CABARAN ADALAH PAHALA
(Bagi Pendakwah)
Ustaz Nordin adalah seorang lulusan agama dari sebuah Universiti dan
juga pernah belajar di beberapa buah Pondok di Pantai Timur Semenanjung. Beliau
telah dilantik oleh pihak Jabatan agama sebagai seorang pendakwah yang secara
tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk menyebarkan ilmu dimasjid-masjid
atau dimana-mana sahaja yang beliau ada mempunyai ruang masa untuk berdakwah.
Namun tugas dakwah yang berat itu mengakibatkan beliau berhadapan dengan beberapa
permasalahan yang memungkinkan beliau gagal didalam ujian dan tugas tersebut
disisi Allah.
Ustaz Nordin insaf bahawa kerja dakwah adalah kerja para Rasul dan kerja
para ulama, dan beliau merasa bahawa beliau tidaklah begitu banyak ilmunya dan
juga bukanlah seorang yang soleh yang sentiasa istiqamah didalam perintah agama.
Malah dirasakan bahawa beliau lebih teruk dari mad’u nya dari segi apa jua
amalan dan ilmu. Perasaan itu mencengkam jiwa sanubarinya yang kadang-kadang
beliau rasa tidak mampu untuk menatap ahli jamaah masjid dan surau kerana malu
dengan kekurangan diri…...
“Sesungguhnya cabaran rohani itu lebih teruk ditanggung berbanding dengan
cabaran jasmani..”
Cabaran Perama ;
Perjuangan melawan kehendak hawa nafsu yang bersifat keduniaan dirasakan
amat berat untuk dilawan. Sering kali dia bermohon pertolongan dari Allah
supaya diberi kekuatan melawan karenah hati yang sentiasa berbolak balik. Hanya
pada Allah tempat memohon agar segala kerja-kerja da’I itu tetap teguh dan supaya
sentiasa istiqamah kerana Allah.
يا مقلب القلوب والابصار ثبّت قلوبنا
على دينك
“Ya Allah yang Maha membolak balikkan pandangan hati, tetapkanlah hati kami
pada agamaMu” 2.
Acap juga Ustaz Nordin teringat bagaimana waraknya seorang alim yang
memberhentikan kenderaannya dan pulang kerumah semula dengan memulakan niat
yang baru setelah disedari bahawa perjalanan pertamanya itu adalah semata-mata
inginkan “saguhati” dari bakal kuliahnya dimasjid, sedangkan “saguhati” itu
amat perlu kerana menampung keperluan kesempitan hidup rumahtangganya, dan
walaupun ianya bukanlah perkara tercela dari segi agama.
Firman Allah;
“Dan tidaklah
mereka itu disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan Ikhlas
kepada-Nya dalam beragama lagi lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan
menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang sebenar”.
(Al-Bayyinah : 5)
Beliau insaf
bahawa yang sampai segala amalan itu kepada Allah hanyalah pada niatnya sebagaimana
yang telah ditafsirkan oleh ibnu Abbas radhiallahu anhu pada Ayat tersebut 3.
Dan Firman Allah
lagi;
“Dan hendaklah kamu semua beribadat kepada Allah dan janganlah
kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun”
(An-Nisa’ : 36)
2.
Istiqamah
Didalam Ilmu Dan Makrifatullah
Sebenar-benar muallim adalah yang musleh, dan yang sebenar-benar musleh
itu adalah yang takut kepada Allah dengan dapat sentiasa beribadat sebagaimana
ilmunya.
Firman Allah;
“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara
hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama
Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.
(Al-Fathiir : 28)
Persoalan yang sering Ustaz Nordin rasakan ialah adakah beliau tergolong
kedalam golongan orang yang benar-benar takut kepada Allah yang hanya layak digelar
ulama sebagaimana maksud Firman Allah di dalam ayat 28 surah Al-Fathir itu ,
iaitu para ulama itu adalah orang-orang yang benar-benar
mengetahui bahawa Allah itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu, orang yang
amat mengetahui dengan Sifat Al-Rahman Allah dan sifat kehambaannya, tidak
melakukan syirik kepada Allah, menghalalkan apa yang telah Allah halalkan dan
mengharamkan apa yang telah Allah haramkan, Sentiasa memelihara apa yang wajib
dia kerjakan dengan penuh yakin, dan sentiasa muhasabah dengan apa yang telah
dia kerjakan 4.
Terkadang
beliau juga telah lupa untuk muhasabah dengan apa yang telah beliau lakukan dan
apa yang telah beliau ucapkan sepanjang hidup. Semua itu pasti akan ditanya dan
dihisab oleh Allah pada hari Akhirat kelak. Apakah yang telah beliau lakukan
dan ucapkan itu menepati dengan segala hukum Allah dan sunnah Rasul ?. Dari
kelalaian untuk muhasabah itu mengakibatkan dia lupa untuk bertaubat kepada
Allah. Kelalaian yang banyak itu menjadikan Ustaz Nordin “rasa
kecut perut” dan mengakibatkan semakin bertambahnya bebanan jiwa yang
ditanggung. Hampir-hampir mahu berhenti untuk menyebar ilmu dan berdakwah.
“Darjat ilmu bukanlah boleh diukur pada banyaknya kitab-kitab yang
terkumpul di dalam almari atau ramainya guru yang dicari, tetapi sejauh manakah
istiqamahnya diri di dalam pengabdian kepada Ilahi”.
Namun, di dalam kejahilan amal yang dirasanya itu, dapat juga Ustaz
Nordin mengambil manfaat dari apa yang telah dikuliahkannya sendiri. Inilah apa
yang dikatakan bahawa “tazkirah qalbi melalui lisan peribadi “.
