Monday, 7 August 2017

ILMU TASAUF DI ALAM MELAYU
Ustaz Wan Baharuddin (uswan) 

MUQADDIMAH
Sebelum berbicara lebih jauh mengenai ilmu tasauf ini, maka terlebih afdhal rasanya untuk memahami apa itu ilmu tasauf serta secara ringkas persoalan-persoalan yang timbul tentang hukum mempelajarinya dan apakah ianya terpisah-pisah dengan cabang ilmu islam yang lain iaitu fiqh dan tauhid , dan apakah matlamat serta perbezaan dengan ilmu akhlak.

Tasauf yang banyak diberi takrif sebagai sebuah ilmu yang seakan-akan membezakan dengan ilmu akhlak dirasakan kurang tepat kerana diantara tasauf dan akhlak itu adalah sebenarnya satu ilmu yang sama, cuma dibezakan dengan istilah perkataan sahaja yang berlainan, tetapi pada hakikatnya adalah bersamaan iaitu satu ilmu yang keduanya membentuk kelakuan hati dan perbuatan yang lebih beradab mengikut acuan Rasulullah. Malah ada yang berpendapat bahawa ilmu tasauf tidak pun diajar di Sekolah-Sekolah Agama aliran Arab di Kelantan. Kenyataan ini juga perlu dibuat penafian kerana yang sebenarnya bahawa tasauf juga diajar di dalam sukatan pelajaran akhlak bermula dari tingkatan satu sehingga akhir.

Di dalam pelajaran akhlak atau adab, adalah ia telah dinyatakan sebagai ilmu yang membentuk kelakuan atau tingkah laku, thobiat dan budipekerti seseorang manusia 1. Ia membicarakan juga tentang sifat-sifat mazmumah dan mahmudah seperti riya, ujub, sum’ah, hasad, sabar, tawakkal, ikhlas dan sebagainya. Maka tidakkah kesemua yang dibicarakan itu juga berkaitan dengan amalan hati ?, dan itu jugalah yang dimaksudkan oleh ulama tasauf seperti yang disebut oleh syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutholib Al-Indonesia Al-Mandili dalam kitabnya “Penawar Bagi Hati” bahawa maksud ilmu tasauf itu adalah membicarakan soal hati dan memperelokkannya, atau membersihkan segala anggota yang zahir daripada segala perbuatan yang keji 2 , atau jika boleh kita takrifkan bahawa ia adalah satu ilmu yang mencantikkan hati daripada sebarang penyakit-penyakit mazmumah dan memasukkan segala sifat-sifat terpuji ke dalam diri. Adapun akhlak juga adalah membicarakan tentang kebaikan dan sifat-sifat mahmudah dan mazmumah yang wajib diamali oleh setiap muslim yang aqil lagi baligh.

Matlamat ilmu tasauf adalah memperelokkan akal budi, dan akhlak itu juga adalah berupa rangkaian peribadi zahir dan batin yang bersifat mahmudah, dan keduanya itu adalah buah hasil daripada hati yang dapat berdamping dengan PenciptaNya berdasarkan panduan acuan Rasulullah s.a.w, sehingga mencapai maqam ihsan iaitu puncak kepada ubudiyah manusia kepada khaliq.
Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Qalam, ayat 4 ;
وانك لعلى خلق عظيم
"dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung".

Sabda Rasulullah s.a.w. ;
انما بعثت لأتم صالح الاخلق
”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang sholeh”.
(HR: Bukhari , Baihaqi dan Hakim).

ISTILAH-ISTILAH LAIN ILMU TASAUF
Ilmu tasauf adalah sebahagian daripada ilmu-ilmu fardhu ‘ain yang wajib dipelajari serta dihadam sebagaimana ilmu-ilmu fardhu ‘ain lain seperti ilmu fiqh dan tauhid. Di dalam beberapa istilah lain ilmu tasauf serta cabang-cabangnya itu disebut juga sebagai ilmu hakikat, ilmu adab, ilmu mukasyafah, ilmu roh, ilmu laduni, ilmu batin, ilmu hati, dan ada juga ilmu tasauf itu disebut sebagai ilmu yang memberi manfaat sebagaimana yang telah ditulis oleh Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani di dalam kitab Hidayatus Salikin ;
“..... Dan demikian lagi yang disebutkan di dalam Ihya Ulumiddin, dan demikian lagi yang disebutkan di dalam Arba’in fi usuliddin, dan demikian lagi yang disebutkan oleh Imam Ghazali di dalam kitab Mukhtasar Ihya, dan demikian lagi sekelian fannu (cabang) ilmu tasauf itu, iaitu ilmu yang memberi manfaat di dalam dunia dan akhirat 3.

Adapun ilmu yang memberi manfaat itu ialah sesuatu ilmu yang apabila dipelajari maka semakin menampakkan aib serta kekurangan diri sendiri seterusnya berusaha untuk memperbaiki dan memperelokkannya 4. Semakin luas mata batinnya 5 sehingga semakin tertutup mata zahirnya 6.

HAKIKAT TASAUF ADALAH MEMBENTUK AKHLAK
MENGIKUT ACUAN SUNNAH
Manusia yang berjaya menurut Sunnah Rasul secara zahir dan batin maka dia itulah orang yang bertasauf sebagaimana disebut ulama tasauf bahawa ;
“....Tiadalah maqam yang terlebih daripada mengikut Nabi s.a.w. pada perbuatannya, tegahnya, kelakuannya dan perangainya. Tiada dapat sampai kepada Allah melainkan mengikut Nabi kita s.a.w....” 7

Manusia yang inginkan kesucian hati akan berusaha dengan apa daya yang mereka fikirkan dapat mencapai darjat kesucian yang diingininya itu. Namun manusia yang bertasauf pastinya tidak cuba untuk mencipta aturan atau syariat baru yang bercanggah dengan aturan sunnah Rasulullah. Pada zaman awalnya ada segolongan yang hanya memakai bulu kambing (sauf) yang bertampung sebagai meninggalkan kemewahan semata-mata mengharapkan kesucian hati. Mereka inilah yang sebahagian ulama menetapkan bahawa asal usul perkataan tasauf itu adalah berdasarkkan kepada kumpulan pemakai pakaian halal yang tidak sempurna seperti sepotong-sepotong untuk berlaku zuhud, atau yang menyerupai dengan ahli Suffah, atau kerana dibangsakan kepada mereka kerana sufa’ yakni jernih hati 8.

Namun bukan itu yang menandakan seseorang itu bertasauf , tetapi hakikat tasauf itu adalah sebagaimana yang telah disebut syair oleh Syeikh Ibnu Al-Haj di dalam kitabnya Al-Madkhal  yang dipetik oleh Syeikh Zainal Abidin di dalam kitabnya Aqidatunnajin ;

ليس التصوف لبس الصوف ترقعه * ولا بكاؤك ان غنى المغنونا
ولا صياح  ولا رقص ولا طرب * ولا اختبط كأن صرت مجنونا
بل التصوف ان تصفو بلا كدر * وتتبع الحق والقراءن والدينا
وان ترى خاشعا الله مكتئبا * على ذنوبك طول الدهر محزونا

“Tiada dinamakan tasauf itu memakai bulu yang engkau tapungkandia, dan tiada pula menangis engkau jika bernyanyi oleh orang yang menyanyi 9, dan tiada dinamakan tasauf itu mengangkatkan suaranya dengan menangis 10, dan tiada menari dan tiada bergerak-gerak dan tiada cedera aqal seolah-olah sesungguhnya telah jadi engkau orang yang gila 11. Tetapi tasauf itu bahawa engkau bersihkan hati engkau dengan tiada kekeruhan dengan aghiar (اغيار : selain Allah :P) dan mengikut engkau akan haq(kewajipan yang dituntut berdasar sunnah Rasul:P) dan akan quran dan akan agama, dan bahawa engkau lihat akan khusyuk bagi Allah, lagi dukacita atas segala dosa engkau sepanjang-panjang masa 12“  
KITAB-KITAB TASAUF DI ALAM MELAYU
Kitab-kitab tasauf yang berlegar di Alam Melayu biasanya hanya berlaku kepada pelajar-pelajar Pondok atau pesantren-pesantren sebagai teks pengajian mereka. Jika dirujuk kepada buku Sejarah Melayu Shelabear oleh Tun Seri Lanang ada mencatatkan bahawa kitab-kitab tasauf pernah juga tersebar di Kota Melaka seperti kitab Darul Mazlum yang ditulis dalam bahasa af’al, bahasa sifat dan bahasa zat. Namun teks yang disebut itu tidak dapat dikesan adakah ianya benar-benar wujud atau hanya berupa cerita-cerita lisan sahaja.
 
