Tuesday 18 July 2017

PENYEBARAN ILMU KEBATINAN DI ALAM MELAYU

            Adapun Ilmu-ilmu Kebatinan atau Kerohanian di alam Melayu biasasnya diwarisi melalui guru-guru kepada guru yang lain sehinggalah kepada murid-muridnya melalui proses pengijazahan guru atau bai’at murid kepada guru. Proses bai’ah atau perjanjian itu berlaku biasanya di dalam satu majlis penyerahan amanah atau pengajaran ilmu secara rasmi guru kepada murid. Selain daripada penyebaran melalui cara tersebut, ia juga diwarisi melalui beberapa tulisan kitab-kitab yang menjurus kepada ilmu kesaktian atau ilmu kebatinan, samada yang menjurus kepada ilmu perang gagah berani, pertahanan diri atau juga yang berkaitan dengan perdukunan, tabib atau perbomohan.

            Antara kitab-kitab yang ditemui yang ada membicarakan perkara-perkara pertahanan diri atau seumpamanya adalah antaranya seperti Kitab Tajul Muluk , Kitab Ilmu Rahsia Mat Kilau 9 , Bada-‘iz Zuhur bagi Al-‘Alim Al-‘Allamah Az-Zaki Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Al-Fathani, Pati Rahsia oleh Dato’ Perdana10,  Lum’atul Aurad yang selesai di tulis pada malam Isnin, 4 Jamadil Awal 1311 Hijrah (1894 Masihi) oleh Syeikh Tok Wan Ali Al-Kutani, Warisan Perubatan Melayu yang diselenggarakan semula oleh A.Samad Ahmad dan di terbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan cetakan pertamanya pada tahun 1988, dan sebagainya lagi yang sebahagiannya sudah hilang dari cetakan, dan sebahagian besar dipercayai masih berupa manuskrip yang menjadi simpanan peribadi bagi pengamal-pengamal ilmu tersebut sahaja.

Selain itu ada juga kitab-kitab Melayu Jawi yang isi kandungannya membicarakan tentang ibadat-ibadat seperti solat yang mengandungi juga doa-doa atau amalan untuk pelindung diri seperti kitab Munyatul Musalli bagi Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani dan Hidayatus Salikin bagi Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani (sekadar menyebut beberapa contoh).  Bagi Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani di dalam kitabnya yang cukup terkenal di kalangan pelajar-pelajar agama di Pondok-Pondok dan di kampung-kampung di seluruh Alam Melayu khususnya di Pattani, Kelantan dan negeri-negeri sekitar Nusantara, kitab MUNYATUL MUSALLI sudah pasti tidak terlalu asing, malah sememangnya telah di jadikan panduan di dalam amalan-amalan sejak dahulu lagi, dan di situ juga ada di tuliskan beberapa amalan doa untuk perlindungan diri yang sesuai diamal oleh orang-orang Islam 11.

            Selain itu, penulis juga telah menemui sebuah naskhah risalah kecil yang bernama Senjata Laki-Laki  yang ditulis oleh Muhammad Muhyiddin Al-Ghazali Bin Haji Abdullah Al-Fajuri Al-Kelantani dari Madrasah Ahmadiyah Bunuk Payung Kota Bharu yang setebal 16 halaman yang kepunyaan asal risalah tersebut adalah dimiliki oleh al-marhum Wan Abdullah Bin Wan Ahmad, Kampung Baharu, Pasir Pekan Kelantan yang telah diwarisi pula untuk penjagaan oleh anak-anaknya. Risalah ini dipercayai telah tamat di dipelajari oleh al-marhum Wan Abdullah berdasarkan pada catatan-catatan tangan yang ada pada risalah tersebut bersama dengan catatan tarikhnya iaitu pada tarikh 4 Februari 1954 Miladi. Antara isi kandungan risalah tersebut adalah antaranya doa Zul Faqar, kaifiat “KAF 40” menjadi tebuang, amalan Thariqat Kiyai Salleh, kebal mandi minyak, kelebihan isim ذى الجلال والاكرم, khasiat surah الم نشرح dan seumpamanya. Ia di cetak oleh Al-Mathba’ah Al-Aahliyah, Kota Bharu Kelantan yang tidak tertulis tahun cetaknya..

            Pada tahun 2007, almarhum Pendeta Anuar Abdul Wahab (seorang Guru Utama di dalam sebuah Pertubuhan seni silat) pernah menunjukkan kepada penulis himpunan Ilmu Kerohanian dan Ilmu Kebatinan yang pernah beliau pelajari dari gurunya dan telah khatam pada tahun 1960 yang ada persamaan dengan ilmu kebatinan Mat Kilau yang telah diterbitkan oleh Utusan Melayu pada tahun 1971. Adapun isi kandungan bagi pelajaran kerohanian tersebut menunjukkan bahawa ilmu kerohanian Seni silat tersebut mempunyai susur galur atau sanad yang bersamaan dengan ilmu Mat Kilau pahlawan Pahang yang masyhur itu.




9 Pahlawan Mat Kilau ada menulis sebanyak 3 buah kitab mengenai ilmu kebatinan dan semasa beliau di dalam persembunyian dari penjajah Inggeris, beliau telah menyerahkan kitab-kitab karangannya itu kepada sahabat baiknya Mat Saman Kelantan (Dr. Talib Samat; (2007), Jejak Pahlawan Mat Kilau, Tokoh Pahlawan Nasional, Goal Intellegent Publishing SDN.BHD. ).
10 , Di dalam proses menyiapkan kitab tersebut, Dato’ Paduka Perdana telah pernah bertandang ke rumah Haji Wan Abdul Rahman bin Tok Wan Ali al-Kutani di kampong Kutan sehingga sampai 2 minggu (Wan Baharuddin bin Haji Wan Mamat, Harakah, 9 Zulhijjah 1418, hal.27). Bagi Dr. Zakaria@ Mahmood bin Daud (Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail-KIAS), kitab Pati Rahsia itu sepatutnya di buat satu seminar khusus untuk menjelas dan menerangkan isi kandungannya kepada masyarakat umum (Wawancara pada 21 Sept.2006 di Dewan Bunga Tanjung, Hotel Perdana Kota Bharu). Manakala bagi Dato’ Timbalan Mufti Kelantan menyifatkan pengarang kitab itu adalah seorang yang alim, dan sepatutnya untuk mentelaah kitab itu perlulah berguru dengan para alim ulama yang arif.  SS. Dato’ Haji Muhammad Syukri bin Muhammad: Op.cit.
11 Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani menulis di dalam “Musalli”nya sebagai berikut ; “Dan demikian lagi setengah daripadanya, kata Al-‘Arif Billah Sayyidi Al-Sanusi pada risalahnya yang bernama Mujarabat Nafa’anallahu Bibarkatihi, barangsiapa membaca akan doa ini pada tiap-tiap hari dan tiap-tiap malamnya tiada mengena akan dia anak panah, dan tiada pedang, dan tiada mecapai akan dia daripada seteru suatu yang di bencinya, dan tiada mengena akan dia padah dan tiada mati selama ada ia membaca akan dia. Maka jika di kehendaki Allah akan sampai taqdirnya nescaya di lupa akan dia membacanya...” (Syeikh Ahmad Al-Fathani; (t.t), Halaman).

No comments:

Post a Comment