Firman Allah;
“(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah
orang yang beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut
kepada (azab) akhirat dan mengharapkan Rahmat Tuhannya?. Katakanlah:
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak
mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima
pelajaran.
(Az-zumar : ke 9)
3.
Sabar
melalui Istiqamah Didalam Zikirullah
Terkadang sebagai manusia biasa Ustaz nordin juga kerap dihadiri
perasaan bosan, jemu, penat, malas, dan berbagai lagi perasaan terutama apabila
adanya suasana yang dikira mengganggu hati dan proses dakwahnya. Peringatan
Allah bahawa perbanyakkan zikir samada membaca Al-Quran, tasbih, tahlil,
salawat ke atas nabi, istighfar atau sebagainya pada waktu pagi dan petang
serta malam masih dia dapat amalkan. Tetapi untuk istiqamah dan sentiasa hadhir
hatinya kepada Allah cukup payah sehingga ruang hati yang kosong dari
mengingati Allah itu diambil peluang oleh syaithan dan nafsunya sendiri sehingga
dia kerap tewas dengan ujian…
Firman Allah;
“Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan
bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari dan sebelum
terbenamnya. Dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada
waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang”,
(Surah Thaha:130)
“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan
bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum
terbenam(nya)”.
(Surah Qaf: 39)
Sebab itulah dia berkeyakinan bahawa untuk menjadi seorang penyambung
tugas Rasul maka dia juga wajib mengikuti jejak Rasul yang begitu hebat solat
malam dan zikir-zikirnya. Oleh itu dia berusaha dengan upaya dan doanya untuk
memperkuatkan rohani dengan mengamalkan selawat ke atas Nabi sebanyak 10 kali pagi
dan petang, tasbih 50 kali pagi dan petang, istighfar 100 kali pagi dan petang
selain dari amalan membaca al-Quran setiap malam, pagi dan petang, serta solat
tahajjud dan witir walau satu rakaat setiap malam.
Imam Mujahid mengatakan bahawa tidak termasuk orang yang banyak
mengingati Allah itu sehinggalah beliau mampu mengingati Allah ketika berdiri,
duduk dan berbaring 5. Ustaz
Nordin merasa bimbang sekiranya beliau tidak termasuk ke dalam golongan itu,
iaitu orang-orang yang banyak mengingati Allah itu.
Pengalaman-pengalaman lalu, yang pernah beliau lalui bahawa beliau akan
banyak menerima kekalahan apabila rohaninya kosong, lidah malas dari berzikir,
telinga banyak diisi dengan bunyian yang melalaikan, pandangan mata terbuai
dengan kecantikan duniawi dan yang haram, hati keras dari “menyebut Allah”, dan
waktu-waktu tidak terisi dengan al-Quran serta zikir pada waktu-waktunya.
“Ya Allah bantulah aku. Hidupkanlah
aku sebagaimana kehidupan para ulama dan matikanlah aku sebagaimana mati para
syuhada !!!”. Doa dan munajatnya mengekori setiap kali apabila selesai solat
dan bilangan tasbih zikir dan Al-Quran.
4. Istiqamah Berusaha
untuk mengamalkan apa yang didakwahkan.
Sekiranya masyarakat mengetahui
bahawa betapa resah, malu, takut dan merananya jiwa para pendakwah dengan
tugasnya itu, maka sudah tentu masyarakat akan faham kenapa ustaz Nordin
kadang-kadang tidak hadir kelas-kelas kuliah agamanya. Jika ikutkan hati mahu
rasanya berhenti dari “bercakap” dan “berkurung diri” sahaja.
Firman Allah;
“Wahai orang-orang
yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Amat
besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu
kerjakan “.
(As-Saf : 2-3)
Ada kalanya dia mempunyai kekuatan. Sedar bahawa walaupun bukan semua
apa yang dia kata dan ajarkan itu dapat dibuatnya dan diamalkan, namun dia juga
sedar bahawa semua apa yang dia ucap dan ajarkan itu tidak semua yang dia tidak
amalkan, dan yang selebih menjadi jihad baginya untuk diamalkan semuanya.
Insyaallah. Begitulah pegangan dan falsafah Ustaz Nordin.
PENUTUP
Cabaran rohani yang berbagai yang dilaluinya semenjak berbelas tahun
dahulu itu sebagai pendakwah semakin dapat dia suaikan. Malah baginya segala
cabaran itulah yang menjadikannya semakin rajin untuk beribadat kepada Allah.
Maka itulah nikmat yang terbesar baginya. Maka benarlah bahawa cabaran itu
adalah pahala bagi pendakwah. Seorang
guru kepada Ustaz Nordin pernah memberi nasihat bahawa setiap apa usaha dan
kerja akan menampakakan hasil dalam tempoh sepuluh tahun. SEKIAN
1 Ikhlas
ialah menyucikan ibadat dari bercampur dengan sesuatu yang kotor (Muhammad bin ‘Ullan As-Sadiqi As-Syafe’i Al-Asy’ari
Al-Makki; Dalilul Falihin Li Thuruqi Riadhus Salihin, )
2 Riwayat
Ibnu Sunni.
3
Al-Imam Abi Zakaria Yahya Bin Syarifuddin An-Nawawi ; (1999) , Dar Al-Manar,
Qaherah,
4
Makna Ulama sebagaimana yang telah ditulis oleh Ibnu Kathir dari beberapa
riwayat sehingga sampai kepada Ibnu Abbas R.U. (Ibnu Kathir ; (2013), Tafsir
Al-Quranul ‘Azim, Maktabah Taifiqiyyah, Al-Azhar, ).
5 Al-Imam Abi
Zakaria Yahya Bin Syarifuddin An-Nawawi ; (1999) , Op.cit.
No comments:
Post a Comment