Oleh itu kitab tasauf yang dipercayai mula-mula ditulis di alam melayu dan lebih boleh dipercayai kewujudannya ialah yang ditulis oleh Syeikh Abdullah Arif yang ditemui kuburnya di Aceh (tahun 1177 Miladi) yang hidup di zaman kerajaan pasai di bawah pemerintahan Sultan Kamil (1155 – 1210 M) , iaitu kitab yang bernama “Bahru Al-Lahut”. Ia dipercayai pernah digunakan di dalam mana-mana pengajian agama samada di pondok-pondok atau mana-mana pesantren atau paling kurang sebagai rujukan mana-mana guru berdasarkan kepada ianya pernah disalin oleh ilmuan Islam Melayu pada peringkat kemudiannya 13

Selain dari itu banyak lagi kitab-kitab tasauf nadir (yang jarang ditemui dan semakin pupus) yang pernah ditulis oleh ulama-ulama Melayu dan yang semakin kurang pelajarnya. Kitab-kitab itu antaranya ialah seperti kitab Kasyful Asrar (كشف الاسرار) 14, Manhalush Shaufi (منهل الصوف ), Hikam Abi Madyan (الحكم ابي مديان), Fathul Rahman atau disebut juga Hikam Syeikh Wali Roslan(فتح الرحمان), Daqaiq Al-Huruf (دقائق الحروف) dan banyak lagi, yang semuanya itu dipercayai berpunca daripada beberapa faktor seperti semakin berkurangnya guru-guru yang bersanad kepada pengajian kitab-kitab tersebut dan yang betul-betul memahami istilah-istilah di dalam isi kandungan perlambangan kitab.

Kitab Hikam Abi Madyan misalnya yang di terjemahkan oleh Syeikh Daud Al-Fathoni sangat begitu jarang dijadikan bahan teks pengajian. Penulis pada sekitar awal tahun 1990an pernah sempat menadah kitab tersebut daripada seorang guru di Surau kampong Gelang Mas, Pasir Mas Kelantan. Begitu juga dengan beberapa kitab yang lain yang sesetengahnya hanya dibuat pengajian hanya di atas rumah tuan-tuan guru sahaja, atau hanya kepada beberapa orang murid yang lama sahaja.  

Namun begitu, masih banyak lagi kitab-kitab tasauf yang berlegar dikalangan masyarakat pencinta ilmu walaupun sebahagiannya mungkin sudah jarang-jarang di telaah bersama guru kerana kekurangan ahlinya. Kitab tasauf yang paling masyhur dan paling banyak disebut-sebut oleh para pelajar pondok khasnya dan masyarakat umum serta masih banyak dijadikan teks pengajian di masjid-masjid ialah seperti Kitab Minhajul Abidin, Syarah Hikam Ibn Athoillah Askandari, Penawar Bagi Hati, Sairus Salikin, Hidayatus Salikin, Ad-Darul Nafis, Bidayatul Hidayah, Bimbingan Mukmin dan sebagainya.

Selain itu ada juga kitab-kitab yang membicarakan tentang ilmu-ilmu tauhid dan fiqh yang mensampingkan bersama dengan ilmu-ilmu tasauf sebagai pelengkap bagi sesebuah kitab itu seperti Aqidatunnajin, Sullamul Mubtadi dan beberapa yang lain. Malah ada juga kitab-kitab yang pembicaraannya khusus tentang sesuatu bab ibadat seperti solat dan hadis, tetapi dihuraikan secara tasauf seperti kitab munyatul musalli bagi Tuan Syeikh Daud al-Fathoni, dan Syarah hadis Arba’in yang menggunakan tajuk kitab dengan,  Syarhu Lathifu ala Arba’ain hadisan Lil Imam Annawawi ( شرح لطيف على اربعين حديتا للامام النواوي  ) oleh Syeikh Abdul Rauf Ibnu Ali.

PEMBAHAGIAN ILMU TASAUF
Ulama-ulama tasauf telah membahagikan ilmu tasauf itu kepada tiga jenis atau 3 peringkat yang masing-masingnya disebut sebagai tasauf mubtadi, kedua tasauf mutawwasith dan yang ketiganya sebagai tasauf muntahi 15. Peringkat-peringkat ini adalah bergantung kepada tahap atau maqam di dalam tahap ibadah dan zouqiah masing-masing para salik. Tasauf mubtadi adalah merujuk kepada amalan atau tahap ilmu tasauf permulaan yang awam. Tasauf mutawassith ialah tasauf peringkat pertengahan seperti boleh dipelajari melalui kitab Hikam Ibnu Atoillah, Ihya Ulumiddin, Hidayatus Salikin, Bidayatul Hidayah, Minhajul abidin dan seumpamanya. Tasauf muntahi ialah tasauf peringkat tinggi yang isi pembicaraannya adalah berupa pengajian ilmu zauq ahli tasauf yang perbicaraannya banyak berupa ucapan-ucapan secara hakikat dan untuk memahaminya memerlukan pengalaman pengajian yang bersanad , atau mungkin boleh kita sebutkan ia sebagai sebuah karya tasauf teosofi yang tidak termasuk di dalam fardhu ain mempelajarinya.
 
Kesemua peringkat-peringkat itu juga disebut dengan bermacam-macam bentuk atau tahap di dalam bentuk-bentuk ilmu dan juga ibadatnya seperti disebut sebagai amalan-amalan orang ahli syariat, amalan orang ahli thoriqat dan amalan orang ahli hakikat. Atau amalan Islam, amalan iman, amalan Ihsan. Atau amalan ibadat, amalan ubudiah, amalan ‘abudah iaitu yang merdeka bebas daripada segala makhluk 16.

TANGGAPAN UMUM TERHADAP TASAUF
Pada sisi umum masyarakat awam, ilmu tasauf adalah dianggap satu ilmu yang tinggi dan tidak sesuai dipelajari oleh semua orang. Malah ramai juga yang beranggapan bahawa jika seseorang itu mempelajari ilmu tasauf maka dibimbangi hidupnya akan “iseng’ 17, iaitu sebuah kehidupan yang mengalami kemurungan dan tidak bahagia serta kehidupan yang “meninggalkan dunia” secara total dan pemalas berusaha dalam segala aspek.

Syeikh Zainal abidin (Tok Kelaba) menulis dalam aqidatunnajin ;
“...murad (yang dimaksudkan:P) dengan me(ng)hinakan barang yang lain itu (dunia:P) diiktiqadkan bahawasanya tiada memberi mudharat dan tiada memberi manfaat ia (dunia:P), dan tiada murad dengan dia (dunia:P)  me(ng)kejikan dia dan mengurangkan dia (dunia:P). Dan yang sebenar bahawasa tasauf itu shamratan (ثمرة  :terbit buah daripada) sekelian ilmu syariat....” 18.

