran. Seorang anak yang dididik dengan ikhlas akan mampu tersenyum membantu ibu di dapur. Begitu juga seorang ibu dan suami akan sentiasa istiqamah di dalam tugas-tugasnya secara rela walau sesekali tiada balasan.   

4.         INSTITUSI-INSTITUSI AWAL PENDIDIKAN ISLAM
Apabila disebut Institusi Pendidikan maka beberapa ciri seperti tempat belajar, kurikulum pembelajaran dan pengajaran, system iaitu seperti perlembagaannya, aturcaranya dan sebagai, dan juga guru adalah secara langsung akan turut terlibat dan disentuh.

Didalam al-Quran telah menceritakan bagaimana proses pendidikan atau pengajaran yang mula-mula berlaku ke atas makhluk iaitu di antara Allah, Malaikat dan Adam Alaihissalam di dalam Syurga. Bermula dengan gambaran Firman Allah di dalam Al-Baqarah ayat 31 hingga 33 (mafhum), “Dan Dia mengajarkannya kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya. Kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu Berfirman, Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar. Lalu mereka (para Malaikat) menjawab, Maha Suci Engkau tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang Engkau telah ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah Berfirman, Hai Adam !, beritahulah kepada mereka (Malaikat) nama-nama benda ini. Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah Berfirman, Bukankah sudah Aku katakan kepada kamu bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi, dan mnegetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan ”.

Bermula dari Nabi Adam Alaihis Salam sebagai ketua bagi sekelian manusia yang telah dilantik sebagai Khalifah dibumi telah membuktikan bahawa Islam itu sebenarnya telah membawa pendidkannya secara berinstitusi. Institusi pendidikan Islam yang seawalnya yang kemudiannya telah diamal dan dibawa oleh para alim ulama terdahulu sebenarnya telah berlaku secara berbagai bentuk. Namun teras asasnya adalah bermula dengan pendidikan ROHANI iaitu dengan latihan hafazan al-Quran dan Hadis dari seawal usia enam ke tujuh tahun yang kemudiannya baharulah ditumpukan kepada pendidikan aqliah seperti matematik, sains dan sebagainya 4.

4.1.      Institusi Pendidikan Di Masjid
Alam masjid dan Islam adalah merupakan hubungan yang sangat akrab secara amalannya semenjak awal perkembangan Islam dan pendidikannya. Hubungan tersebut adalah berlaku secara terus menerus sehingga ke hari ini dimana institusi masjid masih lagi dianggap sebagai satu tempat yang paling sesuai untuk belajar kerana peranan ibadatnya yang meliputi amalan i’tikaf, solat tahiyyatul masjid, zikir dan sebagainya selain daripada untuk solat berjamaah semata-mata. Malah ada sebahagian Masjid Jami’ (masjid tempat untuk solat jumaat) itu menjadi pusat pengajian tinggi yang cukup masyhur sehingga ke hari ini iaitulah Universiti Al-Azhar di Mesir yang bermula dari tahun 378 Hijrah lagi yang dididirikan oleh Zauhar Ash Siqilli.

Melalui system yang diamalkan itu samada di Mekah, Madinah, Mesir atau sebagainya, ia kemudiannya terus berkembang ke seluruh dunia termasuklah ke Semenanjung Tanah Melayu dengan terbentuknya pengajian Pondok yang pada asasnya merupakan pendidikan institusi masjid yang merupakan tempat belajar secara halaqah dan talaqqi bersama guru-gurunya. Mungkin sistem pengajian yang berteraskan pengajian majid ini rasanya amat patut dibina dan dibangunkan juga kepada sekolah-sekolah berdasarkan kepada nilai keberkatannya sebagai “Rumah Allah” melalui diwujudkan setiap masjid bagi setiap sekolah untuk aktiviti P&P nya, samada sebagai aktiviti pengajian Kurikulum atau sebagai aktiviti Ko-Kurikulum sekolah 5

4.2.      Di Rumah- Rumah
Pada awal sebelum perkembangan islam dan sebelum berlakunya dakwah secara terang dan nyata, Rasulullah pernah melakukan proses dakwah dan pendidikannya secara sembunyi-sembunyi dan melakukan proses pendidikannya secara yang bersesuaian dengan tahap Islam dan pengikutnya pada masa itu di rumahnya dan juga di rumah sahabatnya yang bernama Al-Arqam Ibnu Abil Arqam.

