Wednesday 19 July 2017

OH KAMPUNGKU, KAMGPUNG KUTAN.

Kampung ku, sebuah perkampungan yang amat menarik dengan perusahaan asal penduduk kampung ialah menoreh getah, penanam padi, pencari etok sungai, penanam timun cina (ladangnya adalah di tapak Bandar Baru Kampung Sireh sekarang), peniaga atau peraih, dan sedikit pegawai kerajaan. Namun setelah lama masa berlalu dari jarak usia ku yang membesar dari era tahun 1960 an hingga ke dekad tahun 2017 ini maka perubahan pesat Kampung ku amat jauh berbeza. Kini tiada lagi kebun getah, dan hanya beberapa relong sawah padi sahaja lagi yang tinggal. Ia kini telah bertukar kepada bangunan-bangunan dan rumah-rumah serta pusat-pusat perusahaan, kedai dan entah apa-apa. Tiada lagi wanginya lumpur sawah, tiada lagi harumnya bauan getah, tiada lagi cantiknya pemandangan kabus pagi dihujung daunan pokok padi. 

KAWASAN KAMPUNG KUTAN
Kampung Kutan adalah merupakan sebuah Kampung yang begitu luas dan ia bermula dari Kampung Kutan Hulu yang sebahagiannya sudah diletakkan dibawah Majlis bandaran Pasir Mas yang bersempadan dengan Wakaf Merah Tendong, yakni setakat Sekolah Ugama Arab Padang Embun. Menurut asal kata Padang Embun ini adalah setakat yang diketahui penulis bahawa dahulunya adalah sebahagian daripada Kampung Kutan juga. Ia mendapat nama “Padang Embun” kerana pada masa itu kawasan itu hanya merupakan padang (sawah padi) yang pada waktu-waktu pagi dini pasti akan didapati satu pemandangan yang cantik dengan embun yang banyak.

sehinggalah ke Kampung Baru Luar yang dahulunya juga adalah termasuk sebahagian dari Kampung Kutan Hilir dan termasuk di dalam kawasan Istana Luar Istana Kubang Labu. Kampung ini berasal dari keluarga berketurunan “WAN” yang dipercayai bersambung sanad kepada kekeluargaan ulama tersohor Tok Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Dato Abdul Malik bin Abdullah) yang dikaitkan kepada pengarang kitab syarah Hikam Melayu yang terkenal itu. Adapun Pengarang kitab syarah Hikam melayu yang sebenar tidak dapat dipastikan siapakah sebenarnya. Cuma ia telah disandarkan kepada syeikh Tok Pulau Manis oleh Syeikh Ahmad Fathani dalam cetakan awalnya. Keturunan Tok Pulau manis ini adalah melalui jalur Siti Hajar binti Syarif Hasan atau Lebai Hasan bin Sayyid Badruddin bin Tok Pulau Manis .Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada riwayat keluarga yang ratanya juga adalah menjadi ahli Kelab Cucu Cicit Tok Pulau Manis Kelantan yang berpusat di Pondok Aur Cina Pasir Mas, Kelantan. 

Rata-rata penduduk kampung Kutan juga adalah dari ahli keluarga Syeikh Wan Ali al-Kutani pengarang kitab yang terkenal itu. Boleh dikatakan penduduk asal Kampung Kutan adalah rata-ratanya dari jalur keluarga “Wan” sejak berzaman lagi. Malah lebih menariknya ada juga yang diceritakan bahawa bagi orang-orang yang bukan berjalur “Wan” tetapi bila bermaustautin di Kampung Kutan maka akhirnya turut juga mendapat gelaran “Wan”. Kenyataan ini adalah dari bersumberkan kenyataan Cikgu Wan Muhammad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan yang lahir pada tahun 1932 Miladi di Kampung Kutan Hilir. Beliau berjalur keluarga “WAN” dari sebelah ibu dan bapanya sehingga ke peringkat nendanya. Beliau merupakan guru pencen yang juga merupakan antara 3 orang guru pengasas sekolah kebangsaan Kutan pada tahun 1949 / 1950 Miladi.