Sedangkan sesuatu perkataan di dalam di dalam tasauf itu memerlukan perincian yang benar menurut al-quran dan Hadis bukan hanya memahami secara zahir sesuatu kalimah, sebagaimana untuk memahami sesetengan ayat di dalam al-quran dan hadis yang mutasyabhat. Ia juga memerlukan kefahaman yang betul dan tidak boleh difahami secara zahir ayat tanpa bimbingan guru dan ilmu-ilmu alat yang lain. Maka untuk memahami ilmu tasauf juga ia perlu melalui proses pengajian dan pengalaman rohani yang betul supaya dapat memahami sesuatu istilah dalam sesuatu ilmu itu, seperti memahami istilah-istilah yang ada dalam ilmu-ilmu hadis, tafsir, usul fiqh, fiqh dan sebagainya.  

PENUTUP 
Walau apa cabaran dan tanggapan dalam pengembangan ilmu tasauf, namun sebenarnya tasauf masih tetap berlaku dan berkembang bersama dengan ilmu-ilmu Islam yang lain seganding dengan ilmu tauhid dan fiqh. Malah pada hakikatnya juga walau ia tidak diberi nama sebagai tasauf, samada diberi nama akhlak atau adab atau seumpama, maka pada hakikatnya itulah tasauf yang sudah meresap ke dalam jiwa setiap muslim yang beriman kepada Allah.



1 Zakaria bin Daud, Ahmad Najib bin Abdullah, Al-Haji Muhammad Daud bin Ali ; Durusul Akhlaq Lisanati Ula, YIK, 
2 syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutholib Al-Indonesia Al-Mandili; Penawar Bagi Hati, (t.t),  Kitab penawar bagi hati adalah kitab tasauf yang amat banyak diajar dipondok-pondok sehingga ke masjid dan surau di seluruh Malaysia.
3 Syeikh Abdul Samad al-Falimabni; Hidayatul Salikin, Darul Fikr,(t.t)
4 Ibid.
5 mata batin bermaksud mata hati yang berupa ainul basyirah yang memandang kebesaran allah di dalam segala perkara.
6 Mata zahir ialah pandangan yang hanya melihat sesuatu secara zahir sahaja dan hasilnya akan melihat segala aib serta keburukan orang lain berbanding dirinya sendiri, sehingga lupa kepada sifat-sifat Kesempurnaan Allah dalam setiap ketika.
7 Syeikh Daud Fathoni; Manhalush Shafi, khazanah Fathoniah, 
8 Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathoni ; Aqidatunnajin, Matba’ah Bin Halabi, 
9 Berzikir secara bernyanyi-nyanyi serta kuat.
10 Ibid.
11 Berzikir, berdoa dengan segala bentuk pergerakan yang diluar batasan kemanusiaan. Malah ada juga yang berupa amalan-amalan berzikir secara tidak bergerak-gerak seperti amalan yoga budha.
12 Syeikh Zainal Abidin; 
13 Kitab salinan telah pula diperolehi oleh almarhum Ustaz Haji Muhd. Saghir Abdullah yang menjadi simpanan Yayasan Al-Fathoniahnya (Haji Muhd. Saghir Abdullah; Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, Jil. 1, Yayasan Al-Fathoniah, 
14 Kitab kontroversi ini adalah karangan Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mangkabuwi. Ia bukanlah kitab yang salinan atau terjemahan atau mana-mana yang boleh dikaitkan dengan Kasyful Asrar Imam Khomeini. Kitab ini adalah dikira sebagai salah sebuah kitab teosofi (muntahi) , dan segala isi bahasan di dalam kitab ini bukanlah sebagai sebuah aqidah yang wajib dipegangi secara putus. Ia sebagai salah satu daripada hasil buah ilmu dari pengarangnya, Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Mangkabuwi (semoga Allah merahmati ke atas rohnya). Penulis pernah bertalaqqi dan khatam kitab ini pada sekitar tahun 1991 bersama seorang guru, Haji Ismail Daud semasa di Lubok Tapah dahulu.  
15 Syeikh Muhammad bin Abdullah Mangkabuwi ; Kasyful Asrar, 
16 Syeikh Abi Al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Al-Mahdi; Iqozul Himam fi Syarhi Al-Hikam, Cairo-Egypt, 
17 Istilah orang Kelantan kepada mana-mana orang yang tidak keruan hidup dan akan mengalami kehidupan yang compang camping.
18 Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathoni; Aqidatunnajin, Matba’ah Bin Halabi, Fathoni, 

Sunday, 23 July 2017

KITAB SENJATA LAKI-LAKI

Penulis telah menemui sebuah naskhah berupa risalah kecil yang bernama Senjata Laki-Laki  yang ditulis oleh Muhammad Muhyiddin Al-Ghazali Bin Haji Abdullah Al-Fajuri Al-Kelantani dari Madrasah Ahmadiyah Bunuk Payung Kota Bharu yang setebal 16 halaman yang kepunyaan asal risalah tersebut adalah dimiliki oleh al-marhum Wan Abdullah Bin Wan Ahmad, Kampung Baharu, Pasir Pekan Kelantan yang telah diwarisi pula untuk penjagaan oleh anak-anaknya. Risalah ini dipercayai telah tamat didipelajari oleh al-marhum Wan Abdullah berdasarkan pada catatan-catatan tangan yang ada pada risalah tersebut bersama dengan catatan tarikhnya iaitu pada tarikh 4 Februari 1954 Miladi. Antara isi kandungan risalah tersebut adalah antaranya doa Zul Faqar, kaifiat “KAF 40” menjadi tebuang, amalan Thariqat Kiyai Salleh, kebal mandi minyak, kelebihan isim ذى الجلال والاكرم, khasiat surah الم نشرح dan seumpamanya. Ia dicetak oleh Al-Mathba’ah Al-Aahliyah, Kota Bharu Kelantan yang tidak tertulis tahun cetaknya.

Sedutan dari bahagian Khatimah “Kitab Senjata Laki-Laki” oleh Muhammad Muhyiddin Al-Ghazali Bin Haji Abdullah Al-Fajuri Al-Kelantani ;

“Setengah daripada khasiat surah “alam nasyrah” bahawasanya barangsiapa mengekali membaca mengiringi sembahyang lima waktu nescaya dimudahkan Allah akan pekerjaan dan rezeki sekira-kira tiada dapat dikirakannya, dan kata setengah ulama bahawasanya membaca akandia itu memudahkan rezeki dan membukakan dada dan menghilangkan kepayahan pada segala pekerjaan serta menggemarkan orang yang segan pada mengerjakan taat, dan khasiatnya bagi menunaikan hajat. Barangsiapa sukar pada pekerjaan dunia atau Akhirat hendaklah sembahyang dua rakaat kemudian duduk berhadap kiblat dan hadap hati kepada Allah dan baca surah “alam nasyrah” 152 kali kemudian pohonkan hajatnya kepada Allah, nescaya ditunaikan hajatnya dengan izin Allah Ta’ala ....(Halaman 14)

CATATAN : Disarankan kepada pembaca yang berkeinginan untuk mengamalkan wirid-wirid tersebut maka digalakkan supaya merujuk kepada teks asal kitab-kitab tersebut terlebih dahulu dan “menadah” daripada guru-guru yang ‘arif  (para ulama).
DOA PELINDUNG DIRI MUNYATUL MUSALLI

Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani menulis di dalam “Musalli”nya sebagai berikut ; “Dan demikian lagi setengah daripadanya, kata Al-‘Arif Billah Sayyidi Al-Sanusi pada risalahnya yang bernama Mujarabat Nafa’anallahu Bibarkatihi, barangsiapa membaca akan doa ini pada tiap-tiap hari dan tiap-tiap malamnya tiada mengena akan dia anak panah, dan tiada pedang, dan tiada mecapai akan dia daripada seteru suatu yang dibencinya, dan tiada mengena akan dia padah dan tiada mati selama ada ia membaca akan dia. Maka jika dikehendaki Allah akan sampai taqdirnya nescaya dilupa akan dia membacanya...” 
  بسم الله الرحمن الرحيم
بسم الله الرحمان الرحيم. وصلى الله على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم تسليم دائما. حرست نفسي واهلي ومالي وما حضرني او غاب عني بالحىّ القيّوم الذى لا يموت.  وألجأت ظهري في حفظ ذلك للحيّ القيّوم.  وأصبحت وأمسيت في جوار الله الذى لا يرام ولا يضام ولا يستباح وفي ذمّته وضمائه الذي لا يخفر ضمان عبده.  واستمسكت بالعروة الوثق ربي ورب كل شيء ورب السموات والأرض.  لا اله الا هو فاتّخذه وكيلا.  توكلت على الله واعتصمت بالله وفوّضت أمري الى الله.  نعم القادر الله.  فالله خير حافظا وهو ارحم الراحمين.  انّ وليّي الله الذي نزل الكتاب وهو يتولى الصالحين.  وصلى الله على سيدنا محمد واله وصحبه وسلم تسليما عدد خلقه ورضاء نفسه وزنة عرشه ودوام ملكه ومداد كلماته
 لقد جاءكم رسول من انفسكم عزيز عليه ما عنتّم حريص عليكم بالمؤمنين رؤف الرحيم. فان تولوا فقل حسبي الله لا اله الا هو. عليه توكلت وهو رب العرش العظيم. 
NOTA: taip setting arabic saya ada masalah. teks bacaan diatas itu salah. sedang baik pulih.
(Terjemahannya : P)

“Dengan Nama Allah Yang Amat Pengasih lagi Amat Penyayang. Telah berselawat Allah ke atas kekasih kami Sayyidina Nabi Muhammad Sallahu ‘alaihi wasallam dan ke atas Ahlinya, dan Sahabat-Sahabatnya, dan ucapan salam kesejahteraan selama-lamanya. Aku menyerahkan penjagaan diriku, ahli keluargaku, hartaku, dan apa-apa yang hadir padaku atau apa-apa perkara yang ghaib dariku adalah bagi Allah Yang Maha hidup Lagi Yang Maha Berdiri SendiriNya Yang tidak mati selama-lama”.

“Dan aku datangkan (persembahkan) apa yang zahir pada ku sebagaimana tersebut itu di dalam pemeliharaan Allah Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri. Berpagi pagi aku dan berpetang aku di dalam Perlindungan Allah yang tidak akan ditinggalkanNya selama-lama, dan yang tidak akan dianayai (dizalimi) selama-lama dan tidak akan ada yang disucikan didalam kejahatanNya (azabNya).Dan perjanjiannya itu adalah yang bukan di dalam kawalan  jaminan hambaNya.  Dan aku menyerahkan diri ku kepada Allah samada pada waktu pagi dan petang, Tuhan Penguasaku dan Tuhan Penguasa semua perkara, Dan Tuhan Pentadbir langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain Dia.Maka ambillah Dia sebagai Penjaga, aku berserah diri kapada Allah”.

“Dan Aku berserah kepada Allah segala urusanku, sebaik-baik Yang Berkuasa adalah Allah. Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga, dan Dia adalah Yang Amat Mempunyai Keluasan Rahmat dan Kasih Sayang. Sesungguhnya Penjaga aku adalah Allah Yang telah menurunkan Al-Kitab, dan Dia senantiasa menjaga orang-orang yang soleh “.
“Telah Berselawat Allah ke atas Nabi kekasih kami Sayyidina Muhammad, dan ke atas ahli keluarganya serta para sahabatnya, dan ucapan salam kesejahteraan sebanyak-banyak bilangan CiptaanNya, dan Keredhaan DiriNya, dan seberat-berat ArasyNya, dan Kekekalan KerajaanNya, dan sebanyak-banyak KalimatNya”.

(Sampai disini ia adalah dari ayat terakhir Surah At-Taubah mulai Ayat 128 hingga 129)

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang tersangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman, Kemudian jika mereka berpaling engkar maka katakanlah, “Cukuplah bagiku Allah (Yang Menolong dan Memeliharaku), Tiada Tuhan melainkan Dia, dan Dialah Yang Mempunyai Arasy Yang Besar”.


NOTA:

Penulis sarankan kepada sesiapa yang berminat untuk mengamalkan doa ini supaya menemui secara bersemuka dengan mana-mana ulama yang faham tentangnya.


Wednesday, 19 July 2017

SEBUAH CERITA SEBUAH HIKAYAT 
YANG BERULANG

Setelah si Hang Tuah yg tersangat taat kepada baginda Rajanya, kerana dari ihsan Rajanya itulah beliau dilantik menjadi laksamana (dari seorang pelajar universiti yang berani memperjuangkan nasib rakyat, lalu telah diambil dan dilantik sebagai Menteri hatta sebagai Timbalan Perdana Menteri) telah difitnah oleh musuh politiknya dengan bermukah dengan dayang istana, maka si Raja yang semangnya telah punya perasaan ingin membuang si Tuah itu, telah menerima hasutan itu. Dan memerintahkan supaya DIBUNUH sahaja si Tuah itu. Si Tuah yang taat itu kemudian dibawa lari oleh Bendahara ke hujung desa. (dan si Tuah itu telah dipenjarakan selama beberapa tahun serta pernah diracun dan ditumbok mukanya)

Kemudian apabila kota Melaka bermandikan darah oleh si JEBAT DERHAKA, mengamuk dan membunuh (habis segala harta rakyat disapu dibolot termasuk GST dan peluang kerja ditutup, banyak jawatan kontrak dihapus, peluang elaun guru pelatih mungkin dimansuh), maka menyesallah Raja itu. Lalu beliau berkata , "ALANGKAH BERUNTUNGNYA JIKA TUAH MASIH LAGI HIDUP". Maka si Raja itu dengan sesalnya telah meminta maaf kepada seluruh rakyat ceruk rantau kerana keterlanjurannya melantik dan memberi peluang kepada si JEBAT DERHAKA itu memerintah. Akhirnya si Raja itu ingin "merujuk" kepada si Tuah yang taat itu untuk menghapuskan ARANG DIMUKANYA disebabkan oleh kezaliman si Jebat.... 
Jeng jeng jeng...... adakah misi itu berjaya ?.. 
Sekian. 
CABARAN ADALAH PAHALA
(Bagi Pendakwah)

Ustaz Nordin adalah seorang lulusan agama dari sebuah Universiti dan juga pernah belajar di beberapa buah Pondok di Pantai Timur Semenanjung. Beliau telah dilantik oleh pihak Jabatan agama sebagai seorang pendakwah yang secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk menyebarkan ilmu dimasjid-masjid atau dimana-mana sahaja yang beliau ada mempunyai ruang masa untuk berdakwah. Namun tugas dakwah yang berat itu mengakibatkan beliau berhadapan dengan beberapa permasalahan yang memungkinkan beliau gagal didalam ujian dan tugas tersebut disisi Allah.

Ustaz Nordin insaf bahawa kerja dakwah adalah kerja para Rasul dan kerja para ulama, dan beliau merasa bahawa beliau tidaklah begitu banyak ilmunya dan juga bukanlah seorang yang soleh yang sentiasa istiqamah didalam perintah agama. Malah dirasakan bahawa beliau lebih teruk dari mad’u nya dari segi apa jua amalan dan ilmu. Perasaan itu mencengkam jiwa sanubarinya yang kadang-kadang beliau rasa tidak mampu untuk menatap ahli jamaah masjid dan surau kerana malu dengan kekurangan diri…...

“Sesungguhnya cabaran rohani itu lebih teruk ditanggung berbanding dengan cabaran jasmani..”
      