Begitu juga sebagaimana yang telah ditulis oleh Ibnu Abi Usaibi ‘ah di dalam kitabnya “Al-Qifthi” yang ada menceritakan tentang pendidikan serta pengajaran Ibnu Sina ke atas penduduk-penduduk dan muridnya di atas rumahnya pada waktu malam hari dengan membacakan buku “Asy-Syifa’ “ dan juga “Al-Qanun Al-Tibb”. Malah pendidikan di rumah itu telah berlaku sehingga kepada generasi ulama-ulama yang mutakhir seperti Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman Pondok Lubok Tapah Pasir Mas yang pernah membacakan kitab-kitab seperti Dar An-Nafis dan Sabilul Muhtadin kepada murid-murid yang lama dan yang sudah mahir 6.

Oleh itu pendidikan dirumah ini adalah kebiasaannya berlaku di dalam bentuk pengajian yang lebih khusus dan tidak berbentuk umum dan terbuka kerana demi menjaga kebaikan didalam agama dan amanah ilmu supaya tidak berlaku sebagaimana yang telah diucap oleh Syeikh Ibnu ‘Athaillah Askandari bahawa “jangan meletakkan rantai emas di leher babi”.


4.3.      Kedai-Kedai
Oleh kerana Islam adalah agama sejagat dan mempunyai ciri-ciri fleksibeliti yang merangkumi semua ruang, maka begitu jugalah yang berlaku terhadap institusi pendidikannya. Imam Mujtahid mutlaq, Imam Abu Hanifah yang juga merupakan seorang ahli perniagaan biasa juga melakukan pengajarannya terhadap murid-muridnya seperti Abu Yusof di kedainya didalam bentuk dialog atau soal jawab. Begitu juga dengan kisah yang diceritakan oleh Almarhum Dr. Hamka di dalam bukunya “Kenang-Kenangan Hidup” bahawa beliau pernah belajar ilmu Nahu dan al-Quran di sebuah Toko buku di Acheh Indonesia. 

4.4.      Istana-Istana
Pendidikan yang biasanya berlaku di istana-istana adalah lebih kepada pendekatan ta’dib kepada anak-anak raja seperti yang pernah ditulis oleh Prof. Dr. Ahmad Syalabi didalam bukunya, “Tarikh At-Tarbiyyatul Islamiyyah” yang beliau petik dari karangan Ibnu Qutaibah bahawa telah telah berpesan Abdul Malik bin Marwan kepada pendidik puteranya, “Ajarkanlah kepada mereka berkata benar di samping mengajar al-Quran. Jauhkanlah mereka dari orang-orang jahat. Dan jauhkanlah dari khadam dan pelayan kerana pergaulan dengan khadam dan pelayan itu dapat merosakkan moralnya……”.

5.         CADANGAN MENYUBURKAN ELEMEN PENDIDIKAN DI DALAM                                       KEHIDUPAN.
            Cadangan-cadangan yang dapat menyuburkan elemen pendidikan ialah antaranya;

5.1.      Penurunan Harga Buku dan Prasarana Penerbitan
Memperkembangkan prasana kearah pendidikan dan ilmu seperti memperbanyakkan buku-buku ilmiah yang mampu dibeli oleh masyarakat khasnya, dan para penuntut dengan memberi kelebihan dan insentif khas terhadap syarikat-syarikat buku didalam memperkembangkan edaran dan mutu buku terbitan mereka.

Pemberian Baucar buku 1MALYSIA RM200 yang diberikan oleh kerajaan kepada setiap penuntut IPT amatlah baik. Namun sekiranya kerajaan memberi kelonggaran atau bantuan penurunan harga bahan-bahan mentah buku adalah dikira lebih memberi manfaat yang berganda kepada pembaca-pembaca kerana dengan penurunan harga bahan mentah seperti kertas dan sebagainya maka sudah pasti harga buku dipasaran akan menjadi lebih murah dan akhirnya akan dapat memberi rangsangan membaca kepada masyarakat seluruhnya.

