USAHA
MENCEGAH KEMUNGKARAN
AJARAN
SESAT (AYAH PIN)
PENDAHULUAN
Pada sekitar tahun 2004 dan 2005 negara pernah
digegarkan dengan isu gerakan penyebaran ajaran sesat Ayah Pin dan mendakwa dia
adalah sebagai ketua “Kerajaan Langit” . Pengaruh ajarannya cukup kuat dan
tersebar luas sehingga ke luar Negara termasuklah ke Bali Indonesia dan
Autralia. Siaran-siaran akhbar utama dan media television banyak memaparkan
cerita “Ayah Pin” malah ditayangkan juga pemujaan dan pendewaan kaum lain dan
penganut agama lain terutama kaum India, bangsa Inggeris dan Melayu Bali
beragama Hindu, juga sami-sami Hindu yang menyembah “ayah pin” bersama
pengikut-pengikut agama tersebut sehingga sanggup meminum air curahan basuh
kakinya dengan anggapan sebagai “mengambil berkat” . Keadaan golongan tersebut
adalah sebagaimana yang telah digambarkan oleh Allah di dalam al-Quran ;
(Al-Furqan : 3)
Justeru ajaran dan peristiwanya yang pernah
tersebar besar itu, maka untuk keluaran kali ini penulis akan berkongsi kisah
yang diperolehi melalui berbagai sumber dan pengalaman yang diperolehi sendiri
oleh penulis yang berkaitan dengan “gerakan ajaran ayah pin” itu. Pemaparan peristiwa
adalah setakat yang dirasakan perlu dan yang sesuai untuk bacaan umum. Semoga ia
dapat dijadikan asas tindakan dan perancangan untuk membenteras dan mencegah penyebaran
mana-mana ajaran salah yang semakin banyak tersebar sehingga kini. Malah dengan
pemaparan ini juga, dirasakan akan dapat memberi maklumat kepada para pembaca
amnya tentang bentuk-bentuk penyebaran ajaran-ajaran salah yang mempunyai modus
operandinya yang cukup tersusun dan biasanya bergerak secara “underground” .
ASAL USUL AJARAN AYAH PIN
Nama sebenar ayah pin ialah Arifin bin Muhamad yang
juga merupakan murid dan juga menantu kepada penyebar ajaran sesat Hasan Anak
Rimau 1 . Pada tahun 2005 (iaitu semasa
peristiwa), Ayah Pin berumur dalam lingkungan 64 tahun, dan ini bermakna beliau
sekarang sudah mencecah ke angka 74 tahun sekiranya masih hidup. Ajarannya
dipercayai telah berkembang dari sekitar tahun-tahun 1970 an lagi berdasarkan
kepada pengakuan beberapa orang muridnya yang ditemui 2.
Penyebaran ajaran serpihan daripada ajaran Hasan Anak Rimau itu adalah dipercayai
lebih berpengaruh daripada ajaran bapa mentuanya, serta ia juga dipercayai didalangi
oleh “individu-individu besar” didalam Negara, atau paling kurang pun menerima
suntikan dana dari ahli-ahli yang kaya, dan mungkin juga dari artis-artis di
Malaysia 3.
Dipercayai bahawa ayah pin pada mulanya berguru
dengan bapa mentuanya Hasan Anak Limau itu
dan apabila beliau merasa dirinya lebih tinggi dan pengaruhnya semakin kuat
dari bapa mentuanya, dan ditambah dengan beliau juga telah mempunyai beberapa
orang pengikut, maka beliau akhirnya membawa ajarannya itu secara bersendiri
dan tidak lagi terikat dengan ajaran bapa mentuanya itu.
Ajaran Hasan Anak Rimau
Menurut cerita yang masih penulis ingat, pada
sekitar tahun 1982 atau 1983 ada seorang pengamal thariqat yang masyhur dengan ilmu
kerohaniannya dan amalan wiridnya 4, serta
mempunyai ramai muridnya telah pernah didatangi
oleh Hasan Anak Rimau pada sekitar 1970 an (yang semasa itu Hasan Anak Rimau belum
dikenal secara rasmi oleh mahkamah sebagai penyebar ajaran salah) kerana berhajat
ingin berkahwin dengan seorang gadis sunti 5
, serta memohon beberapa ilmu hikmat (ilmu kebatinan) 6 untuk
tujuan tersebut. Hasan Anak Rimau
akhirnya menjadi antara tajuk berita hangat di dalam akhbar-akhbar tempatan
pada sekitar awal tahun 1980 an dan telah dijatuhkan hukuman dan diisytiharkan
sebagai sesat oleh Mahkamah Syariah Kota Bharu.