ASAL NAMA KAMPUNG
Asal nama “Kutan” bagi kampung Kutan ini penulis menemui 3 versi yang berbeza, iaitu pertamanya berasal usul dari sempena “Kutang” atau parit tali air yang menjalar dari kampung sempadan Tendong sehingga ke Kampung sempadan Kutan Sungai, atau Kutang yang wujud di tebing sungai Kelantan sekitar kampung Kutan Surau. Kutang atau tali air ini masih lagi wujud sehingga kini dan ia juga menjadi sebutan bagi sebahagian orang-orang tua Kampung Kutan. 

Kenyataan keduanya adalah berasal dari nama sebuah pokok “Kutang” yang besar yang tumboh di dalam sebuah alor (celah Gu) yang juga terdapat sebuah telaga Puteri Saadong. Sumber ini penulis perolehi dari Cikgu Wan Muhammad wan Isa yang diambil kenyataannya pada 4 Oktober 1998 di rumahnya di kampung Kutan Tengah. Pokok yang dikatakan bermana "Pokok Kutan" ini penulis tidak mengetahui bahawa adakah ianya memang wujud atau tiada kerana penulis tidak pernah melihatnya. Namun jika dibanding dengan sejarah asal usul Negeri Melaka juga dikaitkan dengan "Pokok Melaka" sedangkan pokok itu sendiri pun mungkin jarang-jarang orang mengetahui dan melihatnya. Faktor kepupusan sesebuah tumbuhan atau haiwan boleh dirujuk lihat di dalam "Rehlah Ibnu Battutah" yang menceritakan jenis-jenis haiwan atau pokok yang sudah tidak dikenal lagi waktu kini. 

Ketiganya adalah berasal dari kata “Tengku Intan” yang biasa di sebut secara ringkas bagi penduduk setempat adalah dengan nama “Ku- Tan. Kenyataan yang ketiga ini adalah dari kenyataan guru matematik, Cikgu Hasan, yang beliau ceritakan pada sekitar tahun 1976 di Sekolah Kebangsaan Kutan. Kenyataan ini juga bagi penulis boleh diterima kemunasabahannya kerana kawasan kampung Kutan adalah juga termasuk di dalam kawasan Istana Luar Kota Kubang Labu yang pastinya mereka yang mendiami kawasan Istana Luar ini adalah berketurunan atau bertalian juga dari keluarga Istana Dalam Kota tersebut.

Daripada ketiga kenyataan itu, penulis serahkan saja penilaian dan kebenarannya kepada pembaca kerana yang benar-benar tahu sesuatu perkara yang ghaib itu hanyalah Allahu Ta'ala jua.
Wallahu a’lam.


TOKOH ULAMA KAMPUNG KUTAN.
Pada bulan Ramadhan sekitar tahun 2010, selepas penulis memberi tazkirah subuh, penulis telah direzekikan bertemu dengan seorang tua yang berusia hampir 100 yang mendiami sebuah rumah lama dipinggir masjid bandar Kuala Terengganu. Beliau telah menceritakan bahawa di zaman mudanya beliau telah sempat belajar agama di kampung Kutan. Dengan kenyataan ini mungkinm dapat dijadikan satu asas bahawa di Kampung Kutan dahulunya juga menjadi pusat pengajian agama walaupun tiada Pondok-Pondok. Juga membuktikan bahawa di Kampung Kutan juga ada melahirkan tokoh-tokoh agama yang mempunyai tahap ilmu yang sehingga dikenali oleh penduduk luar kampung.

Buat sementara ini penulis hanya memperkenalkan beberapa nama yang menjadi suatu kebanggaan bagi penduduk kampung Kutan khasnya dan ia juga menjadi sebahagian daripada sumbangan kepada masyarakat luar amnya.

