Tuesday 18 July 2017

ASAL USUL RUMPUN MELAYU

Alam Melayu telah di gambarkan oleh para pengkaji sejarah adalah sebagai sebuah “Mutiara Timur” yang meliputi Wilayah dari Semenanjung Asia Tenggara sampai ke Kepulauan Indonesia dan Filipina dan menyusur jauh ke Lautan Pasifik di Oceania 17. Ianya mempunyai satu tamadun yang tinggi dan telah melalui beberapa tahap perkembangannya yang bermula dengan Tamadun Purba Melayu, Tamadun Lama, dan Tamadun Moden iaitu bermula pada zaman kedatangan Islam semenjak 1,200 tahun Miladiah lagi 18.

Kewujudan asal-usul rumpun Melayu menurut kajian beberapa orang ahli sejarah tempatan menyatakan bahawa ia telah lama wujud. Tokoh sejarawan dan budayawan negeri Kelantan misalnya, almarhum Ustaz Abdullah Nakula telah menulis bahawa pada kira-kira 3030 sebelum Miladi, Yafth iaitu anak kepada Nabi Nuh Alaihissalam selain dari Ham dan Sam 19 telah berlayar ke Asia Tenggara bersama dengan anaknya yang bernama Jarvan dan telah membuat penempatan di Pantai Timur Laut Tanah Semenanjung. Lalu daripada keturunan Jarvan itulah yang melahirkan ras bangsa Melayu  20.   Sekiranya benar pendapat ini, maka ia dapat menolak sesetengah pendapat termasuklah pendapat-pendapat sejarawan Melayu sendiri yang tidak berjiwa “Asli Melayu” yang mengatakan bahawa asal usul orang-orang Melayu ini berasal daripada Campa.

Abdullah Nakula juga berpendapat bahawa, berdasarkan tulisan orang-orang Arab terdahulu bahawa di Pantai Timur Semenanjung telah pun wujud sebuah empayar Melayu dalam abad-abad yang ke 9 dan 10 Miladi 21 lagi. Manakala menurut Nik Mohamad bin Nik Mohd.Salleh pula bahawa  Semenanjung Tanah Melayu ini telah pun wujud sejak dari 10,000 tahun silam lagi dengan negeri terawalnya ialah negeri Kelantan 22. Dalam Tarikh Fatani bagi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang telah beliau salin daripada Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiuddin al-Abbasi menyatakan bahawa kerajaan Melayu Fathani telah wujud sejak 200 tahun Miladi lagi  23.

Dengan beberapa kenyataan, pendapat dan catatan-catatan tersebut, walaupun ianya tidaklah sepakat di antara satu sama lain, namun kita dapat membuat rumusan bahawa bangsa Melayu adalah satu bangsa yang telah lama wujud di dunia, khususnya di kawasan Asia Tenggara ini. Pertikaian tentang asal usul orang-orang Melayu harus di kembalikan kepada al-Quran iaitu semua manusia adalah berasal dari Nabi Adam a.s. dan Hawa yang kemudiannya Allah telah menciptakan manusia dari yang satu itu kepada berpuak-puak dan bersuku-suku sebagaiman Firman Allah di dalam surah al-Hujurat, ayat ke 13;

“ Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal “.

Wallahu A’lam.




17 Ismail Hussein, A.Aziz Deraman dan Abdul Rahman Al-Ahmadi: (1989), Tamadun Melayu, Pendahuluan , DBP, Kuala Lumpur. Syeikh Ahmad Al-Fathani pula menjelaskan bahawa kaum Melayu adalah sekelompok besar manusia dan negeri yang sesubur-subur negeri dunia. Ia terletak di antara negeri India dan China (Syeikh Ahmad Al-Fathani (1998), Hadiqatul Azhar; 
18 Harun Mat Piah, (1989), Tamadun Melayu Sebagai Asas Kebudayaan Kebangsaan, Satu Tinjauan dan Justifikasi, Didalam Tamadun Melayu, 
19 Menurut Ibn Qatadah, jenerasi dari tiga orang tersebut melahirkan bangsa-bangsa Turki, Yakjuj dan Makjuj, bangsa Saudan dari timur dan Barat, bangsa Arab, Farsi dan Rum.(Imam al-Jalil al-Allaamah Ibn al-Barkat Abdullah b. Ahmad b. Mahmud an-Nasafi: Tafsir An-Nasafi, Dar Al-Ehya’ al-Kitab al-Arabiyyah, . Manakala Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani telah menulis bahawa mengikut satu riwayat, bahawa anak Nabi Nuh itu dua orang, seorang namanya Ham  jadi Raja di Benua Mesir, dan seorang namanya Yafith yang jadi Raja bagi Benua Hindustan (Kasyful ghaibiyah, 
20 Abdullah Mohamed: Risalah Filsafat Dan Pemikiran Dalam Wayang Kulit, . Bagi penulis, tarikh dan kenyataan ini  adalah pendapat peribadi bagi Almarhum. Namun satu kenyataan yang tidak dapat di nafikan adalah bila di hubungkan semua ras di dunia ini bermula dengan keturunan Nabi Nuh Alaissalam sebagaimana pendapat Ibn Qatadah yang berdasarkan al-Quran, surah as-Saffat وجعلنا ذريته هم الباقين ,ayat ke 7. (Imam Jalil al-Allaamah Ibn al-Barkat Abdullah Al-Imam an-Nasafi:   
21 Abdullah B. Mohamed (Nakula): (1981), Keturunan RAJA-RAJA KELANTAN dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah; 
22 Nik Mohamed bin Nik Mohd.Salleh: (1987), Kelantan Zaman Awal; Kajian Arkeologi dan Sejarah Di Malaysia, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,
23 Syeikh Shafiuddin, iaitu datuk kepada Syeikh Faqih Ali telah datang ke Fathani Darussalam sekitar tahun 1400 Masihi. Oleh itu di perkirakan bahawa Syeikh Faqih Ali menulis risalah ini sebelum tahun 1500 Masihi lagi. 

No comments:

Post a Comment