Serpihan-Serpihan Ajaran Hasan Anak Rimau
Lain
Yang Masih Berkembang
Di sebuah Kampung Bukit Mas Tanah Merah, Kelantan,
yang lokasinya teramat hampir dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir
Tanah Merah, masih wujud sebuah kumpulan yang dipercayai dari kumpulan serpihan
pengikut Hasan Anak Rimau. Antara aktiviti kumpulan tersebut adalah “ratib kuat”
mingguan secara beramai-ramai diatas sebuah “surau” yang dihadiri oleh ramai
orang yang berharta atau berpangkat (berdasarkan kepada
pengunjung-pengunjungnya berkereta mewah). Aktiviti kumpulan ini menjadi bualan
bagi penduduk sekitarnya, dan bagi pandangan peribadi penulis ia perlu dipantau
oleh pihak berkuasa agama sebagai satu langkah “persiapan” sebelum ianya
menjadi lebih besar.
KEM DAN LOKASI AJARAN SESAT ARIFIN MOHAMAD
(AYAH PIN)
Pusat kegiatan ajaran sesat ayah pin terletak di
Batu 13 Jalan Keruak, Ulu Besut (Jerteh) Terengganu dengan keluasan sekitar 6
ekar, serta mempunyai kemudahan-kemudahan asas yang cukup seperti kedai runcit,
kedai kopi, dewan perhimpunan ahli 7 dan
rumah-rumah ahli atau rumah tumpangan. Selain itu terdapat juga
bangunan-bangunan lain seperti cerek gergasi, bangunan ala kaabah yang
kesemuanya di mozekkan, perahu kecil yang digelarnya sebagai perahu Nabi Nuh,
dan juga kubor almarhum suami kepada (ustazah) puan Kamariah. Malah Kem
tersebut adalah sebenarnya lebih sesuai disebut sebagai sebuah perkampungan besar
bagi sebuah ajaran sesat di Malaysia.
MEMASUKI KE DALAM KEM “KERAJAAN LANGIT”
Pada bahagian ini penulis akan menceritakan
pengalaman-pengalaman yang berkaitan dengan apa yang telah terjadi sepanjang
peristiwa, serta peristiwa-peristiwa sebelum dan selepasnya, yang penulis rasakan
sesuai untuk bacaan umum.
Penyebaran Ajaran Yang Semakin Ramai Pengikut
Pada sekitar hujung 1998
(kalau tidak silap) penulis pernah diceritakan oleh beberapa individu tentang
wujudnya seorang penyebar sebuah ajaran sesat yang semakin berkembang dan
semakin ramai pengikutnya. Biasanya yang terpengaruh dengan ajaran tersebut
adalah dari pesakit-pesakit yang berubat dengannya. Di ceritakan juga bahawa apabila
pesakit itu sembuh, maka pesakit itu akan terus terikut dan terpedaya dengan
mainan sihir syaithan seperti didatangi wajah ayah pin melalui mimpi-mimpi.
Rata-rata yang menjadi
pengikutnya pula adalah terdiri daripada golongan-golongan yang tiada pegangan
dan pengetahuan asas agama yang kuat 8
, serta berkeinginan kuat pula untuk mencari ketenangan atau jalan ketuhanan
tanpa melalui proses pengajian melalui guru-guru dan alim ulama. Mereka itu diibaratkan
seperti golongan yang “tersesat di dalam cahaya”.
Memasuki Kem Kerajaan Langit
Pada sekitar bulan Mac tahun 2004 penulis
bersama-sama dengan beberapa orang sahabat seperti cikgu Marzuki bin Awang,
cikgu Khairuddin bin Ghazali, cikgu Ismadi serta beberapa orang yang lain telah
memulakan perjalanan ke Batu 13 Ulu Besut dari Pasir Mas. Pengembaraan kami
dengan menaiki dua buah kereta serta di pandu tunjuk oleh seorang pengikut
setia Ayah Pin 9 . Perjalanan kami
bermula selepas solat Maghrib dari Pasir Mas dan terus bertolak ke Batu 13 Ulu
Besut Terengganu
Sepanjang perjalanan, kami telah dimaklumkan oleh
pengikutnya itu bahawa ayah pin adalah berasal dari air mani tuhan, lalu
tercampak ke bulan dan jatuh ke bumi maka terjadilah ayah pin. Telah dinyatakan
juga bahawa Ayah pin pada hakikatnya adalah Imam mahdi dan dia juga adalah Nabi
Isa.
