ILMU TASAUF DI ALAM MELAYU
Ustaz Wan Baharuddin (uswan)
MUQADDIMAH
Sebelum berbicara lebih jauh mengenai ilmu tasauf ini,
maka terlebih afdhal rasanya untuk memahami apa itu ilmu tasauf serta secara
ringkas persoalan-persoalan yang timbul tentang hukum mempelajarinya dan apakah
ianya terpisah-pisah dengan cabang ilmu islam yang lain iaitu fiqh dan tauhid ,
dan apakah matlamat serta perbezaan dengan ilmu akhlak.
Tasauf
yang banyak diberi takrif sebagai sebuah ilmu yang seakan-akan membezakan
dengan ilmu akhlak dirasakan kurang tepat kerana diantara tasauf dan akhlak itu
adalah sebenarnya satu ilmu yang sama, cuma dibezakan dengan istilah perkataan
sahaja yang berlainan, tetapi pada hakikatnya adalah bersamaan iaitu satu ilmu
yang keduanya membentuk kelakuan hati dan perbuatan yang lebih beradab mengikut
acuan Rasulullah. Malah ada yang berpendapat bahawa ilmu tasauf tidak pun
diajar di Sekolah-Sekolah Agama aliran Arab di Kelantan. Kenyataan ini juga
perlu dibuat penafian kerana yang sebenarnya bahawa tasauf juga diajar di dalam
sukatan pelajaran akhlak bermula dari tingkatan satu sehingga akhir.
Di dalam
pelajaran akhlak atau adab, adalah ia telah dinyatakan sebagai ilmu yang
membentuk kelakuan atau tingkah laku, thobiat dan budipekerti seseorang manusia
1. Ia membicarakan juga tentang
sifat-sifat mazmumah dan mahmudah seperti riya, ujub, sum’ah, hasad, sabar,
tawakkal, ikhlas dan sebagainya. Maka tidakkah kesemua yang dibicarakan itu
juga berkaitan dengan amalan hati ?, dan itu jugalah yang dimaksudkan oleh
ulama tasauf seperti yang disebut oleh syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutholib
Al-Indonesia Al-Mandili dalam kitabnya “Penawar Bagi Hati” bahawa maksud ilmu
tasauf itu adalah membicarakan soal hati dan memperelokkannya, atau
membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang keji 2 , atau jika boleh kita takrifkan bahawa
ia adalah satu ilmu yang mencantikkan hati daripada sebarang penyakit-penyakit
mazmumah dan memasukkan segala sifat-sifat terpuji ke dalam diri. Adapun akhlak
juga adalah membicarakan tentang kebaikan dan sifat-sifat mahmudah dan mazmumah
yang wajib diamali oleh setiap muslim yang aqil lagi baligh.
Matlamat ilmu tasauf adalah memperelokkan akal
budi, dan akhlak itu juga adalah berupa rangkaian peribadi zahir dan batin yang
bersifat mahmudah, dan keduanya itu adalah buah hasil daripada hati yang dapat
berdamping dengan PenciptaNya berdasarkan panduan acuan Rasulullah s.a.w,
sehingga mencapai maqam ihsan iaitu puncak kepada ubudiyah manusia kepada
khaliq.
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Qalam, ayat 4 ;
وانك لعلى خلق عظيم
"dan Sesungguhnya
kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung".
Sabda Rasulullah s.a.w. ;
انما بعثت لأتم صالح الاخلق
”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan
akhlak yang sholeh”.
(HR: Bukhari , Baihaqi dan Hakim).