Cabaran Perama ;

1.     Istiqamah Didalam Ikhlas 1 Niat.
 Perjuangan melawan kehendak hawa nafsu yang bersifat keduniaan dirasakan amat berat untuk dilawan. Sering kali dia bermohon pertolongan dari Allah supaya diberi kekuatan melawan karenah hati yang sentiasa berbolak balik. Hanya pada Allah tempat memohon agar segala kerja-kerja da’I itu tetap teguh dan supaya sentiasa istiqamah kerana Allah.

يا مقلب القلوب والابصار ثبّت قلوبنا على دينك
“Ya Allah yang Maha membolak balikkan pandangan hati, tetapkanlah hati kami pada agamaMu” 2.

Acap juga Ustaz Nordin teringat bagaimana waraknya seorang alim yang memberhentikan kenderaannya dan pulang kerumah semula dengan memulakan niat yang baru setelah disedari bahawa perjalanan pertamanya itu adalah semata-mata inginkan “saguhati” dari bakal kuliahnya dimasjid, sedangkan “saguhati” itu amat perlu kerana menampung keperluan kesempitan hidup rumahtangganya, dan walaupun ianya bukanlah perkara tercela dari segi agama.
Firman Allah;
   
“Dan tidaklah mereka itu disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan Ikhlas kepada-Nya dalam beragama lagi lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang sebenar”.
(Al-Bayyinah : 5)


Beliau insaf bahawa yang sampai segala amalan itu kepada Allah hanyalah pada niatnya sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh ibnu Abbas radhiallahu anhu pada Ayat tersebut 3.
Dan Firman Allah lagi;

“Dan hendaklah kamu semua beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua pun”
(An-Nisa’ : 36)

2.     Istiqamah Didalam Ilmu Dan Makrifatullah
Sebenar-benar muallim adalah yang musleh, dan yang sebenar-benar musleh itu adalah yang takut kepada Allah dengan dapat sentiasa beribadat sebagaimana ilmunya.
Firman Allah;

“ Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama  Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.
(Al-Fathiir : 28)

Persoalan yang sering Ustaz Nordin rasakan ialah adakah beliau tergolong kedalam golongan orang yang benar-benar takut kepada Allah yang hanya layak digelar ulama sebagaimana maksud Firman Allah di dalam ayat 28 surah Al-Fathir itu , iaitu para ulama itu adalah orang-orang yang benar-benar mengetahui bahawa Allah itu Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu, orang yang amat mengetahui dengan Sifat Al-Rahman Allah dan sifat kehambaannya, tidak melakukan syirik kepada Allah, menghalalkan apa yang telah Allah halalkan dan mengharamkan apa yang telah Allah haramkan, Sentiasa memelihara apa yang wajib dia kerjakan dengan penuh yakin, dan sentiasa muhasabah dengan apa yang telah dia kerjakan 4.

Terkadang beliau juga telah lupa untuk muhasabah dengan apa yang telah beliau lakukan dan apa yang telah beliau ucapkan sepanjang hidup. Semua itu pasti akan ditanya dan dihisab oleh Allah pada hari Akhirat kelak. Apakah yang telah beliau lakukan dan ucapkan itu menepati dengan segala hukum Allah dan sunnah Rasul ?. Dari kelalaian untuk muhasabah itu mengakibatkan dia lupa untuk bertaubat kepada Allah. Kelalaian yang banyak itu menjadikan Ustaz Nordin “rasa kecut perut” dan mengakibatkan semakin bertambahnya bebanan jiwa yang ditanggung. Hampir-hampir mahu berhenti untuk menyebar ilmu dan berdakwah.

“Darjat ilmu bukanlah boleh diukur pada banyaknya kitab-kitab yang terkumpul di dalam almari atau ramainya guru yang dicari, tetapi sejauh manakah istiqamahnya diri di dalam pengabdian kepada Ilahi”.

Namun, di dalam kejahilan amal yang dirasanya itu, dapat juga Ustaz Nordin mengambil manfaat dari apa yang telah dikuliahkannya sendiri. Inilah apa yang dikatakan bahawa “tazkirah qalbi melalui lisan peribadi “.

Firman Allah;
   
“(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan Rahmat Tuhannya?. Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.
(Az-zumar : ke 9)

3.     Sabar melalui Istiqamah Didalam Zikirullah
Terkadang sebagai manusia biasa Ustaz nordin juga kerap dihadiri perasaan bosan, jemu, penat, malas, dan berbagai lagi perasaan terutama apabila adanya suasana yang dikira mengganggu hati dan proses dakwahnya. Peringatan Allah bahawa perbanyakkan zikir samada membaca Al-Quran, tasbih, tahlil, salawat ke atas nabi, istighfar atau sebagainya pada waktu pagi dan petang serta malam masih dia dapat amalkan. Tetapi untuk istiqamah dan sentiasa hadhir hatinya kepada Allah cukup payah sehingga ruang hati yang kosong dari mengingati Allah itu diambil peluang oleh syaithan dan nafsunya sendiri sehingga dia kerap tewas dengan ujian…
Firman Allah;

“Maka sabarlah kamu atas apa yang mereka katakan, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu, sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya. Dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang”,
(Surah Thaha:130)

“Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya)”.
(Surah Qaf: 39)

Sebab itulah dia berkeyakinan bahawa untuk menjadi seorang penyambung tugas Rasul maka dia juga wajib mengikuti jejak Rasul yang begitu hebat solat malam dan zikir-zikirnya. Oleh itu dia berusaha dengan upaya dan doanya untuk memperkuatkan rohani dengan mengamalkan selawat ke atas Nabi sebanyak 10 kali pagi dan petang, tasbih 50 kali pagi dan petang, istighfar 100 kali pagi dan petang selain dari amalan membaca al-Quran setiap malam, pagi dan petang, serta solat tahajjud dan witir walau satu rakaat setiap malam.
 
Imam Mujahid mengatakan bahawa tidak termasuk orang yang banyak mengingati Allah itu sehinggalah beliau mampu mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring 5. Ustaz Nordin merasa bimbang sekiranya beliau tidak termasuk ke dalam golongan itu, iaitu orang-orang yang banyak mengingati Allah itu.
Pengalaman-pengalaman lalu, yang pernah beliau lalui bahawa beliau akan banyak menerima kekalahan apabila rohaninya kosong, lidah malas dari berzikir, telinga banyak diisi dengan bunyian yang melalaikan, pandangan mata terbuai dengan kecantikan duniawi dan yang haram, hati keras dari “menyebut Allah”, dan waktu-waktu tidak terisi dengan al-Quran serta zikir pada waktu-waktunya.
“Ya Allah bantulah aku. Hidupkanlah aku sebagaimana kehidupan para ulama dan matikanlah aku sebagaimana mati para syuhada !!!”. Doa dan munajatnya mengekori setiap kali apabila selesai solat dan bilangan tasbih zikir dan Al-Quran.

4.     Istiqamah Berusaha untuk mengamalkan apa yang didakwahkan.

Sekiranya masyarakat mengetahui bahawa betapa resah, malu, takut dan merananya jiwa para pendakwah dengan tugasnya itu, maka sudah tentu masyarakat akan faham kenapa ustaz Nordin kadang-kadang tidak hadir kelas-kelas kuliah agamanya. Jika ikutkan hati mahu rasanya berhenti dari “bercakap” dan “berkurung diri” sahaja.
Firman Allah;

 “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan “.
(As-Saf : 2-3)

Ada kalanya dia mempunyai kekuatan. Sedar bahawa walaupun bukan semua apa yang dia kata dan ajarkan itu dapat dibuatnya dan diamalkan, namun dia juga sedar bahawa semua apa yang dia ucap dan ajarkan itu tidak semua yang dia tidak amalkan, dan yang selebih menjadi jihad baginya untuk diamalkan semuanya. Insyaallah. Begitulah pegangan dan falsafah Ustaz Nordin.

