Tuesday 18 July 2017

MELAYU DAN ISLAM.

Pengislaman ke atas orang-orang Melayu telah lama berlaku. Penemuan sebuah kitab Bahr Al-Lahut yang telah di tulis oleh Syeikh Abdullah Arif yang telah ditemui kuburnya di Aceh (tahun 1177 M) yang telah melaksana dan memulakan tugas dakwah ke Pasai pada zaman pemerintahan Sultan Kamil (1155 – 1210 M) 1 telah membuktikan bahawa Islam juga telah menjadi kepercayaan dan anutan bagi orang-orang Melayu pada zaman awal.

Penemuan-penemuan baru oleh pengkaji-pengkaji sejarah tempatan menunjukkan bahawa Tanah Melayu Semenanjung telah didatangi oleh mubaligh-mubaligh Islam pada zaman awal lagi iaitu sekitar kurun ke 5 Hijrah (10 Masihi) atau pada kurun-kurun sekitarnya lagi seperti terbukti dengan penemuan batu-batu bersurat di Kedah  2 dan mata wang emas di Kelantan  3.
   
Melalui amalan dan kepercayaan Islam yang telah meresap ke dalam seluruh kehidupan orang-orang Melayu secara berperingkat-peringkat dan bertahap, maka aktiviti utama mereka pada masa itu iaitu dari berperang semata-mata kerana kuasa telah turut berubah kepada cara dan matlamat mereka berperang adalah semata-mata kerana agama dan Jihad fi Sabilillah 4.

Begitulah juga dengan semua perubahan gerakerja dan aktiviti kehidupan yang lain, samada dari sudut politiknya, adat istiadat, kesenian, perundangan dan sebagainya. Di dalam Sejarah Melayu ada menceritakan bahawa setelah Islamnya Raja Kecil Besar maka beginda telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah serta telah merubah beberapa adat istiadat istana yang lebih sesuai 5 

Justeru hubungan yang cukup lama di antara Islam dan Melayu itu, ianya telah menjalinkan satu ikatan amalan kebudayaan dengan Islam yang cukup kuat lalu terbentuklah satu amalan kebiasaan bagi seluruh masyarakat atau Al-‘Urf  yang tersendiri dan serasi di antara Melayu dan Islam. Amalan Islam yang telah berakar umbi di dalam masyarakat Melayu walaupun sebahagian besarnya mungkin mereka tidak fahami tentang sesuatu amalan itu, namun ianya telah dapat diterima sebagai satu cara hidup orang-orang Melayu yang beradab dan bersifat lemah lembut. Sehingga di Malaysia sekarang telah dapat diterima umum bahawa apabila disebut sahaja orang-orang Melayu maka itu bermakna orang-orang Islam yang bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat iatiadat Melayu.




1 Hj. W. Mohd. Shaghir Abdullah : (Feb. 1991), Haji W. Mohd. Shaghir Abdullah; Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, Jil. 1
2 Batu nisan yang di jumpai di Tanjung Inggeris, Kedah, menunjukkan tarikh di atas ialah 291Hijrah / 903 Masihi. Mastika, bil. 10, 1965, Prof. Madya Dr. Abdul Halim El-Muhammady, kertas kerja seminar Wacana Jamaah Ulama MAIK, 27 Feb.2010, Kota Bharu, Kelantan, hal.1.
3 Prof. Madya Dr.Abdul Halim El-Muhammady: Ibid.
4 Ibn Battutah: (2005), 
5 W.G. Shellabear: (1975), Sejarah Melayu, Fajar Bakti SDN. BHD,

No comments:

Post a Comment