Apabila sampai ke perkampungan kem “kerajaan
langit” tersebut iaitu pada waktu malam selepas isyak, kereta kami telah
ditahan oleh dua orang “Jaga (Pengawal)” kawasan Kem, dan tidak dibenarkan
masuk kawasan jika tiada orang yang dikenalinya. Kami berjaya melepasi kawalan
kawasan dan juga berjaya memasuki Dewan tempat persidangan dan pengajaran ayah
pin melalui “tiket” pengikutnya itu.
Gambaran Memasuki Dewan
Apabila memasuki dewan pengajaran, saya dapati
begitu ramai yang hadir. Seramai sekitar seribu orang yang menghadiri dan
mendengar pengajaran ayah pin, lelaki dan perempuan. Kelihatan juga pada
pakaian perempuan yang rata-ratanya adalah bertudung dan bertelekung
menimbulkan kemusykilan pada penulis tentang taraf ilmu agama pengikut yang hadir.
Ayah pin yang berpakaian kemas, berbaju dan berseluar
berwarna merah cerah dan bertopi ala koboi (kalau tidak silap penulis), di apit
oleh dua orang gadis berbaju serba putih dan mengipas-ngipas seperti raja di
atas takhta. Dengan gaya dan cara duduk ayah pin seperti seorang pemerintah
yang besar, mungkin sedikit sebanyak menimbulkan atau menambahkan rasa hebat di
hati pengikut dengan penampilannya itu.
Bentuk Pengajaran Didalam Dewan
Pada hakikatnya, ayah pin tidaklah sebanyak mana
yang mampu memberikan ajaran-ajarannya pada malam tersebut, malah mungkin juga
sebelumnya. Cuma bentuk yang dibawanya adalah berbentuk mentafsir atau
memberikan huraian-huraian yang berkaitan dengan mimpi orang-orang yang
bertanya, dan ianya lebih kepada berbentuk untuk menimbulkan rasa hebat di hati
para pengikut kepada ayah pin, seperti menerangkan bahawa orang yang berada
didalam mimpi-mimpi mereka itu adalah sebenarnya ayah pin belaka.
Gambaran Peristiwa Di luar Dewan
Setelah selesai daripada majlis didalam dewan,
maka penulis berkesempatan bertanya kepada beberapa orang pengikut atau
pengunjungnya. Antaranya seorang tua yang pada jangkaan penulis adalah berusia
sekitar 60 tahun lebih dan beliau mendakwa telah menjadi pengikut ayah pin pada
tahun 1970an lagi. Penulis juga telah berjaya menarik perhatian ayah pin untuk berdialog
secara bersemuka, dan juga dapat mewawancara beberapa orang pengikut tegar Ayah
Pin termasuklah Puan (Ustazah) Kamariah yang telah terperangkap 10 sehingga menjadi pengikut setia ayah
pin.
Pakaian yang dipakai oleh ayah pin diluar dewan
adalah biasa dan selekeh sahaja tidak sebagaimana cara berpakaiannya didalam
dewan. Beliau diiringi oleh beberapa orang pengikutnya yang berpakaian serba
hitam dan dipercayai adalah sebagai “body-guardnya”. Kami telah ditunjukkan
seberkas atau sebungkus wang ringgit yang agak banyak oleh ayah pin yang hanya
berada didalam kilas kainnya sahaja. Penulis percaya bahawa cara tersebut
adalah sebahagian daripada cara untuk menambat hati pengikut-pengikut supaya
terus menghormati dan mengaguminya. Dengan sedikit ilmu mantik yang ada,
penulis bersama rakan-rakan kemudiannya telah dapat berada bersama
pengikut-pengikut ayah pin untuk terus bersembang-sembang didalam kedai kopi
yang dipenuhi juga oleh pengikut-pengikutnya.
Apabila berada didalam kedai kopi, kami duduk
berhadap meja dengan ayah pin dan diceritakan tentang keadaannya yang berada
dilangit. Manakala keadaan pengikut-pengikut ayah pin yang begitu taksub hanya merangkak-rangkak
menyembah seperti menyembah seorang Raja yang maha besar dengan mengangkat kedua
tangan ke atas kepala sebelum bertanya apa-apa kepada ayah pin.