PENUTUP
Cabaran rohani yang berbagai yang dilaluinya semenjak berbelas tahun dahulu itu sebagai pendakwah semakin dapat dia suaikan. Malah baginya segala cabaran itulah yang menjadikannya semakin rajin untuk beribadat kepada Allah. Maka itulah nikmat yang terbesar baginya. Maka benarlah bahawa cabaran itu adalah pahala bagi pendakwah. Seorang guru kepada Ustaz Nordin pernah memberi nasihat bahawa setiap apa usaha dan kerja akan menampakakan hasil dalam tempoh sepuluh tahun. SEKIAN




1 Ikhlas ialah menyucikan ibadat dari bercampur dengan sesuatu yang kotor (Muhammad  bin ‘Ullan As-Sadiqi As-Syafe’i Al-Asy’ari Al-Makki; Dalilul Falihin Li Thuruqi Riadhus Salihin,  )
2 Riwayat Ibnu Sunni.
3 Al-Imam Abi Zakaria Yahya Bin Syarifuddin An-Nawawi ; (1999) , Dar Al-Manar, Qaherah, 
4 Makna Ulama sebagaimana yang telah ditulis oleh Ibnu Kathir dari beberapa riwayat sehingga sampai kepada Ibnu Abbas R.U. (Ibnu Kathir ; (2013), Tafsir Al-Quranul ‘Azim, Maktabah Taifiqiyyah, Al-Azhar, ).
5 Al-Imam Abi Zakaria Yahya Bin Syarifuddin An-Nawawi ; (1999) , Op.cit. 
OH KAMPUNGKU, KAMGPUNG KUTAN.

Kampung ku, sebuah perkampungan yang amat menarik dengan perusahaan asal penduduk kampung ialah menoreh getah, penanam padi, pencari etok sungai, penanam timun cina (ladangnya adalah di tapak Bandar Baru Kampung Sireh sekarang), peniaga atau peraih, dan sedikit pegawai kerajaan. Namun setelah lama masa berlalu dari jarak usia ku yang membesar dari era tahun 1960 an hingga ke dekad tahun 2017 ini maka perubahan pesat Kampung ku amat jauh berbeza. Kini tiada lagi kebun getah, dan hanya beberapa relong sawah padi sahaja lagi yang tinggal. Ia kini telah bertukar kepada bangunan-bangunan dan rumah-rumah serta pusat-pusat perusahaan, kedai dan entah apa-apa. Tiada lagi wanginya lumpur sawah, tiada lagi harumnya bauan getah, tiada lagi cantiknya pemandangan kabus pagi dihujung daunan pokok padi. 

KAWASAN KAMPUNG KUTAN
Kampung Kutan adalah merupakan sebuah Kampung yang begitu luas dan ia bermula dari Kampung Kutan Hulu yang sebahagiannya sudah diletakkan dibawah Majlis bandaran Pasir Mas yang bersempadan dengan Wakaf Merah Tendong, yakni setakat Sekolah Ugama Arab Padang Embun. Menurut asal kata Padang Embun ini adalah setakat yang diketahui penulis bahawa dahulunya adalah sebahagian daripada Kampung Kutan juga. Ia mendapat nama “Padang Embun” kerana pada masa itu kawasan itu hanya merupakan padang (sawah padi) yang pada waktu-waktu pagi dini pasti akan didapati satu pemandangan yang cantik dengan embun yang banyak.

sehinggalah ke Kampung Baru Luar yang dahulunya juga adalah termasuk sebahagian dari Kampung Kutan Hilir dan termasuk di dalam kawasan Istana Luar Istana Kubang Labu. Kampung ini berasal dari keluarga berketurunan “WAN” yang dipercayai bersambung sanad kepada kekeluargaan ulama tersohor Tok Pulau Manis atau Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Dato Abdul Malik bin Abdullah) yang dikaitkan kepada pengarang kitab syarah Hikam Melayu yang terkenal itu. Adapun Pengarang kitab syarah Hikam melayu yang sebenar tidak dapat dipastikan siapakah sebenarnya. Cuma ia telah disandarkan kepada syeikh Tok Pulau Manis oleh Syeikh Ahmad Fathani dalam cetakan awalnya. Keturunan Tok Pulau manis ini adalah melalui jalur Siti Hajar binti Syarif Hasan atau Lebai Hasan bin Sayyid Badruddin bin Tok Pulau Manis .Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada riwayat keluarga yang ratanya juga adalah menjadi ahli Kelab Cucu Cicit Tok Pulau Manis Kelantan yang berpusat di Pondok Aur Cina Pasir Mas, Kelantan. 

Rata-rata penduduk kampung Kutan juga adalah dari ahli keluarga Syeikh Wan Ali al-Kutani pengarang kitab yang terkenal itu. Boleh dikatakan penduduk asal Kampung Kutan adalah rata-ratanya dari jalur keluarga “Wan” sejak berzaman lagi. Malah lebih menariknya ada juga yang diceritakan bahawa bagi orang-orang yang bukan berjalur “Wan” tetapi bila bermaustautin di Kampung Kutan maka akhirnya turut juga mendapat gelaran “Wan”. Kenyataan ini adalah dari bersumberkan kenyataan Cikgu Wan Muhammad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan yang lahir pada tahun 1932 Miladi di Kampung Kutan Hilir. Beliau berjalur keluarga “WAN” dari sebelah ibu dan bapanya sehingga ke peringkat nendanya. Beliau merupakan guru pencen yang juga merupakan antara 3 orang guru pengasas sekolah kebangsaan Kutan pada tahun 1949 / 1950 Miladi.

ASAL NAMA KAMPUNG
Asal nama “Kutan” bagi kampung Kutan ini penulis menemui 3 versi yang berbeza, iaitu pertamanya berasal usul dari sempena “Kutang” atau parit tali air yang menjalar dari kampung sempadan Tendong sehingga ke Kampung sempadan Kutan Sungai, atau Kutang yang wujud di tebing sungai Kelantan sekitar kampung Kutan Surau. Kutang atau tali air ini masih lagi wujud sehingga kini dan ia juga menjadi sebutan bagi sebahagian orang-orang tua Kampung Kutan. 

Kenyataan keduanya adalah berasal dari nama sebuah pokok “Kutang” yang besar yang tumboh di dalam sebuah alor (celah Gu) yang juga terdapat sebuah telaga Puteri Saadong. Sumber ini penulis perolehi dari Cikgu Wan Muhammad wan Isa yang diambil kenyataannya pada 4 Oktober 1998 di rumahnya di kampung Kutan Tengah. Pokok yang dikatakan bermana "Pokok Kutan" ini penulis tidak mengetahui bahawa adakah ianya memang wujud atau tiada kerana penulis tidak pernah melihatnya. Namun jika dibanding dengan sejarah asal usul Negeri Melaka juga dikaitkan dengan "Pokok Melaka" sedangkan pokok itu sendiri pun mungkin jarang-jarang orang mengetahui dan melihatnya. Faktor kepupusan sesebuah tumbuhan atau haiwan boleh dirujuk lihat di dalam "Rehlah Ibnu Battutah" yang menceritakan jenis-jenis haiwan atau pokok yang sudah tidak dikenal lagi waktu kini. 

Ketiganya adalah berasal dari kata “Tengku Intan” yang biasa di sebut secara ringkas bagi penduduk setempat adalah dengan nama “Ku- Tan. Kenyataan yang ketiga ini adalah dari kenyataan guru matematik, Cikgu Hasan, yang beliau ceritakan pada sekitar tahun 1976 di Sekolah Kebangsaan Kutan. Kenyataan ini juga bagi penulis boleh diterima kemunasabahannya kerana kawasan kampung Kutan adalah juga termasuk di dalam kawasan Istana Luar Kota Kubang Labu yang pastinya mereka yang mendiami kawasan Istana Luar ini adalah berketurunan atau bertalian juga dari keluarga Istana Dalam Kota tersebut.

