ILMU PERANG :
MUQADDIMAH
Perkembangan sesebuah negara atau tamadun
mana-mana negara di dunia yang berkembang sejak mula-mula manusia mengenal erti
bernegara adalah secara pasti akan dikaitkan dengan perkembangan ilmu peperangan
atau pun berkaitan dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataannya. Malah
Al-Quran telah pun menceritakan betapa pentingnya ilmu peperangan dan persenjataan
didalam sesebuah negara itu sehingga Allah Ta’ala mengurniakan mukjizat yang
hebat kepada Nabi Daud iaitu kepandaian membuat pakaian atau alatan perang dari
besi, dan alatannya itu adalah satu teknologi yang terbaik. Firman Allah ;
“Dan
Kami telah ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, supaya dapat memelihara
kamu di dalam peperangan; Maka apakah kamu bersyukur”.
(Al-Anbiya: 80);
“Dan
sesungguhnya Kami telah berikan kepada Daud kurnia dari kami. (kami berfirman):
"Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama
Daud", dan Kami telah melembutkan besi untuknya”,
(Saba’: 10)
Justeru gambaran yang cukup jelas dari Allah
tentang perkaitan di antara kekuatan ketenteraan dan keilmuan peperangan itu,
maka rasanya amat sesuai untuk kita berbicara serba sedikit tentang peperangan dan
kekuatan peralatan persenjataan yang sekaligus menggambarkan kebijaksanaan
ilmunya, kehalusan budi, keberanian dan kekuatan iman Jihad bagi satu-satu
bangsa di dunia, dahulu dan kini khasnya di alam Melayu.
KHAZANAH TINGGALAN ILMU PERANG ORANG MELAYU.
Rumpun Melayu yang teramat luas dan lama ini pada
dasarnya pasti tersimpan berbagai tinggalan khazanah ilmu kebijaksanaan perang
dan persenjataan yang diwariskan kepada generasi yang terkemudian. Sebagaimana
bangsa-bangsa besar dunia yang lain yang mewariskan tinggalan-tinggalan tamadun
lamanya untuk diambil manfaat oleh generasi yang baru sebagai salah satu tanda dan
bukti tentang kewujudan kekuatan bangsanya yang terdahulu. Sebab itulah jika sesebuah bangsa itu tiada
sebarang “tinggalan lampau” maka orang akan berkata bahawa bangsa itu tiada
asal usul.
Kepandaian didalam ilmu berperang orang-orang
Melayu dapat dilihat didalam beberapa catatan hikayat prosa klasik. Walaupun
catatan-catatan tersebut dikatakan sebagai satu hikayat sastera yang
mengandungi berbagai unsur personifikasi untuk menyedapkan cerita, namun jika
pengarangg atau pencerita itu tiada pengetahuan didalam ilmu perang maka pasti
pencerita itu tidak mampu bercerita dengan pelbagai teknik helah didalam
berperang seperti yang dapat dirujuk didalam prosa Hikayat Hang Tuah ;
“ Maka dilihat oleh penjurit itu akan
laksamana, maka diusirnya akan laksamana. Laksamana pun undur sambil mengerling
matanya melihat tempat bertahan. Hatta dengan takdir Allah Ta’ala maka
Laksamana pun bertemu dengan lorong batu kiri kanan, tiada dapat orang
berjalan. Maka Laksamana pun melompat masuk ke dalam lorong itu menghunus keris
panjangnya lalu bertahan di muka lorong itu. Maka dilihat oleh penjurit itu
Laksamana masuk ke dalam lorong itu, maka penjurit empat puluh itu pun
datanglah ke muka lorong itu bercucuk ikan masuk ke dalam lorong itu. Maka
Laksamana pun melompat lalu diparangnya bahunya putus. Maka datang seoran lagi
hendak menikam; maka diparang oleh Laksamana, itu pun putus. Dengan demikian
penjurit empat puluh itu banyaklah mati oleh Laksamana...” 1
Contoh-contoh kepandaian ilmu hulubalang atau ilmu
gagah berani itu terus menerus diterima oleh sebahagian para generasi
pewarisnya sebagai salah satu daripada warisan seni tradisi orang-orang Melayu terdahulu,
dan ini termasuklah kepandaian ilmu persenjataannya. Namun apakah ianya hanya
cukup sebagai tinggalan warisan seni yang hanya untuk ditonton libur pada
waktu-waktu rehat senggang penonton ?. Tidakkah terasa bahawa ianya satu ilmu
yang amat perlu dan penting untuk dipelajari khasnya di dalam keadaan dunia
jagat yang semakin tidak menentu darjah keselamatannya ?.
