Monday 17 July 2017

APAKAH HUKUM IKTIKAF DI DALAM 
SURAU ATAU MUSALLA ITU SAH ? 


Surau atau musalla atau seumpamanya banyak diperbincangkan tentang taraf kegunaannya iaitu adakah ianya boleh dibuat solat tahiyyatul masjid dan niat iktikaf di atasnya ?. Maka persoalan ini memerlukan sedikit penelitian tentang makna Masjid dan mausalla atau surau. Masjid atau Musalla adalah berupa isim makan (الاسم المكان  ) iaitu nama bagi menunjukkan sesuatu tempat sujud (Masjid) dan tempat sembahyang (Musalla). Adapun surau adalah satu perkataan atau istilah yang hanya diguna pakai oleh masyarakat Melayu khasnya di sebelah semenanjung sebagai satu tempat untuk melakukan solat ibadat yang lebih kecil saiznya jika dibandingkan dengan masjid, sebagaimana yang telah didefinasikan oleh Kamus Dewan sebagai sebuah bangunan yang lebih kecil dari masjid tempat orang-orang Islam beribadat 1 (sembahyang). Penggunaan Uruf Qauli yang umum itu memberi faham kepada kita bahawa surau adalah merupakan sebuah bangunan yang didirikan oleh orang-orang Islam semata-mata untuk dijadikan sebagai tempat untuk solat berjamaah LIMA waktu oleh masyarakatnya dan bukan sebagai didirikan untuk tempat perhimpunan orang ramai seperti dewan, atau bukan juga sebagai bangunan sekolah, atau lain-lainnya. Maka dengan ini ia boleh disama ertikan sebagai sebuah “masjid ‘Amiyyah” atau masjid biasa sebagaimana yang telah disebut oleh Imam Mawardi (Abu Hassan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Basri al-Baghdadi al-Mawardi) di dalam Ahkam as-Sulthoniyyah . Saiyyid sabiq ada juga menulis di dalam Fiqh Sunnah tentang definasi masjid itu sebagai tempat untuk melakukan solat sebagaimana dengan katanya;
ان جعل لها الارض طهورا ومسجدا قاءما رجل من المسلمين ادركه الصلاة
“Sesungguhnya telah dijadikan bumi ini suci dan masjid yang didirikan solat oleh orang-orang Islam" 2

Para ulama ada membahagi dan membezakan istilah penggunaan nama masjid kepada dua jenis iaitu Masjid ‘amiyyah dengan Masjid Jami’ . Masjid ‘amiyyah ialah masjid biasa yang didirikan oleh orang ramai, tanpa campur tangan pemerintah dalam pelantikan imam-imam. Ia hanya berdasarkan kepada pilihan dan persetujuan masyarakat kampung itu sahaja 3. Adapun masjid yang lebih ramai dan dikuasai oleh pemerintah di dalam menentukan siapa imam yang layak adalah disebut sebagai masjid jami’ 4 . Masjid jami’ juga adalah sebagai masjid yang didirikan solat jumaat sebagai yang lebih utama untuk dilakukan iktikaf diatasnya 5. tanpa tidak menghalang juga dilakukan iktikaf dan lain-lain ke atas mana-mana bangunan yang asal sahaja ianya adalah disebut tempat ibadat (masjid) sebagaimana yang telah disebut oleh Syeikh Khatib Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj 6.

Dengan kenyataan-kenyataan itu telah menjadi jelas bagi kita, dan semoga menghilangkan kekeliruan tentang taraf sah atau tidaknya beriktikaf atau lain-lainnya di dalam surau. Malah ia juga telah dihukumkan sunat oleh fatwa-fatwa seperti fatawa negeri Terengganu yang menetapkan bahawa surau itu adalah juga sebagaimana bangunan-bangunan yang lain yang bernama “Masjid” kerana ia juga adalah sebenarnya sebuah masjid yang didirikan solat berjamaah oleh segenap masyarakat setempat, dan tidak perlu disyaratkan ada ucapan “sesungguhnya aku jadikan tempat ini sebagai masjid semasa ingin didirikannya” 7. Kenyataan ini diperkuatkan lagi oleh fatawa yang telah dikeluarkan oleh jabatan mufti wilayah persekutuan dengan kenyataannya ;

Perlu dijelaskan di sini bahawa pengistilahan surau di negara kita yang mana tidak dilakukan padanya solat jumaat akan tetapi didirikan solat berjamaah selama lima waktu maka hukumnya adalah hukum masjid. Boleh untuk kita beriktikaf di dalamnya” 8.





1 Pengertian Dewan Bahasa Pustaka, http://prpm.dbp.gov.my/cari keyword=surau.
2 Saiyyid sabiq, Fiqh sunnah, Darul Fathah, Qaherah, 
3 Abu hasan ‘ali bin muhammad al-Mawardi; Al-Ahkam Al-Sultaniyyah wa al-wilayah ad-diniyyah, 
5 Syeikh Muhammad Khatib As-Syarbini; Mughni al-Muhtaj, 
6. Ibid, hal.203.
7 Ringkasan Fatwa dan Pandangan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Fatwa dan Adat Melayu Terengganu (2013)
8 Laman web jabatan mufti wilayah persekutuan.

No comments:

Post a Comment