SURAU HAJI WAN ALI KUTAN
Surau ini pada zaman kegemilangannya ia pernah dijadikan
surau untuk bersembahyang jumaat termasuklah bagi penduduk-penduduk seberang
sungai Kelantan iaitu seperti Kampung Surau Kota dan Kampung Pintu Geng dan
Kampung Sireh 17. Ia terletak ditepi
sungai Kelantan yang bersetentang dengan kampung-kampung tersebut atau ladang
timun cina (buah tembikai) yang sekarang sudah menjadi Bandar Baru kampung
Sireh.
Surau ini dipercayai dibina dan diasaskan oleh Anakanda
Tok Wan Ali sendiri yang menetap di kampung Kutan iaitulah Haji Wan Abdul
Rahman bin Wan Ali bersama-sama dengan tukang-tukang lain seperti Abdullah
pendekar, Wan Ali Putih, Haji Alias dan bersama dua lagi rakannya. Kenyataan
ini diambil oleh penulis daripada lisan Haji Wan Rasyid bin Wan Muhammad bin
Wan Abdul Rahman bin Wan Ali Al-Kutani pada 9 Mei 1994 di rumahnya di Kampung
Kutan Tengah, yang kenyataan ini juga telah diperolehi oleh Haji Wan Rasyid
dari nendanya yang bernama Wan Selamah 18
.
Imam-Imam Surau
Sepanjang surau itu menjadi nadi ibadat kepada
penduduk-penduduk kampung, ia telah memperkenalkan beberapa orang imam.
Imam-imam yang bertugas pada peringkat awalnya adalah berdasarkan kepada
sokongan dan lantikan masyarakat kampung sendiri bukan lantikan pihak kerajaan
melainkan Imam yang terakhir saja dilantik oleh pihak kerajaan berdasar kepada
undian ke atas calon-calon 19. Antara
nama-nama Imam yang dapat dapat dikesan oleh penulis sebagaimana yang
diceritakan oleh almarhum Wan Jaafar Bin Wan Ali kepada penulis 20 yang
beliau masih ingat sejak lahir ialah Imam Haji Yaakob, Imam Pak Cu Lah dan
akhirnya Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (meninggal 1986). Manakala menurut
Cikgu Wan Muhamad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan 21
yang penulis ambil kenyataannya pada 20 Mac 2017 ialah antaranya
Imam Wan Ali bin Wan Ahmad iaitu sebelum terlantiknya Imam Haji wan Taib. Maka
semasa Imam Haji wan Taib bin Wan Muda inilah surau yang disungai itu telah
ditukar kepada masjid baru sekarang yang dibina sekitar tahun 1952 atau tahun 1958
22 hasil daripada gotong rayong dan derma
masyarakat kampung . Kutipan derma itu sehingga ke kampung Pasir Pekan dan
sekitar 23.
Keluasan Surau
Oleh kerana surau ini amat penting dan menjadi
tumpuan ibadat solat 5 waktu dan solat jumaat termasuk bagi penduduk-penduduk
kampung sekitar maka ini bermakna keluasan atau saiz surau itu adalah cukup
besar juga dan mampu untuk memuatkan jumlah saf yang banyak. Pada perkiraan dan
setakat yang diingati oleh Cikgu Wan Mohammad bin Wan Isa (85 tahun) yang
diwawancara pada 20 Mac 2017 dirumahnya di Kampung Kutan bahawa seagak-agaknya
adalah jumlah keluasannya sekitar 50 x 50 kaki persegi. Oleh kerana jarak masa
yang telah lama berlalu maka secara pasti tidaklah dapat beliau mengingatinya
secara tepat.
Pada zaman remaja penulis, iaitu sekitar
tahun-tahun 1982 / 1983 penulis kerap juga ke surau itu yang semasa bangunan
kayunya itu sudah banyak yang rosak dan tidak digunakan lagi kerana ketiadaan
penduduk. Maka penulis anggarkan bahawa keluasan surau secara keseluruhan
adalah sekitar 200 ke 300 orang ahli jamaah yang dapat diisi dalam satu-satu
masa sekaligus. Wallahu a’lam.
Kampung Yang Ditinggal, Surau Hilang
Imarah, Dan Perpindahan Surau
Pada peringkat awal kewujudan kampung Kutan,
asalnya ia hanya berfokus di sepanjang pinggir sungai Kelantan sahaja. Lokasi petempatan
penduduk yang lebih bertumpu ditepi sungai itu boleh dikenal dengan nama
Kampung Kutan Sungai (sebelah hulu atau kampung kutan sungai hulu) dan kampung
kutan surau yang bersempena dengan kewujudan surau yang amat penting, dan yang
kita bicarakan ini. Gelaran nama kampung yang dikaitkan dengan surau ini sudah
boleh kita fahami bagaimanakah taraf kepentingan surau bagi masyarakat kampung Kutan
pada masa itu.