ISTILAH-ISTILAH LAIN ILMU TASAUF
Ilmu tasauf adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu
fardhu ‘ain yang wajib dipelajari serta dihadam sebagaimana ilmu-ilmu fardhu
‘ain lain seperti ilmu fiqh dan tauhid. Di dalam beberapa istilah lain ilmu
tasauf serta cabang-cabangnya itu disebut juga sebagai ilmu hakikat, ilmu adab,
ilmu mukasyafah, ilmu roh, ilmu laduni, ilmu batin, ilmu hati, dan ada juga
ilmu tasauf itu disebut sebagai ilmu yang memberi manfaat sebagaimana yang
telah ditulis oleh Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani di dalam kitab Hidayatus
Salikin ;
“..... Dan demikian lagi yang disebutkan
di dalam Ihya Ulumiddin, dan demikian lagi yang disebutkan di dalam Arba’in fi
usuliddin, dan demikian lagi yang disebutkan oleh Imam Ghazali di dalam kitab
Mukhtasar Ihya, dan demikian lagi sekelian fannu (cabang) ilmu tasauf itu,
iaitu ilmu yang memberi manfaat di dalam dunia dan akhirat 3.
Adapun ilmu yang memberi manfaat itu ialah sesuatu
ilmu yang apabila dipelajari maka semakin menampakkan aib serta kekurangan diri
sendiri seterusnya berusaha untuk memperbaiki dan memperelokkannya 4. Semakin luas mata batinnya 5 sehingga semakin tertutup mata zahirnya
6.
HAKIKAT TASAUF ADALAH MEMBENTUK AKHLAK
MENGIKUT ACUAN SUNNAH
Manusia yang berjaya menurut Sunnah Rasul secara
zahir dan batin maka dia itulah orang yang bertasauf sebagaimana disebut ulama
tasauf bahawa ;
“....Tiadalah maqam yang terlebih daripada
mengikut Nabi s.a.w. pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya.
Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan mengikut Nabi kita s.a.w....” 7
Manusia yang inginkan kesucian hati akan berusaha
dengan apa daya yang mereka fikirkan dapat mencapai darjat kesucian yang
diingininya itu. Namun manusia yang bertasauf pastinya tidak cuba untuk
mencipta aturan atau syariat baru yang bercanggah dengan aturan sunnah
Rasulullah. Pada zaman awalnya ada segolongan yang hanya memakai bulu kambing
(sauf) yang bertampung sebagai meninggalkan kemewahan semata-mata mengharapkan
kesucian hati. Mereka inilah yang sebahagian ulama menetapkan bahawa asal usul
perkataan tasauf itu adalah berdasarkkan kepada kumpulan pemakai pakaian halal
yang tidak sempurna seperti sepotong-sepotong untuk berlaku zuhud, atau yang
menyerupai dengan ahli Suffah, atau kerana dibangsakan kepada mereka kerana
sufa’ yakni jernih hati 8.
Namun bukan itu yang menandakan seseorang itu
bertasauf , tetapi hakikat tasauf itu adalah sebagaimana yang telah disebut
syair oleh Syeikh Ibnu Al-Haj di dalam kitabnya Al-Madkhal yang dipetik oleh Syeikh Zainal Abidin di
dalam kitabnya Aqidatunnajin ;
ليس التصوف لبس الصوف ترقعه *
ولا بكاؤك ان غنى المغنونا
ولا صياح ولا رقص ولا طرب * ولا اختبط كأن صرت مجنونا
بل التصوف ان تصفو بلا كدر *
وتتبع الحق والقراءن والدينا
وان ترى خاشعا الله مكتئبا * على
ذنوبك طول الدهر محزونا
“Tiada dinamakan
tasauf itu memakai bulu yang engkau tapungkandia, dan tiada pula menangis
engkau jika bernyanyi oleh orang yang menyanyi 9,
dan tiada dinamakan tasauf itu mengangkatkan suaranya dengan menangis 10, dan tiada menari dan tiada
bergerak-gerak dan tiada cedera aqal seolah-olah sesungguhnya telah jadi engkau
orang yang gila 11. Tetapi tasauf itu
bahawa engkau bersihkan hati engkau dengan tiada kekeruhan dengan aghiar (اغيار : selain Allah :P)
dan mengikut engkau akan haq(kewajipan yang dituntut berdasar sunnah Rasul:P)
dan akan quran dan akan agama, dan bahawa engkau lihat akan khusyuk bagi Allah,
lagi dukacita atas segala dosa engkau sepanjang-panjang masa 12“
KITAB-KITAB TASAUF DI ALAM MELAYU
Kitab-kitab tasauf yang berlegar di Alam Melayu
biasanya hanya berlaku kepada pelajar-pelajar Pondok atau pesantren-pesantren
sebagai teks pengajian mereka. Jika dirujuk kepada buku Sejarah Melayu
Shelabear oleh Tun Seri Lanang ada mencatatkan bahawa kitab-kitab tasauf pernah
juga tersebar di Kota Melaka seperti kitab Darul Mazlum yang ditulis dalam
bahasa af’al, bahasa sifat dan bahasa zat. Namun teks yang disebut itu tidak
dapat dikesan adakah ianya benar-benar wujud atau hanya berupa cerita-cerita
lisan sahaja.