Daripada ketiga kenyataan itu, penulis serahkan saja penilaian dan kebenarannya kepada pembaca kerana yang benar-benar tahu sesuatu perkara yang ghaib itu hanyalah Allahu Ta'ala jua.
Wallahu a’lam.


TOKOH ULAMA KAMPUNG KUTAN.
Pada bulan Ramadhan sekitar tahun 2010, selepas penulis memberi tazkirah subuh, penulis telah direzekikan bertemu dengan seorang tua yang berusia hampir 100 yang mendiami sebuah rumah lama dipinggir masjid bandar Kuala Terengganu. Beliau telah menceritakan bahawa di zaman mudanya beliau telah sempat belajar agama di kampung Kutan. Dengan kenyataan ini mungkinm dapat dijadikan satu asas bahawa di Kampung Kutan dahulunya juga menjadi pusat pengajian agama walaupun tiada Pondok-Pondok. Juga membuktikan bahawa di Kampung Kutan juga ada melahirkan tokoh-tokoh agama yang mempunyai tahap ilmu yang sehingga dikenali oleh penduduk luar kampung.

Buat sementara ini penulis hanya memperkenalkan beberapa nama yang menjadi suatu kebanggaan bagi penduduk kampung Kutan khasnya dan ia juga menjadi sebahagian daripada sumbangan kepada masyarakat luar amnya.

1: Syeikh Wan Ali Kutan.
Seorang tokoh ulama yang rasanya tidak perlu lagi diperkenalkan secara lanjut kerana sudah terlalu banyak yang telah menulis tentangnya. Syeikh Haji Wan Ali Kutan nama asalnya ialah Haji Muhammad Ali bin Abdul rahman bin Abdul Ghafur (1820M – 1913M) atau bagi orang-orang tua asal kampung Kutan lebih dikenal dengan Tok Wan Ali Selawat sempena dengan kitabnya yang masyhur Lum’atul Aurad yang banyak membicarakan tentang kelebihan-kelebihan dan jenis-jenis salawat Nabi s.a.w. 15 . Malah gelaran ini juga adalah untuk membezakan dengan seorang lagi sepupunya yang juga bernama Wan Ali (Gelaran, Wan Ali Putih) . Antara anak Haji Wan Ali Putih (sepupu Haji Wan Ali Selawat) yang dikenal sebagai guru agama ialah bernama Haji Wan Yaakob. Berguru dengan Haji Wan Konok (Haji Nik Zainal Abidin). Beliau adalah seorang guru agama dan guru al quran di Kampung Kutan Surau . Meninggal dunia pada sekitar tahun 1924 atau 1918 Miladi, dan beliau juga adalah seorang Pengamal thariqat tasauf. Ibid.

Beliau dilahirkan di kampung Kutan Surau yang terletak di tepi sungai Kelantan. Tok Wan Ali ini adalah seorang ulama yang masyhur dan salah seorang daripada guru-guru yang mengajar di Mekah. Antara kitab-kitab karangannya ialah Majmu’ al-Qasaid, Jauhar Al-Mauhub wa minabbihat  al-Kulub, Zahrah al-Murid fi ‘aqaid al-Tauhid, Lum’atul Aurad, dan risalah-risalah lain yang tidak bercetak. Selain dari menjadi guru kepada ramai ulama-ulama di masjid Mekah, beliau juga selalu balik ke Kelantan dan menjadi guru di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

2. Haji Wan Abdul Rahman Bin Tok Wan Ali
Beliau adalah anakanda kepada Tok Wan Ali Al-Kutani yang sempat membesar dan belajar di Kota Mekah bersama dengan ayahandanya sendiri. Di kampung Kutan beliau telah menyebarkan ilmunya sebagai seorang guru al-quran dan juga pendiri serta pengasas kepada sebhuah surau yang amat dikenali waktu itu sebagai pusat ibadat bagi penduduk sekitarnya. Beliau ini jugalah yang telah membantu Dato paduka Perdana di dalam menyiapkan kitabnya, Pati Rahsia, yang pernah bermukim di kampung Kutan selama 2 minggu semata-mata untuk menyiapkan kitabnya itu dan mengambil "buah" dari Haji Wan Abdul Rahman ini.

3. Haji Wan Adam (1909-1957)
Haji Wan Adam adalah pengasas kepada sekolah agama aliran Arab yang dikenal dengan nama Sekolah Arab Falahiyyah pasir pekan. Beliau berbapakan dari jalur Wan Abdullah bin Wan Nuh. Wan Nuh ini seorang peniaga dan berasal dari Kampung Kutan dan mempunyai anak cucu cicit yang ramai di Kampung Kutan, Pasir Pekan, dan seluruh negara.

4. Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (Meninggal pada 22 Jun 1984)
Imam Haji Wan Taib adalah juga seorang usahawan yang mula-mula memperkenalkan jenama minya "Wan Muda" sehingga dikenal di seluruh negara.

5. Tuan Guru Haji Muhammad Zain (Meninggal sekitar tahun 1988)
Tuan guru ini adalah salah seorang murid kepada ulama terkenal iaitu Haji Daud Bukit Abal pasir Putih. Almarhum selain daripada menjadi guru agama di sebuah surau yang di asaskannya (sekarang dikenal sebagai surau Zainal Abidin), beliau juga adalah seorang pengamal dan pengembanh thoriqat ahmadiah di kampung Kutan. Beliau mebgadakan majlis zikir di suraunya pada setiap malam isnin dan malam jumaat. Ramai anak-anak muda yang telah mengambil ijazah darinya dan juga masyarakat luar kampung kutan.


WARISAN KAMPUNG KUTAN

1: SURAU HAJI WAN ALI KUTAN
Surau ini pada zaman kegemilangannya ia pernah dijadikan surau untuk bersembahyang jumaat termasuklah bagi penduduk-penduduk seberang sungai Kelantan iaitu seperti Kampung Surau Kota dan Kampung Pintu Geng dan Kampung Sireh 17. Ia terletak ditepi sungai Kelantan yang bersetentang dengan kampung-kampung tersebut atau ladang timun cina (buah tembikai) yang sekarang sudah menjadi Bandar Baru kampung Sireh.

Surau ini dipercayai dibina dan diasaskan oleh Anakanda Tok Wan Ali sendiri yang menetap di kampung Kutan iaitulah Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Ali bersama-sama dengan tukang-tukang lain seperti Abdullah pendekar, Wan Ali Putih, Haji Alias dan bersama dua lagi rakannya. Kenyataan ini diambil oleh penulis daripada lisan Haji Wan Rasyid bin Wan Muhammad bin Wan Abdul Rahman bin Wan Ali Al-Kutani pada 9 Mei 1994 di rumahnya di Kampung Kutan Tengah, yang kenyataan ini juga telah diperolehi oleh Haji Wan Rasyid dari nendanya yang bernama Wan Selamah 18 .

1.1. Imam-Imam Surau
Sepanjang surau itu menjadi nadi ibadat kepada penduduk-penduduk kampung, ia telah memperkenalkan beberapa orang imam. Imam-imam yang bertugas pada peringkat awalnya adalah berdasarkan kepada sokongan dan lantikan masyarakat kampung sendiri bukan lantikan pihak kerajaan melainkan Imam yang terakhir saja dilantik oleh pihak kerajaan berdasar kepada undian ke atas calon-calon .Imam yang dimaksudkan ialah Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda yang bertanding calon bersama almarhum Tuan Guru Haji Muhammad Zain iaitu murid kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal yang juga merupakan pengembang dan pengamal thariqat Ahmadiah di Kampung Kutan pada sekitar tahun 1970an sehingga penghujung usianya pada sekitar tahun 1988. Bila di undi oleh masyarakat kampung maka jumlah undian adalah melebihi dan dimenangi oleh almarhum Haji Wan Taib bin Wan Muda.  