1: Syeikh Wan Ali Kutan.
Seorang tokoh ulama yang rasanya tidak perlu lagi diperkenalkan secara lanjut kerana sudah terlalu banyak yang telah menulis tentangnya. Syeikh Haji Wan Ali Kutan nama asalnya ialah Haji Muhammad Ali bin Abdul rahman bin Abdul Ghafur (1820M – 1913M) atau bagi orang-orang tua asal kampung Kutan lebih dikenal dengan Tok Wan Ali Selawat sempena dengan kitabnya yang masyhur Lum’atul Aurad yang banyak membicarakan tentang kelebihan-kelebihan dan jenis-jenis salawat Nabi s.a.w. 15 . Malah gelaran ini juga adalah untuk membezakan dengan seorang lagi sepupunya yang juga bernama Wan Ali (Gelaran, Wan Ali Putih) . Antara anak Haji Wan Ali Putih (sepupu Haji Wan Ali Selawat) yang dikenal sebagai guru agama ialah bernama Haji Wan Yaakob. Berguru dengan Haji Wan Konok (Haji Nik Zainal Abidin). Beliau adalah seorang guru agama dan guru al quran di Kampung Kutan Surau . Meninggal dunia pada sekitar tahun 1924 atau 1918 Miladi, dan beliau juga adalah seorang Pengamal thariqat tasauf. Ibid.

Beliau dilahirkan di kampung Kutan Surau yang terletak di tepi sungai Kelantan. Tok Wan Ali ini adalah seorang ulama yang masyhur dan salah seorang daripada guru-guru yang mengajar di Mekah. Antara kitab-kitab karangannya ialah Majmu’ al-Qasaid, Jauhar Al-Mauhub wa minabbihat  al-Kulub, Zahrah al-Murid fi ‘aqaid al-Tauhid, Lum’atul Aurad, dan risalah-risalah lain yang tidak bercetak. Selain dari menjadi guru kepada ramai ulama-ulama di masjid Mekah, beliau juga selalu balik ke Kelantan dan menjadi guru di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

2. Haji Wan Abdul Rahman Bin Tok Wan Ali
Beliau adalah anakanda kepada Tok Wan Ali Al-Kutani yang sempat membesar dan belajar di Kota Mekah bersama dengan ayahandanya sendiri. Di kampung Kutan beliau telah menyebarkan ilmunya sebagai seorang guru al-quran dan juga pendiri serta pengasas kepada sebhuah surau yang amat dikenali waktu itu sebagai pusat ibadat bagi penduduk sekitarnya. Beliau ini jugalah yang telah membantu Dato paduka Perdana di dalam menyiapkan kitabnya, Pati Rahsia, yang pernah bermukim di kampung Kutan selama 2 minggu semata-mata untuk menyiapkan kitabnya itu dan mengambil "buah" dari Haji Wan Abdul Rahman ini.

3. Haji Wan Adam (1909-1957)
Haji Wan Adam adalah pengasas kepada sekolah agama aliran Arab yang dikenal dengan nama Sekolah Arab Falahiyyah pasir pekan. Beliau berbapakan dari jalur Wan Abdullah bin Wan Nuh. Wan Nuh ini seorang peniaga dan berasal dari Kampung Kutan dan mempunyai anak cucu cicit yang ramai di Kampung Kutan, Pasir Pekan, dan seluruh negara.

4. Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (Meninggal pada 22 Jun 1984)
Imam Haji Wan Taib adalah juga seorang usahawan yang mula-mula memperkenalkan jenama minya "Wan Muda" sehingga dikenal di seluruh negara.

5. Tuan Guru Haji Muhammad Zain (Meninggal sekitar tahun 1988)
Tuan guru ini adalah salah seorang murid kepada ulama terkenal iaitu Haji Daud Bukit Abal pasir Putih. Almarhum selain daripada menjadi guru agama di sebuah surau yang di asaskannya (sekarang dikenal sebagai surau Zainal Abidin), beliau juga adalah seorang pengamal dan pengembanh thoriqat ahmadiah di kampung Kutan. Beliau mebgadakan majlis zikir di suraunya pada setiap malam isnin dan malam jumaat. Ramai anak-anak muda yang telah mengambil ijazah darinya dan juga masyarakat luar kampung kutan.