TINDAKAN MENCEGAH KEMUNGKARAN BESAR AYAH
PIN
Pada bahagian akhir dari peristiwa yang telah berlaku,
penulis kemudiannya telah membuat laporan di pejabat agama Negeri Kelantan
dengan laporan dan saranan supaya Ayah Pin ditangkap di atas kesalahan ISA
kerana beliau terbukti mempunyai agenda politik yang besar berdasarkan kepada
tindakan dan usahanya yang mempengaruhi berbagai pengikut agama dan bangsa di
bawah satu kuasa “Kerajaan Langitnya". Namun dimaklumkan bahawa pihaknya
tidak dapat mengambil apa-apa tindakan kerana kes adalah di luar Negeri
Kelantan dan hanya terhad kepada kuasa undang-undang Syariah Negeri Kelantan
sahaja. Selang beberapa bulan kemudiannya penulis telah dihubungi oleh seorang
pegawai polis (SB) cawangan Negeri Kelantan, yang akhirnya pada tahun 2005
kumpulan ajaran sesat dan syirik murtad itu telah diroboh dan dihancurkan, dan
pegikut-pengikutnya ditangkap termasuklah puan Kamariah.
ANTARA ISI AJARAN-AJARAN SESAT AYAH PIN
1.Ayah pin adalah berasal dari
air mani tuhan yang jatuh ke bulan dan tercampak ke bumi
maka lahirlah ayah pin.
2.Imam Mahadi, Nabi Isa, Nabi Muhammad itu pada hakikatnya
adalah ayah pin jua
3.Wajah sebenar ayah pin adalah berusia beribu-ribu
tahun.
4.Ayah Pin adalah tuhan yang
turun dari langit dan mendakwa beliau pemegang kerajaan langit.
5.Beliau mempunyai kuasa penyembuh segala
penyakit dan apabila disebut namanya semua binatang buas akan takut.
6.Beliau mempunyai kuasa yang dapat
menjadikan manusia itu batu apabila disumpah olehnya.
7.Mendakwa dapat menentukan seseorang itu
ahli syurga atau neraka, dan juga memasukkan roh orang-orang yang jahat itu ke
dalam kubah markaznya.
PENUTUP
Berdasarkan kepada apa yang telah penulis gambarkan
sepanjang pengalaman tersebut, maka mungkin sebahagian dari peristiwa tersebut
akan dapat menjadi renungan bersama tentang bentuk dan kaedah-kaedah berlakunya
penyebaran mana-mana ajaran salah amnya di Malaysia. Jika dinilai dengan tahap
fizikal ayah pin yang kurus dan lemah, bodoh dan tidak bersekolah tetapi
berjaya menarik minat serta mendapat pengaruh yang besar dari masyarakat yang
mendakwa cerdik dan intelek maka apakah sebenarnya menggambarkan tahap semua
sistem yang diamalkan di Malaysia ini masih begitu lemah dan naif ?.
Setelah kehilangan beberapa ketika ayah pin yang
dipercayai berada di selatan Thailand, maka pada sekitar tahun 2008 ada
beberapa laporan dari akhbar menyatakan bahawa Ayah Pin telah kembali semula ke
Kem tersebut tetapi tidak di ambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa. Malah
yang lebih membingungkan tentang kemampuan ayah pin yang mampu membuka satu
“empayar” yang luas dan tanpa apa-apa “gangguan” dari mana-mana pihak termasuk
pihak yang berkenaan selama bertahun-tahun malah berpuluh tahun. Atau apakah
dengan gambaran-gambaran tersebut pihak berkenaan masih menganggab bahawa ajaran
ayah pin tidak berbahaya kerana dia bukannya pembunuh dan perompak atau perogol
?.
1 Sebenarnya gelaran Hasan Anak Rimau adalah
dikaitkan dengan beliau seorang peniaga anak pokok limau dan mempunyai kebun
buah limau yang banyak. Istilah Limau kepada Rimau itu dipercayai kerana
sebutan “L” dan “R” bagi masyarakat Kelantan yang akhirnya lebih lekat dengan
nama “Rimau”. Hasan berasal dari Kampung Bukit Mas Tanah Merah, Kelantan dan telah
meninggal dunia, serta dikuburkan di tanah persendirian berdekatan dengan Kem
kumpulan yang masih aktif dengan majlis-majlis zikir dan pertemuan pada
malam-malam tertentu antaranya pada malam jumaat.
2 Antara responden yang sempat penulis temui pada
tahun 2004 (iaitu pada malam yang dicatatkan pada helaian artikel ini) iaitu
seorang lelaki tua yang berumur sekitar 60 an yang mendakwa bahawa beliau
menjadi pengikut Ayah Pin pada tahun 1970an lagi. Begitu juga yang telah
dinyatakan oleh Puan Kamariah (bekas ustazah yang telah ditahan itu) yang
menyatakan bahawa almarhum suaminya telah menjadi pengikut Ayah Pin pada tahun
1970an lagi. Kegiatan yang cukup lama dan sehingga dapat mendirikan “Empayar
Kerajaan Langit” yang cukup kuat ini memberikan beberapa persoalan kepada kita
tentang sejauhmanakah keberkesanan undang-undang dan gerakerja pihak berkuasa
agama terhadap penyebaran ajaran salah di Malaysia amnya.