Antara Imam yang dapat dapat dikesan oleh penulis sebagaimana yang diceritakan oleh almarhum Wan Jaafar Bin Wan Ali kepada penulis pada 23 Februari (Isnin) tahun 1998 di Kampung Kutan Hilir (berdasar kepada catatan diari penulis).Wan Jaafar bin Wan Ali semasa wawancara itu berusia sekirar 80 tahun mengikut tarikh lahirnya pada tahun 1918., yang beliau masih ingat sejak lahir ialah Imam Haji Yaakob, Imam Pak Cu Lah dan akhirnya Imam Haji Wan Taib bin Wan Muda (meninggal 1986). Manakala menurut Cikgu Wan Muhamad bin Wan Isa bin Wan Ahmad Kutan yang penulis ambil kenyataannya pada 20 Mac 2017 ialah antaranya Imam Wan Ali bin Wan Ahmad iaitu sebelum terlantiknya Imam Haji wan Taib. Maka semasa Imam Haji wan Taib bin Wan Muda inilah surau yang disungai itu telah ditukar kepada masjid baru sekarang yang dibina sekitar tahun 1952 atau tahun 1958 hasil daripada gotong rayong dan derma masyarakat kampung . Kutipan derma itu sehingga ke kampung Pasir Pekan dan sekitar sebagaimana yang telah diceritakan oleh Almarhum pak Cik Mat yang telah meninggal sekitar tahun 1984. Almarhum pakcik Mat ini adalah adalah merupakan imam solat lima waktu dan penjaga masjid pada era tahun 1980an dahulu. Beliau telah menceritakan kepada penulis sekitar tahun 1980 dahulu.

1.2. Keluasan Surau  
Oleh kerana surau ini amat penting dan menjadi tumpuan ibadat solat 5 waktu dan solat jumaat termasuk bagi penduduk-penduduk kampung sekitar maka ini bermakna keluasan atau saiz surau itu adalah cukup besar juga dan mampu untuk memuatkan jumlah saf yang banyak. Pada perkiraan dan setakat yang diingati oleh Cikgu Wan Mohammad bin Wan Isa (85 tahun) yang diwawancara pada 20 Mac 2017 dirumahnya di Kampung Kutan bahawa seagak-agaknya adalah jumlah keluasannya sekitar 50 x 50 kaki persegi. Oleh kerana jarak masa yang telah lama berlalu maka secara pasti tidaklah dapat beliau mengingatinya secara tepat.

Pada zaman remaja penulis, iaitu sekitar tahun-tahun 1982 / 1983 penulis kerap juga ke surau itu yang semasa bangunan kayunya itu sudah banyak yang rosak dan tidak digunakan lagi kerana ketiadaan penduduk. Maka penulis anggarkan bahawa keluasan surau secara keseluruhan adalah sekitar 200 ke 300 orang ahli jamaah yang dapat diisi dalam satu-satu masa sekaligus. Wallahu a’lam.
  
1.3. Kampung Yang Ditinggal, Surau Hilang Imarah, Dan Perpindahan Surau
Pada peringkat awal kewujudan kampung Kutan, asalnya ia hanya berfokus di sepanjang pinggir sungai Kelantan sahaja. Lokasi petempatan penduduk yang lebih bertumpu ditepi sungai itu boleh dikenal dengan nama Kampung Kutan Sungai (sebelah hulu atau kampung kutan sungai hulu) dan kampung kutan surau yang bersempena dengan kewujudan surau yang amat penting, dan yang kita bicarakan ini. Gelaran nama kampung yang dikaitkan dengan surau ini sudah boleh kita fahami bagaimanakah taraf kepentingan surau bagi masyarakat kampung Kutan pada masa itu.

Setelah lama masa berlalu serta keadaan petempatan asal kampung kutan yang hanya berfokus ditepi sungai itu yang sentiasa dilanda banjir besar kerana faktor tanahnya yang rendah, maka mengakibatkan ramai penduduk-penduduknya telah berpindah ke darat, iaitu ke kawasan tanah yang lebih tinggi yang akhirnya telah menjadi petempatan utama bagi penduduk kampung kutan sekarang. Seingat penulis, pada awal  tahun 1980, rumah-rumah yang masih wujud di Kampung Kutan Surau itu hanya masih tinggal sekitar tiga keluarga sahaja. Pada sekitar tahun 1983 semakin berkurang sehingga hanya tinggal sebuah keluarga sahaja, dan pada sekitar tahun 1986 hilanglah sudah sebuah petempatan dikampung kutan surau itu. Maka sepilah surau Haji Wan Ali Al-Kutani itu. Pada waktu beberapa tahun sebelumnya surau itu sudah tidak digunakan lagi sehingga cebisan-cebisan al-quran dan kitab-kitab bertaburan di atas surau. Keadaan dinding, lantai dan struktur bangunannya sudah tidak terpelihara sejak awal lagi yang penulis jangkakan ia sudah berlaku pada sekitar penghujung tahun 1970 an.

Namun pada sekitar tahun 1987/1988 dengan kesepakatan penduduk-penduduk kampung Kutan dengan inisiatif utamanya oleh Lebai Haji Wan Yusof bin Wan Salleh iaitu salah seorang murid tua Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 2016 dalam usia yang agak lanjut iaitu 94 tahun yang berdasarkan tarikh lahir yang ada pada kad pengenalannya pada tahun 1922 Miladi. (wawancara anaknya, Wan Abdul Rahman bin Wan Yussof pada 27 Mac 2017), beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya untuk dijadikan lokasi baru Surau itu dengan diangkat pindah surau Haji wan Ali Kutan itu dari kampung Kutan Surau yang telah sepi itu ke darat iaitu di tapak tanah sekarang ini dengan beberapa penambahan kayu dan simen. Namun pada beberapa bahagian kayu asal seperti dinding luar belakang masih sempat dipelihara bersama dengan mimbar imamnya. Setelah surau ini dipindah ke lokasi baru, maka pengurusan surau ini sekarang telah dijaga oleh keluarga atau oleh anak-anak Lebai Haji Wan Yussof bin Wan Salleh yang telah menjaganya dengan baik.  

PENUTUP
Sebuah riwayat yang jika ditinggal maka akan hilanglah sebuah cerita dan sejarah. Maka akan hilang jugalah seberkas hikmah rahsia ketuhanan yang bagi manusia yang beraqal sebagai tempat tilik ambil iktibar dan pedoman. Sebuah tinggalan umat yang terdahulu khasnya masjid atau surau akan membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu mempunyai agama dan amalan Islam yang baik. Begitulah dengan Surau Haji Wan Ali Kutan ini. Mudah-mudahan ia dapat menjadi ibadat berpanjangan bagi pengasas pendidiri dan pembinanya serta menjadi ikutan yang baik bagi generasi mendatang. 

Sampai disini dahulu buat sementara. Penulis akan ceritakan lagi sesuatu yang lain pada masa akan datang.
Insya Allah


Rujukan dan wawancara;

1 Baharuddin Haji. Wan Mamat; Haji Wan Ali Kutan Ulama yang Masyhur di Tanah Mekah, Harakah, Isnin 9 Zulhijjah 1418, hal. 27.
2 Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung (MAIK).
Wan Muhammad bin Wan Ahmad sekarang berusia (lahir pada tahun 1932 Miladi).
Wan Jaafar bin Wan Ali. 
5 Almarhum Haji Wan Ibrahim bin Wan Mahmood (1919 – 2010 M). 
6 Haji Wan Abdul Rasyid bin Wan Muhammad bin Wan Abdul Rahman bin Wan Ali.
7 Himpunan tulisan oleh Wan Baharuddin Al-Kutani dalam majalah PENGASUH (MAIK).