WARISAN KAMPUNG KUTAN

1: SURAU HAJI WAN ALI KUTAN
Surau ini pada zaman kegemilangannya ia pernah dijadikan surau untuk bersembahyang jumaat termasuklah bagi penduduk-penduduk seberang sungai Kelantan iaitu seperti Kampung Surau Kota dan Kampung Pintu Geng dan Kampung Sireh 17. Ia terletak ditepi sungai Kelantan yang bersetentang dengan kampung-kampung tersebut atau ladang timun cina (buah tembikai) yang sekarang sudah menjadi Bandar Baru kampung Sireh.

Surau ini dipercayai dibina dan diasaskan oleh Anakanda Tok Wan Ali sendiri yang menetap di kampung Kutan iaitulah Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Ali bersama-sama dengan tukang-tukang lain seperti Abdullah pendekar, Wan Ali Putih, Haji Alias dan bersama dua lagi rakannya. Kenyataan ini diambil oleh penulis daripada lisan Haji Wan Rasyid bin Wan Muhammad bin Wan Abdul Rahman bin Wan Ali Al-Kutani pada 9 Mei 1994 di rumahnya di Kampung Kutan Tengah, yang kenyataan ini juga telah diperolehi oleh Haji Wan Rasyid dari nendanya yang bernama Wan Selamah 18 .

1.1. Imam-Imam Surau
Sepanjang surau itu menjadi nadi ibadat kepada penduduk-penduduk kampung, ia telah memperkenalkan beberapa orang imam. Imam-imam yang bertugas pada peringkat awalnya adalah berdasarkan kepada sokongan dan lantikan masyarakat kampung sendiri bukan lantikan pihak kerajaan melainkan Imam yang terakhir saja dilantik oleh pihak kerajaan berdasar kepada undian ke atas calon-calon .Imam yang dimaksudkan ialah Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda yang bertanding calon bersama almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Zain iaitu murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal yang juga merupakan pengembang dan pengamal thariqat Ahmadiah di Kampung Kutan pada sekitar tahun 1970an sehingga penghujung usianya pada sekitar tahun 1988. Bila di undi oleh masyarakat kampung maka jumlah undian adalah melebihi dan dimenangi oleh almarhum Haji Wan Taib bin Wan Muda.  

Antara Imam yang dapat dapat dikesan oleh penulis sebagaimana yang diceritakan oleh almarhum Wan Jaafar Bin Wan Ali kepada penulis pada 23 Februari (Isnin) tahun 1998 di Kampung Kutan Hilir (berdasar kepada catatan diari penulis).Wan Jaafar bin Wan Ali semasa wawancara itu berusia sekirar 80 tahun mengikut tarikh lahirnya pada tahun 1918., yang beliau masih ingat sejak lahir ialah Imam Haji Yaakob, Imam Pak Cu Lah dan akhirnya Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (meninggal 1986). Manakala menurut Cikgu Wan Muhamad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan yang penulis ambil kenyataannya pada 20 Mac 2017 ialah antaranya Imam Wan Ali bin Wan Ahmad iaitu sebelum terlantiknya Imam Haji wan Taib. Maka semasa Imam Haji wan Taib bin Wan Muda inilah surau yang disungai itu telah ditukar kepada masjid baru sekarang yang dibina sekitar tahun 1952 atau tahun 1958 hasil daripada gotong rayong dan derma masyarakat kampung . Kutipan derma itu sehingga ke kampung Pasir Pekan dan sekitar sebagaimana yang telah diceritakan oleh Almarhum pak Cik Mat yang telah meninggal sekitar tahun 1984. Almarhum pakcik Mat ini adalah adalah merupakan imam solat lima waktu dan penjaga masjid pada era tahun 1980an dahulu. Beliau telah menceritakan kepada penulis sekitar tahun 1980 dahulu.