1.
Ilmu
Hulubalang Atau Ilmu Perang
Ilmu hulubalang atau di kenal juga dengan nama-nama
lain seperti ilmu gagah berani, ilmu penjurit, ilmu gayung atau ilmu seni silat
adalah kesemuanya merupakan ilmu perang yang di miliki oleh hampir keseluruhan
umat Melayu terdahulu sebagai salah satu daripada syarat utama kelelakian
seseorang, dan sebagai ilmu “asas kehidupan” pada masa lampau. Ia di pelajari secara
bersanad 2 dari
para pendekar orang-orang Melayu terdahulu.
Ilmu perang YANG TRADISI ITU walaupun sudah dianggap
sebagai tidak relevan lagi bagi sesetengah orang dengan mendakwa bahawa dunia
sekarang telah maju dan semuanya menggunakan teknik peperangan jarak jauh seperti
menggunakan senapang, pistol, jet roket dan sebagainya, namun persoalannya adakah
peperangan itu tidak akan pernah berlaku pertempuran jarak dekat ?, yang
mungkin akan memerlukan kepandaian dan ketangkasan beladiri tempur menggunakan
tulang empat kerat tangan dan kaki.
2.
Kekuatan
Persenjataan Tradisinya.
Didalam tradisi peperangan orang-orang Melayu
terdahulu, beberapa jenis senjata tidak dapat dipisahkan dengan ilmu Hulubalang
atau ilmu bergayung 3 orang-orang Melayu,
antaranya penggunaan beberapa jenis senjata yang digunakan untuk berperang, dan
sebahagian dari alat perang atau senjata itu dianggap sebagai mempunyai kuasa
mistik dan lambang kegagahan dan kepandaian.
Antara sebahagian dari senjata-senjata itu ialah
(sekadar beberapa nama) ;
Keris
Senjata ini amat masyhur dan menjadi senjata rasmi
bagi setiap pendekar untuk dipelajari dan dimahiri penggunaan dan penjagaannya.
Bentuk buatannya adalah amat luar biasa dan ia menggambarkan kehalusan pencipta
dan pemakainya yang sesuai dengan senjata itu, seperti “ibarat cincin sama
bentuk dengan jari manisnya”. Malah kejatuhan kerajaan melayu dan kelemahannya
juga dikaitkan secara ironisnya dengan senjata Keris Taming Sari milik Hang
Tuah walau pun pada hakikatnya kejatuhan dan kelemahan kerajaan Melayu
terdahulu adalah kerana kelemahan iman dan keruntuhan kebijaksanaan pemerintah
dan rakyatnya sendiri.
Keris biasanya akan dikaitkan dengan kuasa mistik
dan juga menggambarkan taraf kuasa atau pangkat yang ada pada pemakainya. Keris yang digunakan oleh orang-orang melayu
terdahulu biasanya mempunyai dua jenis iaitu “Keris Sepukal” dan “Keris
Sempena” , atau Keris tidak berlok atau yang berlok. Dalam tradisi penggunaan
senjata Melayu, “Keris Sepukal” biasanya digunakan sebagai senjata untuk
membunuh pesalah-pesalah dengan ditkam di atas bahu pesalah itu oleh
penghulu-penghulu kampung atau pegawai istana. Keris untuk bertempur ada yang
pendek sebagai pendua, dan yang panjang sehingga empat jengkal.
Sundang
Sebuah senjata panjang lurus seakan-akan parang
atau pedang. Ia mempunyai dua mata dengan saiz ketajamannya yang sama diantara
kedua mata tersebut.
Kerambit
Ia dipanggil dengan berbagai nama seperti Lawi
Ayam, Kuku Ayam, Rambai Ayam atau Kurabumi. Kerambit adalah salah satu daripada
senjata sulit para pendekar orang-orang Melayu yang biasanya di simpan didalam
sanggul-sangul serikandi atau bengkung para pendekar. Saiznya yang hanya
sebesar tapak tangan amat berbahaya kerana biasanya orang yang diserang dengan
menggunakan senjata ini pasti akan membawa maut kerana bentuk buatannya yang
unik.