3 Menurut pemberi malumat kepada penulis, bahawa
ada penyanyi yang pernah popular di Malaysia (bukan Melayu) yang pernah berubat dengan ayah pin sehingga
mengakui bahawa ayah pin adalah sebenarnya merupakan penjelmaan Tuhannya. Malah
melalui CD yang mengandungi nyanyian memuja ayah pin sebagai Mahdi dan Isa yang
diperolehi oleh penulis dari tangan ayah pin sendiri bahawa adalah dinyanyikan
oleh seorang penyanyi lelaki yang cukup baik suaranya dan lagunya. Malah
seorang bekas penyanyi dari kumpulan rock pun pernah dikaitkan dengan kumpulan
tersebut.
4 Demi menjaga maruah nama almarhum dan kejernihan
ilmunya maka penulis tidak dapat sebutkan namanya disini yang ianya adalah
berasal dari Pattani dan dipercayai ada susur galur pengajian sehingga kepada
Syeikh Pak Eil yang terkenal itu. Almarhum
ini telah meninggal dunia pada tahun 1985 dalam usia sekitar 80 an tahun.
5 Perkahwinan Hasan ini yang semasa itu berusia
sekitar 80 tahun (kalau tidak silap penulis) telah pernah disiarkan oleh sebuah
akhbar berbahasa Melayu pada sekitar tahun penghujung 1970an atau sekitar tahun
1980. Antara isi kandungan berita tersebut ialah menceritakan kehebatan dan
kemampuan seorang tua yang dapat mengahwini gadis muda sunti belasan tahun.
6 Ilmu yang sekiranya boleh disebut sedikit disini ialah
satu ilmu yang berupa “ilmu nazhariah’ yang juga ada ditulis di dalam sebuah kitab
tulisan Mat Kilau yang telah diterbitkan oleh Utusan Melayu pada tahun 1971.
7 Anggaran keluasan dewan tersebut adalah sekitar
yang dapat memuatkan seribu orang di dalam satu masa.Di dalam dewan tersebut
juga terdapat sebuah astaka yang dijadikan sebagai singgahsana tempat ayah pin
berada ketika memberi syarahan ajarannya.
8 Antara yang sempat penulis bertanya kepada
pengikut-pengikut yang hadir pada malam tersebut adalah pemuda pemudi dari
Melaka dan Johor.
9 Sebagai juru tunjuk dan “tiket” untuk
memudahkan urusan memasuki Kem. Untuk memasuki kawasan tersebut penulis dan
beberapa sahabat yang lain perlu melaluii beberapa sekatan yang dilakukan oleh
penjaga kawasan (jaga kem). Menurut perkhabaran kemudiannya, bahawa pengikut
yang menjadi juru tunjuk pada malam itu telah bertaubat dan telah menghadiri
majlis-majlis ilmu di Masjid-masjid.
10 Bagi penulis, puan Kamariah adalah seperti terperangkap diantara kebenaran
dan kebatilan. Dengan latar belakangnya sebagai seorang yang berilmu agama yang
tinggi (lepasan Universiti Azhar didalam bidang syariah) dan mungkin dengan
pertembungan memori suaminya yang menjadi pengikut ayah pin semenjak tahun 1970an
lagi, ditambah juga dengan kubur almarhumnya adalah didalam kawasan
perkampungan tersebut.
Satu artikal yang menarik
ReplyDeleteterimaksih ustaz. pengalaman benar yg pernah dilalui jika tidak dikongsi bersama terasa sayang jika pengalaman itu mati bersama usia dan umur....
ReplyDeleteartikel adalah salinan dari yang telah disiarkan oleh majalah PENGASUH terbitan Majlis agama Islam Kelantan (MAIK) tahun 2015. Maka maklumat yg terbaru ialah ayah pin telah pun meninggal dunia pada tahun 2016 .
ReplyDeleteterima kasih info..
ReplyDeleteboleh saya tahu nama sebenar penulis?
ReplyDeletePenulis blog maktabah qadim ini adalah juga orang yg sama yg menulis di dalam msjalah pengasuh terbitan MAIK. Jika berminat boleh hubungi unit penerbitan MAIK.
ReplyDelete