1.2. Keluasan Surau  
Oleh kerana surau ini amat penting dan menjadi tumpuan ibadat solat 5 waktu dan solat jumaat termasuk bagi penduduk-penduduk kampung sekitar maka ini bermakna keluasan atau saiz surau itu adalah cukup besar juga dan mampu untuk memuatkan jumlah saf yang banyak. Pada perkiraan dan setakat yang diingati oleh Cikgu Wan Mohammad bin Wan Isa (85 tahun) yang diwawancara pada 20 Mac 2017 dirumahnya di Kampung Kutan bahawa seagak-agaknya adalah jumlah keluasannya sekitar 50 x 50 kaki persegi. Oleh kerana jarak masa yang telah lama berlalu maka secara pasti tidaklah dapat beliau mengingatinya secara tepat.

Pada zaman remaja penulis, iaitu sekitar tahun-tahun 1982 / 1983 penulis kerap juga ke surau itu yang semasa bangunan kayunya itu sudah banyak yang rosak dan tidak digunakan lagi kerana ketiadaan penduduk. Maka penulis anggarkan bahawa keluasan surau secara keseluruhan adalah sekitar 200 ke 300 orang ahli jamaah yang dapat diisi dalam satu-satu masa sekaligus. Wallahu a’lam.
  
1.3. Kampung Yang Ditinggal, Surau Hilang Imarah, Dan Perpindahan Surau
Pada peringkat awal kewujudan kampung Kutan, asalnya ia hanya berfokus di sepanjang pinggir sungai Kelantan sahaja. Lokasi petempatan penduduk yang lebih bertumpu ditepi sungai itu boleh dikenal dengan nama Kampung Kutan Sungai (sebelah hulu atau kampung kutan sungai hulu) dan kampung kutan surau yang bersempena dengan kewujudan surau yang amat penting, dan yang kita bicarakan ini. Gelaran nama kampung yang dikaitkan dengan surau ini sudah boleh kita fahami bagaimanakah taraf kepentingan surau bagi masyarakat kampung Kutan pada masa itu.

Setelah lama masa berlalu serta keadaan petempatan asal kampung kutan yang hanya berfokus ditepi sungai itu yang sentiasa dilanda banjir besar kerana faktor tanahnya yang rendah, maka mengakibatkan ramai penduduk-penduduknya telah berpindah ke darat, iaitu ke kawasan tanah yang lebih tinggi yang akhirnya telah menjadi petempatan utama bagi penduduk kampung kutan sekarang. Seingat penulis, pada awal  tahun 1980, rumah-rumah yang masih wujud di Kampung Kutan Surau itu hanya masih tinggal sekitar tiga keluarga sahaja. Pada sekitar tahun 1983 semakin berkurang sehingga hanya tinggal sebuah keluarga sahaja, dan pada sekitar tahun 1986 hilanglah sudah sebuah petempatan dikampung kutan surau itu. Maka sepilah surau Haji Wan Ali Al-Kutani itu. Pada waktu beberapa tahun sebelumnya surau itu sudah tidak digunakan lagi sehingga cebisan-cebisan al-quran dan kitab-kitab bertaburan di atas surau. Keadaan dinding, lantai dan struktur bangunannya sudah tidak terpelihara sejak awal lagi yang penulis jangkakan ia sudah berlaku pada sekitar penghujung tahun 1970 an.