Buloh Runcing
Buloh runcing adalah senjata yang terhasil
daripada sebatang buloh sepanjang pusat yang disediakan kepada pejuang-pejuang
Melayu untuk membunuh musuhnya. Ia berbentuk tajam meruncing pada sebelah
hujungnya dan bersaiz secekak tangan. Buluh yang terpilih ialah biasanya dari
jenis “buluh gading atau buluh kuning” kerana kepercayaan orang-orang Melayu
terhadap buluh jenis itu yang dikatakan mempunyai kuasa mistik yang mampu
melukakan atau membunuh pengamal ilmu kebal kulit.
PEPERANGAN DAN KEKUATAN NEGARA
Dunia sehingga ke hari ini senantiasa memperkasa
dan memperkemaskan ilmu dan peralatan persenjataannya dari senjata yang
bersifat tradisional seperti pedang, lembing dan senapang, sehinggalah kepada yang
lebih moden dan canggih seperti kelahiran alatan perang dengan ciptaan
teknologi yang berbagai nama dan jenis cara gunanya. Buatan dengan penggunaan
sistem komputer seperti penghasilan jet-jet roket kapal terbang perang jarak
jauh, kapal selam perang, dan sebagainya. Malah mampu pula menghasilkan pelancaran
bom nuklear dari jarak jauh. Ciptaan bom-bom nuklear itu adalah untuk kekuatan
pertahanan negaranya atau sebagai senjata perangnya seperti yang telah
dilakukan oleh tentera British dan Amerika Syarikat ke atas Negara Jepun semasa
perang dunia kedua dahulu.
Justeru itu, mana-mana negara yang lemah dari segi
ilmu dan peralatan ketenteraannya maka kekuatan negara tersebut sebenarnya
sentiasa didalam ancaman keselamatan, dan kelemahan tersebut biasanya akan
dimanipulasikan oleh negara-negara yang lebih kuat walaupun kecil pada saiznya
seperti Belanda yang pernah mampu menakluki Indonesia yang keluasan negara dan
jumlah penduduknya yang jauh berbeza banyaknya.
Kegilaan kerajaan-kerajaan dunia itu senantiasa
berlaku, dan yang terkininya ialah cadangan kerajaan Australia untuk membeli
dan mempersiapkan kekuatan angkatan tentera dan peralatan perangnya secara
besar-besaran. Kenyataan ini sepatutnya diambil perhatian oleh negara-negara
lain khasnya kerajaan Malaysia. Masakan kalau tiada apa-apa tempua bersarang
rendah ?. Maka Malaysia patut lebih berhati-hati dengan membesarkan gerakan
memperkasakan pertahanan negara dengan membina kekuatan iman jihad rakyat dan
tenteranya.
KEKUATAN SEBENAR IALAH KEKUATAN JIHAD
UMATNYA
Kita sedia maklum bahawa kekuatan persenjataan itu
mungkin tidak dapat di gunakan mengikut mana-mana hajat tentera atau negara
jika tidak di sertai dengan kekuatan rohani para tenteranya. Ia boleh dilihat
pada peristiwa penyerangan negara besar dunia Rusia ke atas Afghanistan dengan
berbagai serangan persenjataan yang cukup canggih oleh tenteranya pada era
tahun 1980 an dahulu. Kehebatan alatan Rusia itu tidak mampu menandingi
kehebatan jihad dan iman penduduk Afghanistan walaupun miskin sehingga Rusia
terpaksa pulang dengan tangan kosong dan hampa.
Bangsa Melayu pernah mencapai tamadun besar dengan
mempunyai kekuatan dan kehebatan perangnya seperti kerajaan Melaka, kerajaan
Seri Wijaya, kerajaan Merong Mahawangsa, dan kekuatan kerajan Melayu Pattani 4. Namun oleh kerana beberapa perkara yang
dikira sebagai faktor kekuatan musuh dan kelemahan umat terdahulu maka negara-negara
tersebut ditimpa kehancuran.