Oleh itu kitab tasauf yang dipercayai mula-mula
ditulis di alam melayu dan lebih boleh dipercayai kewujudannya ialah yang
ditulis oleh Syeikh Abdullah Arif yang ditemui kuburnya di Aceh (tahun 1177
Miladi) yang hidup di zaman kerajaan pasai di bawah pemerintahan Sultan Kamil
(1155 – 1210 M) , iaitu kitab yang bernama “Bahru Al-Lahut”. Ia dipercayai
pernah digunakan di dalam mana-mana pengajian agama samada di pondok-pondok
atau mana-mana pesantren atau paling kurang sebagai rujukan mana-mana guru
berdasarkan kepada ianya pernah disalin oleh ilmuan Islam Melayu pada peringkat
kemudiannya 13.
Selain dari itu banyak lagi kitab-kitab tasauf
nadir (yang jarang ditemui dan semakin pupus) yang pernah ditulis oleh
ulama-ulama Melayu dan yang semakin kurang pelajarnya. Kitab-kitab itu
antaranya ialah seperti kitab Kasyful Asrar (كشف الاسرار) 14,
Manhalush Shaufi (منهل الصوف ), Hikam
Abi Madyan (الحكم
ابي مديان),
Fathul Rahman atau disebut juga Hikam Syeikh Wali Roslan(فتح الرحمان), Daqaiq Al-Huruf (دقائق الحروف) dan banyak lagi, yang semuanya
itu dipercayai berpunca daripada beberapa faktor seperti semakin berkurangnya
guru-guru yang bersanad kepada pengajian kitab-kitab tersebut dan yang
betul-betul memahami istilah-istilah di dalam isi kandungan perlambangan kitab.
Kitab Hikam Abi Madyan misalnya yang di
terjemahkan oleh Syeikh Daud Al-Fathoni sangat begitu jarang dijadikan bahan
teks pengajian. Penulis pada sekitar awal tahun 1990an pernah sempat menadah
kitab tersebut daripada seorang guru di Surau kampong Gelang Mas, Pasir Mas
Kelantan. Begitu juga dengan beberapa kitab yang lain yang sesetengahnya hanya
dibuat pengajian hanya di atas rumah tuan-tuan guru sahaja, atau hanya kepada
beberapa orang murid yang lama sahaja.
Namun begitu, masih banyak lagi kitab-kitab tasauf
yang berlegar dikalangan masyarakat pencinta ilmu walaupun sebahagiannya
mungkin sudah jarang-jarang di telaah bersama guru kerana kekurangan ahlinya. Kitab
tasauf yang paling masyhur dan paling banyak disebut-sebut oleh para pelajar
pondok khasnya dan masyarakat umum serta masih banyak dijadikan teks pengajian
di masjid-masjid ialah seperti Kitab Minhajul Abidin, Syarah Hikam Ibn
Athoillah Askandari, Penawar Bagi Hati, Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, Ad-Darul
Nafis, Bidayatul Hidayah, Bimbingan Mukmin dan sebagainya.