Namun pada sekitar tahun 1987/1988 dengan kesepakatan penduduk-penduduk kampung Kutan dengan inisiatif utamanya oleh Lebai Haji Wan Yusof bin Wan Salleh iaitu salah seorang murid tua Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2016 dalam usia yang agak lanjut iaitu 94 tahun yang berdasarkan tarikh lahir yang ada pada kad pengenalannya pada tahun 1922 Miladi. (wawancara anaknya, Wan Abdul Rahman bin Wan Yussof pada 27 Mac 2017), beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya untuk dijadikan lokasi baru Surau itu dengan diangkat pindah surau Haji wan Ali Kutan itu dari kampung Kutan Surau yang telah sepi itu ke darat iaitu di tapak tanah sekarang ini dengan beberapa penambahan kayu dan simen. Namun pada beberapa bahagian kayu asal seperti dinding luar belakang masih sempat dipelihara bersama dengan mimbar imamnya. Setelah surau ini dipindah ke lokasi baru, maka pengurusan surau ini sekarang telah dijaga oleh keluarga atau oleh anak-anak Lebai Haji Wan Yussof bin Wan Salleh yang telah menjaganya dengan baik.  

PENUTUP
Sebuah riwayat yang jika ditinggal maka akan hilanglah sebuah cerita dan sejarah. Maka akan hilang jugalah seberkas hikmah rahsia ketuhanan yang bagi manusia yang beraqal sebagai tempat tilik ambil iktibar dan pedoman. Sebuah tinggalan umat yang terdahulu khasnya masjid atau surau akan membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu mempunyai agama dan amalan Islam yang baik. Begitulah dengan Surau Haji Wan Ali Kutan ini. Mudah-mudahan ia dapat menjadi ibadat berpanjangan bagi pengasas pendidiri dan pembinanya serta menjadi ikutan yang baik bagi generasi mendatang. 

Sampai disini dahulu buat sementara. Penulis akan ceritakan lagi sesuatu yang lain pada masa akan datang.
Insya Allah


Rujukan dan wawancara;

1 Baharuddin Haji. Wan Mamat; Haji Wan Ali Kutan Ulama yang Masyhur di Tanah Mekah, Harakah, Isnin 9 Zulhijjah 1418, hal. 27.
2 Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung (MAIK).
Wan Muhammad bin Wan Ahmad sekarang berusia (lahir pada tahun 1932 Miladi).
Wan Jaafar bin Wan Ali. 
5 Almarhum Haji Wan Ibrahim bin Wan Mahmood (1919 – 2010 M). 
6 Haji Wan Abdul Rasyid bin Wan Muhammad bin Wan Abdul Rahman bin Wan Ali.
7 Himpunan tulisan oleh Wan Baharuddin Al-Kutani dalam majalah PENGASUH (MAIK). 

15 comments:

  1. Salam...saya nak tanya ada tak kemungkinan Sheikh Ali Kutan pernah tinggal di Terengganu dan beristerikan seorang yang berasal dari Terengganu berketurunan Tok Pulau Manis? Saya ada surat lama simpanan keluarga berkenaan seorang bernama Wan Muhammad Ali yang berkahwin dengan keturunan Tok Pulau Manis di Kg Beladau.

    boleh email saya untuk bincang lanjut.

    zulkarnain.endut@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Saya masih teringat apa yang diceritakan oleh guru Sejarah saya semasa di SMMahmud Mahyidin dulu bahawa asal usul Kampung Kutan adalah daripada perkataan ringkasan daripada nama Tengku Intan, iaitu nama timangan Puteri Saadong yang mempunyai istana si Celah Gu. Menjadi amalan orang Kelantan memanggil dengan nama ringkas. Tengku Intan menadi Ku Tan, maka jadilah nama kampung ini Kutan. Saya taktahu pula daripada mana aumbernya. Allahu ta 'a'lam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Walaupun ianya hanya sumber lisan, tetapi kadang2 ia menjadi sumber yg kuat apabila mencapai tahap mutawatir