Membina kekuatan rohani tentera itu amat perlu di
samping membina kekuatan alatan-alatan perang. Di sarankan kepada mana-mana
pemimpin untuk melibatkan usahanya secara tekun kearah melatih dan membina “
para syabab” dengan kesedaran juang dan membina persiapan perang dan ilmunya setiap
masa kerana Firman Allah ;
“Dan
sediakanlah untuk menentang (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis
kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap
sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu”.
(Al-Anfal;
60).
Antara Dalil Jihad Di Dalam Islam
“Dan
perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah
kamu melampaui batas, karena Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
melampaui batas”.
(Al-Baqarah :
190)
MUSUH DI DALAM SELIMUT
Semenjak zaman penjajahan Tanah Melayu, perbezaan
kepentingan dan juga pengampu di dalam mana-mana kumpulan atau individu
sentiasa berlaku. Antara peristiwa yang dapat diambil pengajaran di sini ialah
peristiwa Datok Sagor yang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Inggeris. Diberitakan
bahawa orang-orang Melayu pengampu Inggeris telah memberitahu kepada penjajah
itu tentang petua bagaimana untuk menamatkan nyawa Datuk Sagor, iaitulah dengan mencelupkan paku dengan minyak
babi lalu dibenamkan ke dalam ubun-ubun Datuk Sagor di Matang, Perak 5. Peristiwa hampir sama juga berlaku
kepada pahlawan Kelantan Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Muhammad Hasan
bin Munas (1853M –1915M) yang akhirnya mati kerana persepakatan orang-orang
Melayu tempatan dan Singapura yang menyebelahi Kerajaan Inggeris pada masa itu 6.
Dipercayai bahawa sifat-sifat sedemikian yang
akhirnya membawa kepada kebinasaan angsa sendiri akan terus berlaku sampai
bila-bila sehinggalah manusia itu luput dari muka bumi ini sebagaimana Firman Allah di dalam Al-Quran surah
Al-Baqarah ayat ke 36;
(Mafumnya) ;
“ lalu keduanya digelincirkan oleh
syaitan dari syurga itu, dan dikeluarkan keduanya daripada (segala kenikmatan)
ketika keduanya di sana (syurga). Dan Kami berfirman; Turunlah kamu! sebagian
kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman dan
kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan."
Peristiwa hampir sama akan sentiasa berlaku,
Sejarah adalah cerminan dan panduan masa depan. Negara adalah tapak bagi
semaian kehidupan bagi generasi akan datang. Maka perhatian kini adalah
persiapan mengadakan kekuatan dan rahsia persenjataan didalaam menghadapi
risikan dan perhatian musuh dari dalam dan luar negara yang senantiasa bersedia
untuk menerkam.
Musuh tidak
dikira sesiapa. Oleh itu kepada pemimpin atau yang mempunyai kuasa didalam
negara janganlah sehingga rakyat akan menyangka bahawa pemimpinnya juga boleh
menjadi musuh kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Justeru usah ditimpa musibah yang kedua keatas ummah generasi kini
gara-gara kejahilan dan kelalaian pemimpin yang mungkin mata fokusnya tidak
peka tentang keselamatan....
SEKIAN.
1
Hikayat Hang Tuah; Diusaha rumi oleh Kasim Ahmad, (1975), Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, halaman
2 Wan
Baharuddin Wan Mamat ; (2014), Seni Silat Dari kacamata Islam, Seni Gayung
Fatani, Pustaka Hayyi, hal.7
3
Perkataan “GAYUNG” bagi tradisi orang-orang Melayu adalah bermaksud SILAT. Oleh
itu apabila disebut bergayung maka ia bererti “bersilat”.
4
Ia pernah menjadi Negara penasihat bagi Negara-negara luar dan juga kerajaan
terawal yang bertamadun di dunia, dan lahir sebelum kelahiran Nabi Isa
Alaihissalam lagi ( Syeikh Faqih Ali bin Muhammad bin Syeikh Safiuddin
Al-Abbasi (1994); Tarikh Al-Fatani, Dalam Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara,
Jil.1, transliterasi oleh Haji Shaghir Abdullah,
5
Mustapha Hussain;(1999), Memoir Mustapha hussain,
6
Abdullah Zakaria bin Ghazali; (2006), Kebangkitan Tuk Janggut 1915 dan Naskhah
Sejarah Peperangan Tuk Janggut Di Dalam Warisan Kelantan xxv,
No comments:
Post a Comment