Setelah lama masa berlalu serta keadaan petempatan
asal kampung kutan yang hanya berfokus ditepi sungai itu yang sentiasa dilanda banjir
besar kerana faktor tanahnya yang rendah, maka mengakibatkan ramai
penduduk-penduduknya telah berpindah ke darat, iaitu ke kawasan tanah yang
lebih tinggi yang akhirnya telah menjadi petempatan utama bagi penduduk kampung
kutan sekarang. Seingat penulis, pada awal
tahun 1980, rumah-rumah yang masih wujud di Kampung Kutan Surau itu
hanya masih tinggal sekitar tiga keluarga sahaja. Pada sekitar tahun 1983
semakin berkurang sehingga hanya tinggal sebuah keluarga sahaja, dan pada
sekitar tahun 1986 hilanglah sudah sebuah petempatan dikampung kutan surau itu.
Maka sepilah surau Haji Wan Ali Al-Kutani itu 24.
Namun pada sekitar tahun 1987/1988 dengan
kesepakatan penduduk-penduduk kampung Kutan dengan inisiatif utamanya oleh
Lebai Haji Wan Yusof bin Wan Salleh 25
telah mewakafkan sebidang tanahnya untuk dijadikan lokasi baru Surau itu dengan
diangkat pindah surau Haji wan Ali Kutan itu dari kampung Kutan Surau yang
telah sepi itu ke darat iaitu di tapak tanah sekarang ini dengan beberapa
penambahan kayu dan simen. Namun pada beberapa bahagian kayu asal seperti
dinding luar belakang masih sempat dipelihara bersama dengan mimbar imamnya. Setelah
surau ini dipindah ke lokasi baru, maka pengurusan surau ini sekarang telah
dijaga oleh keluarga atau oleh anak-anak Lebai Haji Wan Yussof bin Wan Salleh
yang telah menjaganya dengan baik.
PENUTUP
Sebuah riwayat yang jika ditinggal maka akan
hilanglah sebuah cerita dan sejarah. Maka akan hilang jugalah seberkas hikmah rahsia
ketuhanan yang bagi manusia yang beraqal sebagai tempat tilik ambil iktibar dan
pedoman. Sebuah tinggalan umat yang terdahulu khasnya masjid atau surau akan
membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu mempunyai agama dan amalan Islam
yang baik. Begitulah dengan Surau Haji Wan Ali Kutan ini. Mudah-mudahan ia
dapat menjadi ibadat berpanjangan bagi pengasas pendidiri dan pembinanya serta
menjadi ikutan yang baik bagi generasi mendatang. Insya Allah.
17 Kepentingan dan kegunaan surau ini
termasuklah kepada penggunaan untuk sembahyang jumaat bagi penduduk-penduduk
sekitar adalah merupakan sebutan-sebutan yang menjadi cerita lisan orang-orang
tua kampong Kutan yang pernah penulis dengar semenjak dari kecil-kecil dahulu
lagi.
18
Baharuddin Haji. Wan Mamat; Haji Wan
Ali Kutan Ulama yang Masyhur di Tanah Mekah, Harakah, Isnin 9 Zulhijjah 1418,
hal. 27.
19 Imam yang dimaksudkan ialah Imam Haji Wan Taib
bin Wan Muda yang bertanding calon bersama almarhum Tuan Guru Haji Muhammad
Zain (murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal) yang juga merupakan
pengembang dan pengamal thariqat Ahmadiah di Kampung Kutan. Bila di undi oleh
masyarakat kampung maka jumlah undian adalah melebihi dan dimenangi oleh
almarhum Haji Wan Taib bin Wan Muda.
20 Diwawancara
pada 23 Februari (isnin) 1998 di kampung kutan Hilir (berdasar kepada catatan
diari penulis). Wan Jaafar bin Wan Ali semasa
wawancara itu berusia sekirar 80 tahun mengikut tarikh lahirnya pada tahun 1918.
21
Wan Muhammad bin Wan Isa bin Wan
Ahmad sekarang berusia 85 tahun.
22
Wan Jaafar bin Wan Ali. Op.cit.
23 Keterangan
adalah dari imam solat 5 waktu dan penjaga masjid era sebelum awal 1980 an
iaitulah yang penulis kenal dan sebut-sebut dengan Pak Cik Mat sahaja. Almarhum
telah menceritakan semasa hayatnya kepada penulis yang menjadi salah seorang
tetamu rumah Allah masjid kampung Kutan semasa awal remaja dahulu yang penulis
masih ingat. Almarhum juga adalah saudara sebelah ibu kepada penulis. Beliau
meninggal dunia sekitar tahun 1984.
24
Pada waktu beberapa tahun sebelumnya
surau itu sudah tidak digunakan lagi sehingga cebisan-cebisan al-quran dan
kitab-kitab bertaburan di atas surau. Keadaan dinding, lantai dan struktur
bangunannya sudah tidak terpelihara sejak awal lagi yang penulis jangkakan ia
sudah berlaku pada penghujung 1970 an.
25
salah seorang murid tua Pondok Pasir
Tumboh Kelantan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2016 dalam usia yang
agak lanjut iaitu 94 tahun yang berdasarkan tarikh lahir yang ada pada kad
pengenalannya pada tahun 1922 Miladi. (wawancara anaknya, Wan Abdul Rahman bin
Wan Yussof pada 27 Mac 2017).
No comments:
Post a Comment