      Delete
  3. Kg kutan ada pondok, di kampung kutan sungai, didirikan moyang ambo tok guru haji mamat, sebelum wujudnya pondok tok kenali. Dulu berpuluh2 pondok ada di sekitar kutan sungai sebelah hilir. Tok guru haji mamat berbelas tahun di makkah balik buka pondok. Kitabnya boleh dikatakan habis hilang sama ada dihanyutkan bah atau dimakan bubuk. Anak2 dia tok ayah yob pengajian mekah juga menetap di lojing, selain tok ayah kob, guru agama menetap wakaf bharu. Dari jalur saya pula adalah anak perempuan dia nama Mariam, anak mariam pokcik Man Perabut, ayah ambo. Beliau tergolong dalam kategori ulama majhul kerana tidak banyak maklumat mengenai beliau menurut cacatan buku tokoh ulama melayu kelantan. Sekian

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selepas beliau meninggal, pelajar2 berpindah ke pondok tok kenali-tambahan fakta

      Delete
  4. Menurut kenyataan org2 tua kg kutan yg meninggal dlm usia lanjut sprt almarhum pak cik heing (lahir dlm tahun 1920an) dan yg lain2 , di kutan tidak pernah d dengari atau tidak pernah d sebut2 oleh org2 terdahulu adanya pusat pengajian pondok. Jika benar kenyataan bhwa ada yg bernama tok guru hj mamat sbg guru pondok maka semestinya ia akan d sebut namanys oleh org2 yg lebih berusia kg kutan. Cuma d kg kutan namun jika d sebut bhawa d kg kutan dulu ada sekolah agama maka itu benar. Sek agama d kg kutan yg d bawah seliaan maik telah d dirikan sekitsr tahun 1918 (kalau tak silap) yg terletak d kg kutan sungai hulu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Antara keturunan tok guru hj mamat ni arwah ayah ambo pakcik man perabut, haji hawa dan haji bidah kutan sungai. Ada anak hj mamat yg jadi ulama dihantar belajar ke mekah tapi beliau menetap di hulu kelantan/lojing. Beliau pernah berdebat dengan seorang british pemilik perniagaan Singer (singer mesin) yang pernah menetap di palestin dan fasih berbahasa arab selama beberapa hari. Akhirnya british ini masuk islam dan berikan perniagaan singer hulu kelantan kepadanya. Kisah ulama ini jarang didengar dan digelar ulama majhul dalam buku tokoh ulama semenanjung keluaran MAIK

      Delete
    2. Ada seorang tua dari kampung kechau pahang pernah kembali ke kg kutan. Beliau ceritakan bahawa pernah berguru di kutan sungai bersama almarhum. Akhirnya beliau meninggal di kutan sungai dan dikebumikan di perkuburan belakang rumah maksu yah (lupa nama perkuburan tersebut). Kubur almarhum juga ada di sana. Ditandai dengan batu bukit.

      Delete
    3. Tok kenali buka pondok pada 1911, bermakna pondok tok guru hj mamat sebelum dari itu.

      Delete
  5. Dan sekolah agama yg d wujud n d selia oleh maik itu adalah antara 3 buah yg terawal d kelantan

    ReplyDelete
  6. Saya ada maklumat Haji Che Min yg menerima ilmu dari Tokku Pulau Manis dan syeik Linggi. Jika jalur ini dibuka jelas kerana Haji Daud bukit abal di kerasak limbat dan tarekat Ahmadiyah bunut payong mula dari hj che min

    ReplyDelete
  7. Abdullah abdul rahman. Kalu boleh saya tahuTok guru haji mamat tu ayahnya nama apa. Tapak rumahnya dulu kat mana

    ReplyDelete
  8. Salleh yaakop. Haji cik min tu siapa

    ReplyDelete
  9. Tok pulau manis matinya penghujung abad ke 18. Dan tok said linggi generasi ulama yg meninggal pada zaman awal abad ke 20. Maka sekiranya dikatakan c min tu mengambil tariqat ahmadiah drpd tok pulau manis bermakna usia c min tu mencapai usia 300 tahun. Sbb itulah setiap drpd kebyataan seloknya berdasarkan kpd fakta atau melalui sebuah kajian yg dalam

    ReplyDelete