Selain itu ada juga kitab-kitab yang membicarakan
tentang ilmu-ilmu tauhid dan fiqh yang mensampingkan bersama dengan ilmu-ilmu
tasauf sebagai pelengkap bagi sesebuah kitab itu seperti Aqidatunnajin,
Sullamul Mubtadi dan beberapa yang lain. Malah ada juga kitab-kitab yang
pembicaraannya khusus tentang sesuatu bab ibadat seperti solat dan hadis, tetapi
dihuraikan secara tasauf seperti kitab munyatul musalli bagi Tuan Syeikh Daud
al-Fathoni, dan Syarah hadis Arba’in yang menggunakan tajuk kitab dengan, Syarhu Lathifu ala Arba’ain hadisan Lil Imam
Annawawi ( شرح
لطيف على اربعين حديتا للامام النواوي ) oleh Syeikh Abdul Rauf Ibnu Ali.
PEMBAHAGIAN ILMU TASAUF
Ulama-ulama tasauf telah membahagikan ilmu tasauf
itu kepada tiga jenis atau 3 peringkat yang masing-masingnya disebut sebagai
tasauf mubtadi, kedua tasauf mutawwasith dan yang ketiganya sebagai tasauf
muntahi 15. Peringkat-peringkat
ini adalah bergantung kepada tahap atau maqam di dalam tahap ibadah dan zouqiah
masing-masing para salik. Tasauf mubtadi adalah merujuk kepada amalan atau
tahap ilmu tasauf permulaan yang awam. Tasauf mutawassith ialah tasauf
peringkat pertengahan seperti boleh dipelajari melalui kitab Hikam Ibnu
Atoillah, Ihya Ulumiddin, Hidayatus Salikin, Bidayatul Hidayah, Minhajul abidin
dan seumpamanya. Tasauf muntahi ialah tasauf peringkat tinggi yang isi
pembicaraannya adalah berupa pengajian ilmu zauq ahli tasauf yang
perbicaraannya banyak berupa ucapan-ucapan secara hakikat dan untuk memahaminya
memerlukan pengalaman pengajian yang bersanad , atau mungkin boleh kita sebutkan
ia sebagai sebuah karya tasauf teosofi yang tidak termasuk di dalam fardhu ain
mempelajarinya.
Kesemua peringkat-peringkat itu juga disebut
dengan bermacam-macam bentuk atau tahap di dalam bentuk-bentuk ilmu dan juga ibadatnya
seperti disebut sebagai amalan-amalan orang ahli syariat, amalan orang ahli
thoriqat dan amalan orang ahli hakikat. Atau amalan Islam, amalan iman, amalan
Ihsan. Atau amalan ibadat, amalan ubudiah, amalan ‘abudah iaitu yang merdeka
bebas daripada segala makhluk 16.
TANGGAPAN UMUM TERHADAP TASAUF
Pada sisi umum masyarakat awam, ilmu tasauf adalah
dianggap satu ilmu yang tinggi dan tidak sesuai dipelajari oleh semua orang.
Malah ramai juga yang beranggapan bahawa jika seseorang itu mempelajari ilmu
tasauf maka dibimbangi hidupnya akan “iseng’ 17,
iaitu sebuah kehidupan yang mengalami kemurungan dan tidak bahagia serta kehidupan
yang “meninggalkan dunia” secara total dan pemalas berusaha dalam segala aspek.
Syeikh Zainal abidin (Tok Kelaba) menulis dalam
aqidatunnajin ;
“...murad (yang dimaksudkan:P) dengan
me(ng)hinakan barang yang lain itu (dunia:P) diiktiqadkan bahawasanya tiada
memberi mudharat dan tiada memberi manfaat ia (dunia:P), dan tiada murad dengan
dia (dunia:P) me(ng)kejikan dia dan
mengurangkan dia (dunia:P). Dan yang sebenar bahawasa tasauf itu shamratan (ثمرة :terbit buah daripada)
sekelian ilmu syariat....” 18.
Sedangkan sesuatu perkataan di dalam di dalam
tasauf itu memerlukan perincian yang benar menurut al-quran dan Hadis bukan
hanya memahami secara zahir sesuatu kalimah, sebagaimana untuk memahami sesetengan
ayat di dalam al-quran dan hadis yang mutasyabhat. Ia juga memerlukan kefahaman
yang betul dan tidak boleh difahami secara zahir ayat tanpa bimbingan guru dan
ilmu-ilmu alat yang lain. Maka untuk memahami ilmu tasauf juga ia perlu melalui
proses pengajian dan pengalaman rohani yang betul supaya dapat memahami sesuatu
istilah dalam sesuatu ilmu itu, seperti memahami istilah-istilah yang ada dalam
ilmu-ilmu hadis, tafsir, usul fiqh, fiqh dan sebagainya.