5.2.      Merakyatkan Sekolah dan Universiti.
Merakyatkan sekolah atau institusi pendidikan kepada semua warga dengan memberi penekanan pendidikan secara percuma dan berterusan. Peluang pendidikan yang terbuka yang sedang berlaku pada waktu ini adalah sebahagian daripada usaha-usaha Universiti didalam melaksanakan tugas penyebaran ilmu kepada masyarakat. Malah mungkin juga ianya sebagai sebahagian daripada usaha pihak Universiti untuk mencari atau menambahkan pendapatan bagi pihak Universiti itu sendiri. Bagi mana-mana individu yang berhasrat untuk menambahkan ilmu maka sudah semestinya perlu mempunyai sekitar RM 20 ribu atau lebih semata-mata untuk menunaikan hak aqlinya itu.

Namun bagi individu yang kurang berkemampuan dan miskin, maka perkara tersebut menjadi suatu yang sukar baginya untuk sama-sama didalam mempertingkatkan pengetahuan sebagaimana yang lain-lain. Penulis pernah diceritakan pengalaman seorang yang bersemangat tinggi untuk belajar dan mengalami keperitan kewangan semasa belajar dengan tanpa bantuan dari mana-mana pihak, dan dia cuma mampu berdoa di waktu malam dan berkat doa bapanya yang tercinta, serta ihsan dari pensyarah Universiti tempat beliau belajar. Keadaan demikian amat malang berlaku di Malaysia yang jumlah pendapatan dan hasil negaranya melebihi 200 bilion setahun tetapi masih mengharapkan “duit” pelajar dan rakyat untuk mengoperasikan pendidikan Negara. 
 
6.         RUMUSAN
            Kesimpulan dari tajuk tentang pembinaan tamadun insan melalui pendidikan Islam, maka proses ta’dib, irsyad, ta’lim dan tadris perlu di amal melalui proses-proses yang berterusan dan ikhlas oleh mana-mana yang telah diberi amanah sehingga seluruh insan yang masih lagi hidup ini benar-benar hidup seagaimana insan yang fitrahnya “ilmu dan makrifat” sehingga ke akhir hayat.

Sekian.





1 Abu Thahir Muhammad bin Ya’kup Al-Fairuzzabadi (2011), Tanwiru Al-Miqbasi min Tafsir ibn ‘Abbas, 
2 Dr. Ramadhan al-Buti: (1978), Fiqh Sirah, 

3 Hikam Ibn ‘Athaillah, Syarhi Al-Arif billah Syeikh Zarruq: (2011), Al-Tawfikiya BookShoop, 
4 Sampai kini khasnya di Malaysia masih belum ada mana-mana Institusi tajaan Kerajaaan yang menumpukan pendidikan teras ROHANI (Hafazan Al-Quran dan Hadis) seawal usia enam ke tujuh tahun. Sepatutnya penumpuan ketika seawal usia adalah amat penting diberi tumpuan peneguhan rohani berteraskan hafazan al-Quran dan Hadis dari penumpuan kepada ilmu-ilmu Aqliah (seperti matematik dan sains) yang lain, sebagaimana sistem pengajian ulama-ulama besar terdahulu seperti Imam Syafie, Imam Ghazali, Al-Kindi, Ibn Sina (sekadar menyebut beberapa nama) yang kesemuanya menghafaz al-Quran dari semenjak berusia awal tujuh tahun dan kemudian al-Hadis, kemudian baharulah mempelajari ilmu-ilmu aqli yang lain.
5 Pengalaman penulis ketika mengendali dan mewujudkan kelas pengajian talaqqi kitab pondok di masjid salah sebuah sekolah adalah didapati keberkatan dan kesan kebaikannya apabila ada dikalangan pelajar sekolah tersebut diberi kepercayaan oleh masyarakat kampung untuk membuat tazkirah dan sebagainya di musalla-musalla kampung.
6 Selain dari Almarhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, ada lagi beberapa orang guru yang mengadaakan pengajiaan khusus di rumah antaranya Tuan Haji Ismail in Daud Pasir Mas. Antara kitab yang pernah diajarinya dirumah ialah Kasyful Asrar, Ad-Durul nafis dan berbagai lagi. 

No comments:

Post a Comment