PENUTUP
Walau apa cabaran dan tanggapan dalam pengembangan
ilmu tasauf, namun sebenarnya tasauf masih tetap berlaku dan berkembang bersama
dengan ilmu-ilmu Islam yang lain seganding dengan ilmu tauhid dan fiqh. Malah
pada hakikatnya juga walau ia tidak diberi nama sebagai tasauf, samada diberi
nama akhlak atau adab atau seumpama, maka pada hakikatnya itulah tasauf yang
sudah meresap ke dalam jiwa setiap muslim yang beriman kepada Allah.
1 Zakaria bin
Daud, Ahmad Najib bin Abdullah, Al-Haji Muhammad Daud bin Ali ; Durusul Akhlaq
Lisanati Ula, YIK,
2
syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutholib
Al-Indonesia Al-Mandili; Penawar Bagi Hati, (t.t), Kitab penawar
bagi hati adalah kitab tasauf yang amat banyak diajar dipondok-pondok sehingga
ke masjid dan surau di seluruh Malaysia.
3 Syeikh
Abdul Samad al-Falimabni; Hidayatul Salikin, Darul Fikr,(t.t)
4 Ibid.
5 mata batin
bermaksud mata hati yang berupa ainul basyirah yang memandang kebesaran allah
di dalam segala perkara.
6 Mata zahir
ialah pandangan yang hanya melihat sesuatu secara zahir sahaja dan hasilnya
akan melihat segala aib serta keburukan orang lain berbanding dirinya sendiri,
sehingga lupa kepada sifat-sifat Kesempurnaan Allah dalam setiap ketika.
7
Syeikh Daud Fathoni; Manhalush Shafi, khazanah Fathoniah,
8
Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathoni ; Aqidatunnajin, Matba’ah Bin
Halabi,
9
Berzikir secara bernyanyi-nyanyi serta kuat.
10 Ibid.
11 Berzikir, berdoa dengan segala bentuk
pergerakan yang diluar batasan kemanusiaan. Malah ada juga yang berupa
amalan-amalan berzikir secara tidak bergerak-gerak seperti amalan yoga budha.
12 Syeikh Zainal Abidin;
13 Kitab salinan telah pula diperolehi
oleh almarhum Ustaz Haji Muhd. Saghir Abdullah yang menjadi simpanan Yayasan
Al-Fathoniahnya (Haji Muhd. Saghir Abdullah; Khazanah Karya Pusaka Asia
Tenggara, Jil. 1, Yayasan Al-Fathoniah,
14 Kitab kontroversi ini adalah karangan
Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mangkabuwi. Ia bukanlah kitab yang salinan atau
terjemahan atau mana-mana yang boleh dikaitkan dengan Kasyful Asrar Imam
Khomeini. Kitab ini adalah dikira sebagai salah sebuah kitab teosofi (muntahi)
, dan segala isi bahasan di dalam kitab ini bukanlah sebagai sebuah aqidah yang
wajib dipegangi secara putus. Ia sebagai salah satu daripada hasil buah ilmu
dari pengarangnya, Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mangkabuwi (semoga Allah
merahmati ke atas rohnya). Penulis pernah bertalaqqi dan khatam kitab ini pada
sekitar tahun 1991 bersama seorang guru, Haji Ismail Daud semasa di Lubok Tapah
dahulu.
15 Syeikh
Muhammad bin Abdullah Mangkabuwi ; Kasyful Asrar,
16 Syeikh
Abi Al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Al-Mahdi; Iqozul Himam fi Syarhi Al-Hikam,
Cairo-Egypt,
17 Istilah
orang Kelantan kepada mana-mana orang yang tidak keruan hidup dan akan
mengalami kehidupan yang compang camping.
No comments:
Post a Comment